 Nama saya Roo Ching. Saya bertugas di Bahagian Bahasa Melayu Radio Antarabangsa China (CRI). Tugas utama saya adalah untuk memperkenalkan kepada para pendengar tentang keadaan China dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan sebagainya melalui siaran radio kami untuk meningkatkan persefahaman dan pengetahuan pendengar terhadap China. Siaran radio kami telah menjadi jambatan persahabatan antara rakyat China dengan rakyat di Asia Tenggara, khususnya di Malaysia.
Saya diberi peluang mempelajari bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2000. Dalam tempoh pengajian itu, pengetahuan saya tentang Malaysia dalam pelbagai bidang seperti kebudayaan, pendidikan dan perkembangan semasa di Malaysia bertambah. Saya mengenali ramai sahabat yang ramah-tamah di sana, kami belajar, berbual-bual dan berjenaka bersama, dan berasa amat gembira. Alam sekitar di Malaysia amat cantik, khususnya, pemandangan di pantai dan hutan meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya.
Sekarang, saya bertanggungjawab menangani ruangan "Inovasi" dalam rancangan "Era Baru" yang disiarkan pada setiap hari Isnin. Saya berharap dapat memberi sumbangan untuk mengeratkan hubungan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara China-Malaysia.
|