v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Penggunaan Gelanggang Sukan Pasca-Olimpik Merangsang Budaya Sukan di Kalangan Rakyat China
2008-10-30 10:52:20 CRI

Hampir setiap kali selepas Sukan Olimpik, operasi semua gelanggang sukannya akan menjadi masalah yang memeningkan kepala pihak tuan rumah. Malah terdapat sesetengah bandar yang terpaksa menanggung beban kewangan yang berat berikutan kos penyelenggaraan gelanggang yang tinggi selepas acara sukan tersebut berakhir. Penggunaan gelanggang sukan pasca-Olimpik didapati menjadi satu masalah yang paling sukar ditangani. Kini, tirai Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Beijing sudah dilabuhkan dengan penuh kejayaan. Bagaimanakah pula keadaan penggunaan gelanggang Sukan Olimpik di bandar raya ini? Berikut ini ialah laporan daripada wartawan CRI, Zhang Ao.

Puan Li Xiufen yang berumur 62 tahun tinggal di Daerah Shijingshan, Beijing. Dari rumah beliau ke Gelanggang Basikal BMX Laoshan iaitu gelanggang acara lumba basikal dalam Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini, hanya 15 minit berjalan kaki. Semasa berlangsungnya temasya sukan ini, beliau telah dapat menyaksikan pertandingan acara berbasikal BMX secara dekat. Ketika melihat kompleks gelanggang yang serba baru itu, beliau sudah pun bercita-cita untuk beriadah di sana selepas temasya sukan ini berakhir. Kini, harapannya itu telah menjadi kenyataan. Kata beliau,

"Sekarang, hampir setiap hari, saya pergi beriadah bersama dengan kawan-kawan di pusat riadah di gelanggang itu. Kemudahan yang disediakan di situ serba baru dan serba lengkap. Selain kemudahan-kemudahan riadah biasa, seperti mesin berlari setempat, terdapat juga kolam renang. Bayarannya tidak mahal, malah ada diskaun 50% bagi kami warga emas."

Keluasan penggunaan gelanggang sukan per kapita di China amat terhad. Kita ambil Beijing sebagai contoh. Pada tahun 2004, keluasan penggunaan gelanggang sukan per kapita di bandar raya ini hanya 2.2 meter persegi. Manakala keluasannya di Jepun dalam tempoh yang sama mencatat angka 19 meter persegi. Dan kadarnya di negara-negara yang ulung dari segi sukan di Barat lebih tinggi lagi. Untuk memudahkan orang awam melaksanakan aktiviti riadah, selepas Sukan Paralimpik Beijing berakhir, sejumlah besar gelanggang Sukan Olimpik telah dibuka kepada orang awam. Dengan itu, lebih ramai orang dapat menikmati hasil Sukan Olimpik. Untuk meningkatkan kecekapan penggunaan gelanggang tersebut dan penyertaan orang awam dalam aktiviti riadah pula, gelanggang-gelanggang tersebut diuruskan berdasar kepada prinsip "mengutamakan manusia" dan "bayaran yang rendah". Beberapa buah gelanggang sudah pun menawarkan diskaun sebanyak 50% kepada golongan pelajar, warga tua dan orang kurang upaya.

Sekarang, kita ambil Biro Latihan Jabatan Pentadbiran Am Sukan Negara China sebagai contoh. Untuk membolehkan lebih ramai penduduk Beijing menikmati kemudahan-kemudahan sukan yang bertaraf tinggi di gelanggang latihan Sukan Olimpik ini, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui sukan di kalangan masyarakat, gelanggang latihan ini telah dibuka kepada orang awam ketika tiada program latihan. Naib Ketua Pengarah biro itu, Encik Yan Shiduo menyatakan bahawa,

"Gelanggang-gelanggang yang kami buka kepada orang awam memberikan kemudahan untuk 17 aktiviti, termasuklah badminton, pingpong, bola keranjang, bola tampar, tenis dan golf. Antaranya, gelanggang latihan untuk pasukan negara biasanya dibuka selepas pukul 6.00 petang setiap hari, selain hari Ahad. Gelanggang latihan bukan untuk pasukan negara pula dibuka sepanjang hari. Kesemua kemudahan riadah di sini mencapai taraf tertinggi di dunia, tetapi bayarannya masih agak rendah."

Dari Sukan Olimpik Los Angeles 1984 hingga Sukan Olimpik Beijing 2008, Biro Latihan ini sudah melatih 120 orang atlet yang menjadi juara Sukan Olimpik. Maka itulah sebabnya ia digelar "Buaian Juara Olimpik China". Demi menjamin keberkesanan latihan persiapan bagi para atlet negara sebelum berlangsungnya Sukan Olimpik Beijing, hanya gelanggang latihan bukan untuk pasukan negara sahaja yang dibuka kepada orang awam. Namun, kini, gelanggang latihan untuk pasukan negara itu juga sudah dibuka kepada orang awam pada masa tiada program latihan untuk mereka.

Melihat betapa suasana riadah menjadi begitu mengasyikkan pada masa ini, terbuktilah bahawa tindakan ini bukan sahaja amat baik untuk membantu menyelesaikan masalah penggunaan gelanggang sukan pasca Olimpik, malah bermanfaat bagi merangsang budaya sukan di kalangan rakyat. Naib Ketua Pengarah Jabatan Pentadbiran Am Sukan Negara China, Encik Feng Jianzhong menyatakan bahawa,

"Pembinaan gelanggang-gelanggang Sukan Olimpik ini telah menelan belanja yang agak tinggi. Jika tidak digunakan dengan sepenuhnya, maka ia akan menjadi satu pembaziran yang besar. Sekarang gelanggang tersebut telah dibuka kepada orang awam. Ini membolehkan mereka menikmati hasil Sukan Olimpik. Pada pandangan saya, ini bukan sahaja merupakan satu peristiwa yang amat bererti bagi masyarakat kita, malah juga bagi usaha sukan negara kita."

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |