Usaha kerajaan China untuk mendorong pertukaran ekonomi dan perdagangan kedua-dua pantai Selat Taiwan.
Sejak Tanah Besar China dan pulau Taiwan berada dalam keadaan terpisah pada tahun 1949, pertukaran ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua pantai Selat Taiwan juga terputus. Pada tahun 1979, pihak Tanah Besar China terlebih dahulu mengemukakan cadangan mewujudkan hubungan langsung antara kedua-dua pantai Selat Taiwan dalam bidang perdagangan, penghantaran mel, perkapalan dan penerbangan. Selepas itu, keredaan situasi politik antara kedua-dua pantai Selat Taiwan telah menyediakan persekitaran dan suasana yang sesuai untuk memulihkan dan mengembangkan hubungan ekonomi dan perdagangan kedua-dua pihak.
Pada tahun 1987, pihak berkuasa Taiwan mulai membenarkan penduduk pulau itu melawat Tanah Besar China untuk menziarahi sanak saudara. Selepas itu, ramai pedagang Taiwan telah datang ke Tanah Besar China untuk meninjau pasaran dan keadaan sumber di sini. Pada ketika itu, oleh sebab kos buruh di pulau itu semakin meningkat, industri intensif buruh Taiwan sangat memerlukan persekitaran perkembangan yang dapat menurunkan kos pengeluaran. Manakala, kerajaan dan rakyat Tanah Besar China kekurangan modal untuk mengembangkan ekonomi negara ini. Maka, Tanah Besar China yang besar pasaran dan kos buruhnya rendah telah menjadi pilihan pelaburan baru bagi perusahaan Taiwan. Dalam pada itu, tali persaudaraan antara penduduk kedua-dua pantai Selat Taiwan telah menjana perkembangan kerjasama ekonomi dan perdagangan Tanah Besar China dan pulau Taiwan. Pedagang Taiwan, Encik Lin Yanhong mengadakan lawatan pertamanya ke Tanah Besar China pada ketika itu dan memulakan usahanya di Tanah Besar China. Semasa mengimbau kembali urus niaga pertamanya dengan pihak Tanah Besar China, Encik Lin berkata,
"Saya pertama kali ke Tanah Besar China pada tahun 1989. Urus niaga saya ialah eksport besi dan keluli. Syarikat saya beroperasi sangat baik pada masa itu. Saya mencari kontrak di Taiwan, mencari kilang pembuatan besi dan keluli di Tanah Besar China dan mengeksport produk ke Amerika Syarikat."
Untuk mendorong kerjasama ekonomi dan teknologi antara kedua-dua pantai Selat Taiwan, pihak Tanah Besar China telah meluluskan banyak undang-undang dan peraturan termasuk Peraturan Perlindungan Pelaburan Pedagang Taiwan. Atas perlindungan dasar dan langkah tersebut serta tertarik dengan kedinamikan pertumbuhan ekonomi Tanah Besar China, semakin hari semakin ramai pedagang Taiwan telah mengadakan kerjasama dengan pihak Tanah Besar China dalam pelbagai bidang. Ramai pedagang telah meningkatkan pelaburan mereka di Tanah Besar China dan meluaskan bidang urus niaga syarikat mereka. Encik Lin Yanhong juga tidak ketinggalan, selain urus niaga besi dan keluli, beliau juga membeli bahan makanan seperti betari, kacang hijau, kacang merah, kacang pea dan lain-lain untuk dijual di Taiwan dan Vietnam.
Pada beberapa tahun ini, kawasan dan struktur pelaburan perusahaan Taiwan ke Tanah Besar China telah mengalami perubahan. Sebelum itu, pedagang Taiwan hanya melabur di Provinsi Fujian dan Provinsi Guangdong di bahagian tenggara China disebabkan kedua-dua provinsi itu berhampiran dengan pulau Taiwan dan mempunyai kelebihan dari segi lokasinya. Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi Tanah Besar China, untuk meningkatkan daya saing di pasaran Tanah Besar China, banyak perusahaan Taiwan telah menembusi pasaran kawasan pedalaman secara berperingkat-peringkat. Bidang pelaburan mereka juga beralih daripada industri intensif buruh kepada industri intensif teknologi. Beberapa perusahaan besar Taiwan juga telah mempercepat langkah pelaburan di Tanah Besar China. Ahli penyelidik Institut Pengajian Taiwan Akademi Sains Sosial China, encik Zhang Guanhua memaklumkan,
Selepas pertengahan tahun 1990-an, perusahaan mesin dan perusahaan petrokimia Taiwan juga melabur di Tanah Besar China. Di samping itu, perusahaan teknologi tinggi Taiwan seperti perusahaan skrin elektronik juga melakukan pelaburan secara besar-besaran di Tanah Besar China. Mereka telah mengambil alih kedudukan industri tradisional dalam jangka masa pendek dan menjadi kuasa utama pelabur di Tanah Besar China."
Semasa menganalisis perkembangan itu, Zhang Guanhua menyatakan, beberapa industri Taiwan berkembang lebih awal, Tanah Besar China pula mempunyai kelebihan dalam aspek pasaran dan bahan mentah. Keadaan saling melengkapi dari segi struktur industri telah membawa situasi menang-menang bagi kedua-dua pantai Selat Taiwan.
Secara umum kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua pantai Selat Taiwan telah dijelaskan oleh pegawai Pejabat Hal-Ehwal Taiwan Dewan Negara China encik He Shizhong dalam satu sidang akhbar baru-baru ini.
Setakat penghujung bulan Mei lalu, jumlah perdagangan keseluruhan Tanah Besar China dan Taiwan mencatat 430 bilion dolar Amerika, antaranya nilai Tanah Besar China dari Taiwan berjumlah lebih 360 bilion dolar Amerika. Pada masa ini, Tanah Besar China telah menjadi pasaran penjualan terbesar dan sumber lebihan perdagangan utama Taiwan."
Walaupun kerjasama ekonomi dan perdagangan kedua-dua pantai Selat Taiwan telah meliputi pelbagai bidang, akan tetapi perdagangan tersebut masih merupakan perdagangan tidak langsung. Punca utama yang mengakibatkan situasi tersebut kerana pihak berkuasa Taiwan tidak pernah memberi respons terhadap seruan Tanah Besar China dan penduduk Taiwan tentang mewujudkan hubungan langsung antara kedua-dua pantai Selat Taiwan dalam bidang perdagangan, penghantaran mel, perkapalan dan penerbangan, malah mereka sentiasa menghalang usaha menjayakan cadangan tersebut. Golongan yang paling tidak berpuas hati terhadap tindakan pihak berkuasa Taiwan tersebut ialah pedagang Taiwan. Usahawan Taiwan, encik Chen Guoyuan yang sudah lama berurus niaga di Tanah Besar China berkata,
"Jika hubungan langsung antara kedua-dua pantai Selat Taiwan dalam bidang perdagangan, penghantaran mel, perkapalan dan penerbangan dapat dijayakan, ini akan memanfaatkan perdagangan antara kedua-dua pantai Selat Taiwan baik dari segi tenaga manusia, sumber bahan dan peningkatan tahap keselamatan perdagangan. Kejayaan mengadakan hubungan langsung tersebut juga akan meningkatkan pertukaran penduduk kedua-dua pantai Selat Taiwan, membawa kepentingan kepada pedagang Taiwan dan juga merupakan hasrat bersama penduduk kedua-dua pantai Selat Taiwan."
Soalan 1. Sila menyatakan pasaran penjualan terbesar yang juga sumber lebihan perdagangan utama bagi Taiwan?
Soalan 2. Seruan mewujudkan hubungan langsung antara kedua-dua pantai Selat Taiwan dalam bidang perdagangan, penghantaran mel, perkapalan dan penerbangan dikemukakan oleh pihak mana? Kenapa cadangan itu belum dapat diwujudkan sehingga kini?
|