Patung Cheng Ho di Melaka
Legenda dan Peninggalan Sejarah Cheng Ho di Malaysia
Bumi berputar, zaman berubah. Kunjungan muhibah Cheng Ho ke Asia-Afrika pada enam abad yang silam sudah lama berlalu, namum cerita-cerita tentang Cheng Ho tetap segar dan kekal dalam ingatan rakyat, baik di China mahupun di luar China, khasnya di Asia Tenggara. Cerita-cerita yang tersebar dari mulut ke mulut, dari generasi ke generasi itu mencerminkan rasa hormat penduduk tempatan kepada Cheng Ho tentang jasanya meningkatkan persahabatan bangsa China dengan bangsa-bangsa lain, meskipun ceritanya belum tentu benar-benar terjadi dalam sejarah.
Kuil Sam Po Melaka telah menjadi destinasi pelancongan
Kunjungan Cheng Ho ke Asia Tenggara berbeza sama sekali dengan kedatangan kaum penjajah ke rantau ini. Sebagai contoh, terdapat suatu peribahasa Indonesia seperti berikut "bagai Belanda minta tanah", yang memperlihatkan rasa kebencian rakyat Indonesia terhadap penjajah Belanda yang licik dan tamak. Dalam buku China Dong Xi Yang Kao (Pengajian Mengenai Samudera Timur dan Samutera Barat) 1618 tercatat bahawa rakyat Melaka begitu membenci penjajah Portugis sehingga mengatakan bahawa di dunia ini ada tiga perkara yang paling jahat dan membahayakan: buaya, harimau dan penjajah Portugis. Ternyata kaum kolonialis disamakan dengan binatang buas oleh rakyat Melaka.
Cerita Hang Li Po dan Bukit Cina di Melaka
Cerita Puteri Hang Li Po diketahui oleh setiap warga Malaysia. Diketahui juga bahawa Laksamana Cheng Ho merupakan pegawai yang bertanggungjawab menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka.
Bukit Cina telah menjadi kawasan perkuburan orang Cina di Melaka
Bukit Cina terletak di sebelah timur laut Bandar Melaka pada masa ini. Bukit Cina disebut oleh orang Cina tempatan sebagai bukit Sam Po (nama Cheng Ho semasa kanak-kanak), sebab bukit itu pernah dijadikan sebagai tempat berkemah anak kapal Cheng Ho semasa mereka singgah di Melaka pada abad ke-15. Sebutan itu merupakan simbol memperingati dan menghargai sumbangan Cheng Ho menjalinkan persahabatan rakyat China-Melaka.
Peristiwa Laksamana Cheng Ho menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka, ternyata adalah suatu mitos. Ini kerana Cheng Ho meninggal dunia pada tahun 1433, manakala Sultan Mansur Syah yang memperisteri Puteri Hang Li Po memerintah pada tahun 1456-1477. Cheng Ho telah meninggal dunia 20 tahun lebih awal daripada Sultan Mansur Syah menaiki takhta tidak mungkin beliau dapat menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka untuk diperisteri oleh Sultan Mansur Syah.
Pemandangan dalaman Kuil Sam Po di Melaka
Walaupun cerita Hang Li Po tidak dapat dibuktikan dalam buku sejarah China, akan tetapi cerita itu sekurang-kurangnya mempunyai dua unsur positif yang amat penting.
Pertama, cerita itu menunjukkan bahawa persahabatan antara bangsa Melayu dengan bangsa China bersejarah panjang. Dan kedua, cerita Hang Li Po memperlihatkan fakta, iaitu sudah terjadi perkahwinan campur antara kaum Melayu dengan kaum Cina pada enam abad yang lalu.
Di kaki Bukit Sam Po terdapat Perigi Sam Po. Air perigi itu jernih dan sedikit manis sehingga orang berebut meminumnya. Khabarnya semasa Cheng Ho singgah di Melaka, digalinya tujuh buah perigi. Antaranya lima buah sudah ditutup oleh pihak berkuasa untuk pembinaan jalan. Kini, hanya tinggal dua buah perigi. Kedua-dua perigi itu disebut orang Cina sebagai perigi Sam Po.
Perigi Sam Po di Melaka
Menurut kajian sarjana-sarjana China, bukan hanya di Melaka, tetapi juga di Kuala Terengganu, Batu Maung iaitu Pulau Pinang sekarang dan Kuching (Sarawak) juga terdapat bangunan dan legenda indah yang berkaitan dengan kunjungan Cheng Ho.
Cheng Ho dan Sarawak
Di Kuching, Sarawak terdapat sebuah tokong yang disebut oleh masyarakat Cina sebagai Tokong Ngee Boon Kiung San Poh. Inilah satu-satunya tokong yang ada kaitan dengan kunjungan Cheng Ho ke Sarawak pada enam abad yang lalu.
Khabarnya api yang digunakan untuk membakar hio (dupa) di tokong itu dibawa oleh seorang lelaki dari Melaka yang dikunjungi oleh Cheng Ho semasa kedatangan beliau kali ketujuh ke Melaka. Lelaki itu turut meninggalkan sebilah pedang di dalam ceruk tokong itu. Ceruk itu 30 inci lebar, 40 inci panjang dan 35 inci tinggi.
Apakah Cheng Ho pernah ke Kuching? Sehingga kini tidak diperolehi catatan dalam buku-buku sejarah China kuno. Namun yang dapat dipastikan ialah dalam Peta Pelayaran Cheng Ho abad ke-15 ada tercatat Tong Gu Shan (Bukit Genderang Perunggu) sebagai salah satu nama tempat di Pulau Kalimantan. Sebab itu ada kemungkinan armada Cheng Ho pernah berkunjung ke pulau Kalimantan.
Tokong Sam Po Kong di Sarawak memperlihatkan betapa penduduk tempatan mencintai dan menghargai Cheng Ho.
Tentu sahaja baik bahan-bahan peninggalan sejarah mahupun cerita rakyat perlu dibahaskan sungguh-sungguh. Namun data-data itu sekurang-kurangnya telah memperlihatkan penghargaan tinggi rakyat Malaysia terhadap Cheng Ho dan persahabatan kedua-dua bangsa kita pada zaman silam. Semoga bunga persaudaraan China-Malaysia semerbak untuk selama-lamanya.
Soalan:
Adakah Laksamana Cheng Ho yang menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka?
A Ya B Bukan
|