Pada tahun 1405 masihi, iaitu 600 tahun dahulu, Laksamana Cheng Ho telah mengetuai armada Dinasti Ming yang terdiri daripada lebih 27 ribu orang bertolak dari Pelabuhan Liujiagang di Taicang, Provinsi Jiangsu China memulakan pelayaran pertamanya ke Kuli iaitu Calicut di India pada masa ini dan telah membuka lembaran baru dalam sejarah pelayaran manusia. Selepas itu, Cheng Ho pernah tujuh kali mengetuai armadanya melakukan pelayaran ke Asia dan Afrika dalam tempoh hampir 30 tahun. Dalam pelayaran tersebut, China menjalinkan hubungan yang erat dengan negara-negara Asia Tenggara dalam bidang politik, diplomatic dan perdagangan. Pertukaran kebudayaan kedua-dua pihak juga berkekalan sehingga hari ini.
Patung besi Cheng Ho ditemui di India
Cheng Ho adalah seorang sida istana Dinasti Ming China, juga orang kepercayaan maharaja Chengtsu. Nama asal Cheng Ho ialah Ma Ho. Nenek moyang beliau berasal dari Asia Tengah yang beragama Islam. Mereka ke Yunnan China mengikuti pasukan Kublai Khan dan langsung menetap di sana. Cheng Ho ditawan oleh tentera kerajaan Ming ketika beliau masih kanak-kanak dan dihantar ke istana Putera Yan menjadi sida. Oleh sebab sangat bijak dan setia, beliau telah menjadi orang kepercayaan Putera Yan. Dalam rampasan kuasa di istana, Cheng Ho telah membantu Putera Yan merampas kuasa maharaja Jianwen, iaitu anak saudaranya dan menjadi maharaja Chengtsu.
Selepas maharaja Chengtsu naik takhta, baginda telah mengutus Jiang Yixing, Wang Shu dan pegawai lain pergi ke Asia Tenggara untuk mengumumkan pertabalan baginda. Baginda juga berharap meningkatkan hubungan dengan negara-negara di Asia Tenggara dan meningkatkan kewibawaan empayar dinasti Ming. Selepas itu, maharaja Chengtsu telah memilih Cheng Ho sebagai utusannya melakukan pelayaran secara besar-besaran sebanyak tujuh kali selama 28 tahun.
Pelayaran Cheng Ho bertolak dari Nanjing dan mengumpulkan pasukan armadanya di Liujiagang di Taicang, Provinsi Jiangsu. Mereka belayar ke arah selatan di perairan pesisir pantai timur China dan berlabuh di Pelabuhan Taiping di Changle, Fujian untuk menunggu monsun barat laut dari Lautan Pasifik. Pada bulan November hingga Disember, selepas monsun tiba, armada Cheng Ho akan memulakan pelayaran melalui Selat Taiwan dan Laut China Selatan ke Asia dan Afrika. Ada sarjana telah membuat kajian yang teliti tentang laluan pelayaran Cheng Ho dan berpendapat, terdapat 56 laluan penting dalam pelayaran Cheng Ho, semua laluan tersebut sejauh 15000 batu nautika.
Pada tahun 1405, Cheng Ho telah melakukan pelayaran pertamanya ke Asia atas arahan maharaja Chengtsu. Timbalan komander armada itu juga adalah seorang sida yang sangat cekap. Oleh sebab semua negara di barat Sumatera adalah negara Islam, antara para pengiring beliau termasuk ramai penterjamah bahasa Arab dan penduduk Islam yang memahami kebudayaan Arab.
Dalam tempoh pemerintahan maharaja Chengtsu, Cheng Ho pernah enam kali mengetuai armada ke Asia dan Afrika. Pelayaran tersebut telah dilakukan pada tahun 1405, 1407, 1408, 1412, 1421 dan 1424. Tempoh pelayaran tersebut selama satu atau dua tahun. Pada tahun 1424, maharaja Chengtsu mangkat, anakandanya Zhu Gaozhi telah mewarisi takhta dan digelar Renzong. Renzong telah mengumumkan menamatkan ekspedisi pelayaran Cheng Ho kerana baginda berpendapat pelayaran Cheng Ho terlalu membazir dan juga tidak mencapai keberkesanan yang diharapkan. Akan tetapi, tidak sampai setahun kemudian, Renzong gering dan mangkat. Maharaja seterusnya, Xuanzong sekali lagi mengarahkan Cheng Ho mengetuai armada yang terdiri daripada lebih 27000 orang belayar ke Asia dan Afrika pada tahun 1431. Cheng Ho yang berumur 62 tahun meninggal dunia dalam pelayaran balik ke China dan dikebumikan di Calicut India pada masa ini. Selepas pelayaran itu, kerajaan Ming telah menutup pintu negara China dan mula menjalankan dasar melarang perdagangan melalui laut yang berkekalan selama ratusan tahun.
Sehingga hari ini, kami belum mengetahui factor sebenar pelayaran Cheng Ho ke Asia dan Afrika. Ada orang berpendapat bahawa pelayaran Cheng Ho adalah untuk mencari maharaja Jianwen yang sudah hilang selepas berlaku rampasan kuasa. Ada orang berpendapat, pelayaran Cheng Ho adalah untuk mendorong perdagangan dan menubuhkan angkatkan tentera laut yang kuat. Tidak kisah apa factor sebenar yang mendorong Dinasti Ming melakukan pelayaran secara besar-besaran itu, yang pasti, Cheng Ho telah dikenali sebagai ahli pelayaran yang mahir dan panglima yang cekap di dunia dan namanya juga diabadikan dalam sejarah masyarakat Asia Tenggara.
Soalan:
1. Tahun ini merupakan ulang tahun keberapa pelayaran Cheng Ho ke Asia dan Afrika?
A. 550 B. 650 C. 600
2. Berapa kali Cheng Ho melakukan pelayaran tersebut?
A. 6 B.7 C. 5
|