v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Sukan Tani China Berikan Sumbangan kepada Usaha Mempromosi Imej Pihak Tuan Rumah
2008-11-06 08:44:38 CRI

Setiap temasya sukan yang berjaya dianjurkan adalah sumbangan pihak tuan rumah yang berusaha bersungguh-sungguh. Sukan Tani China ke-6 sudah pun melabuhkan tirainya dengan jayanya di bandar Quanzhou, Provinsi Fujian, bahagian selatan China pada 1 November lalu. Namun, jika kita bersiar-siar di jalan-jalan di bandar ini, kita masih dapat merasai kemeriahan sukan tersebut. Temasya sukan ini berjaya memberikan sumbangan kepada usaha mempromosi imej pihak tuan rumah. Berikut ini ialah laporan daripada wartawan CRI.

Pada tahun 2004, bandar Quanzhou sudah pun memulakan kerja persiapan bagi Sukan Tani China ke-6 ini. Gelanggang pertandingan utama temasya sukan ini yang luasnya lebih 40 ribu meter persegi, iaitu Pusat Sukan Haixia, mula dibina pada tahun 2005, dan siap pada bulan Jun tahun 2008. Bangunan utamanya termasuklah gelanggang sukan, pusat riadah dan pusat perniagaan. Kini, pusat sukan yang dibina dengan menggabungkan konsep seni bina China dan Perancis ini telah menjadi mercu tanda bagi bandar tuan rumah sukan ini.

Atlet olahraga dari Provinsi Yunnan, Encik Sun Cun telah menyertai acara lumba membawa muatan dengan basikal dalam Sukan Tani ini. Beliau amat berpuas hati dengan kemudahan-kemudahan di gelanggang pertandingan yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Kata beliau,

"Kemudahan-kemudahan di gelanggang sukan yang disediakan di sini amat sempurna. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak tuan rumah juga cukup mesra dan cekap. Kami berpuas hati dengan semua perkara ini."

Keghairahan penduduk bandar Quanzhou terhadap Sukan Tani kali ini kelihatan memuncak apabila hampir setiap penduduknya menceburkan diri dalam kerja-kerja perkhidmatan yang berkaitan dengan sukan ini. Sepanjang tempoh berlangsungnya temasya sukan ini, seramai 12 ribu orang sukarelawan dari pelbagai lapisan masyarakat telah menawarkan perkhidmatan kepada para penonton dan atlet. Mereka menggunakan cara tersebut untuk menyumbangkan tenaga masing-masing bagi menjayakan temasya sukan ini.

Membaiki perkhidmatan sistem pengangkutan awam merupakan tugas utama bagi menjayakan sesuatu aktiviti. Dilihat dari segi skop, Sukan Tani kali ini telah mencatat sejarahnya sendiri kerana disertai oleh atlet yang begitu ramai dan wartawan yang membuat liputan dalam jumlah yang begitu besar. Keadaan ini telah memberikan tekanan yang besar kepada sistem lalu lintas bandar Quanzhou. Untuk mengatasi masalah tersebut, beberapa langkah kawalan lalu lintas telah dilaksanakan bagi menjamin kelancaran lalu lintas di bandar ini, seperti mengehadkan kemasukan kenderaan ke kawasan bandar pada waktu-waktu tertentu. Pegawai Pusat Polis Lalu Lintas Quanzhou, Encik Wu Zhijun memberitahu wartawan bahawa,

"Langkah kawalan lalu lintas yang telah kami laksanakan sebelum ini telah meringankan tekanan lalu lintas di bandar ini. Semasa berlangsungnya Sukan Tani yang ke-6 itu, aliran lalu lintas di bandar ini telah banyak berkurangan berbanding pada masa sebelumnya. Sistem lalu lintas ketika itu, secara keseluruhan beroperasi dengan teratur."

Untuk menghormati cara hidup atlet-atlet dari etnik minoriti yang berbeza-beza, setiap hotel yang menawarkan perkhidmatan penginapan kepada mereka, telah disediakan kantin untuk makanan halal. Perkhidmatan yang cukup teliti ini telah mendapat pujian daripada para atlet. Atlet pemancing dari Shanghai, Encik Liu Shoumin menyatakan bahawa,

"Kami telah menikmati perkhidmatan yang bermutu tinggi yang ditawarkan oleh pihak tuan rumah. Kami amat berpuas hati dengan segala perkara di sini, termasuklah makanan, penginapan dan pelancongan."

Bandar Quanzhou merupakan salah sebuah daripada 24 buah bandar sejarah dan budaya yang terkenal di China yang disahkan oleh Dewan Negara China. Bandar yang mempunyai hubungan yang rapat dengan Hong Kong, Makau dan Asia Tenggara ini mempunyai sejarah yang lama dan kebudayaan yang sungguh cemerlang. Terdapat juga banyak tapak peninggalan sejarah di bandar ini yang kini menjadi destinasi pelancongan yang diminati ramai di seluruh dunia. Ia juga merupakan tempat bermulanya "Laluan Sutera di Laut" pada zaman purba dan dikenali sebagai "pelabuhan yang paling besar di Timur pada zaman purba".

Sejak dahulu lagi, bandar Quanzhou sudah bersifat terbuka untuk menyerap agama dan budaya yang berbeza-beza dari luar negara. Inilah sebabnya ia digelar "muzium agama dunia", dan dianugerahi gelaran "pusat pameran kepelbagaian budaya dunia" yang pertama di dunia oleh UNESCO.

Kini, dengan keghairahan yang memuncak, pertandingan yang menarik serta perkhidmatan yang cekap dan mesra, penduduk Quanzhou berjaya memaparkan imej bandar kuno yang bersejarah ini kepada seluruh dunia.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |