v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Kesimpulan Kuiz Pengetahuan Sambutan Ulang Tahun Ke-600 Pelayaran Laksamana Cheng Ho Ke Asia dan Afrika

2006-01-20 10:58:38 CRI

Aktiviti Kuiz Pengetahuan Sambutan Ulang Tahun Ke-600 Pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia dan Afrika yang bermula dari bulan Jun tahun ini telah diselesaikan dengan jayanya. Kami telah menerima surat jawapan kuiz pengetahuan tersebut sebanyak lebih 400 pucuk. Para pendengar yang berasal dari Malaysia, Negara Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia dan Mesir telah menyertai aktiviti kuiz pengetahuan tersebut. Bagi pihak semua staf bahagian bahasa Melayu CRI, saya mengucapkan jutaan terima kasih atas penyertaan dan sokongan saudara dan diharapkan saudara pendengar akan terus menyokong usaha kami. Pada 16 hari bulan November, kami sudah mengirimkan jawapan yang tepat kepada para pendengar yang telah menyertai aktiviti kuiz pengetahuan kali ini. Sekiranya saudara ada sebarang pertanyaan atau cadangan, sila kirimkan surat atau hantarkan e-mel saudara kepada kami.

Seterusnya kami maklumkan jawapan bagi empat siri kuiz pengetahuan Cheng Ho kali ini. Kami mengemukakan dua soalan dalam siri pertama, soalan pertama, tahun ini merupakan ulang tahun keberapa pelayaran Cheng Ho ke Asia dan Afrika? Antara tiga pilihan jawapan itu, jawapan yang paling tepat ialah C:600. Soalan kedua ialah berapa kalikah Cheng Ho melakukan pelayaran tersebut? Jawapan tepatnya ialah B:7 kali. Dalam tempoh pemerintahan maharaja Chengtsu, Cheng Ho pernah 6 kali mengetuai armada ke Asia dan Afrika. Pelayaran tersebut telah dilakukan pada tahun 1405, 1407, 1408, 1412 dan 1424. Setelah Xuanzong menaiki takhta, Cheng Ho sekali lagi diarahkan untuk belayar ke Asia dan Afrika pada tahun 1431. Cheng Ho yang berumur 62 tahun meninggal dunia dalam pelayaran balik ke China dan dikebumikan di Calicut India pada masa ini. Jadi Cheng Ho telah melakukan pelayarannya ke Asia dan Afrika sebanyak 7 kali.

Soalan bagi siri kedua kuiz pengetahuan Cheng Ho ialah Adakah Laksamana Cheng Ho yang menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka? Jawapannya ialah Tidak. Cheng Ho tidak menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka. Peristiwa Laksamana Cheng Ho menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka merupakan suatu mitos. Ini kerana Cheng Ho meninggal dunia pada tahun 1433, manakala Sultan Mansur Syah yang memperisteri Puteri Hang Li Po memerintah pada tahun 1456-1477. Cheng Ho telah meninggal dunia 20 tahun lebih awal daripada Sultan Mansur Syah menaiki takhta dan tidak mungkin beliau dapat menghantar Puteri Hang Li Po ke Melaka untuk diperisteri oleh Sultan Mansur Syah.

Soalan dalam siri ketiga kuiz pengetahuan Cheng Ho ialah: Pada tahun berapakah makam Raja Brunei ditemui di Nanjing? Dan pada tahun berapakah Raja Brunei mangkat di Nanjing? Jawapan bagi soalan pertama ialah makam Raja Brunei ditemui di Nanjing, kota utama Provinsi Jiangsu pada tahun 1958. Jawapan bagi soalan kedua ialah tahun 1408. Pada 19 Oktober 1408, Raja Brunei itu mangkat di Huitungkuan, Nanjing China.

Kami mengemukakan dua soalan dalam siri keempat kuiz pengetahuan Cheng Ho. Soalan pertama ialah: Benarkah pelayaran Cheng Ho lebih awal daripada pelayaran Christopher Colombus? Jawapannya adalah benar. Cheng Ho belayar lebih awal 87 tahun daripada beberapa ahli pelayaran Eropah seperti Christopher Colombus. Soalan kedua ialah: Dari manakah Cheng Ho memperoleh "boqing", sejenis bahan untuk membuat tembikar putih di Jingdezhen China? Sebenarnya Cheng Ho memperoleh "boqing" dari bahagian utara pulau Borneo, iaitu Kalimantan, termasuk kawasan Sarawak dan Sabah Malaysia sekarang. Bahan itu sangat penting untuk membuat tembikar putih di Jingdezhen.

Sekianlah jawapan yang tepat bagi keempat-empat siri kuiz pengetahuan Sambutan Ulang Tahun ke-600 pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia dan Afrika. Sekali lagi jutaan terima kasih atas penyertaan dan sokongan saudara pendengar. Kami akan menganjurkan aktiviti yang baru bagi para pendengar pada tahun depan. Diharapkan saudara pendengar akan terus menyokong dan menyertai aktiviti yang kami rancang.

Ramai pendengar telah menyertai kuiz pengetahuan kali ini dan menjawab semua soalan dengan tepat. Kami ucapkan tahniah kepada saudara pendengar yang berjaya dalam kuiz pengetahun ini. Kami akan mengirimkan hadiah yang istimewa kepada saudara dengan secepat mungkin. Bagi saudara pendengar yang memberikan jawapan yang kurang tepat, juga akan mendapat cenderahati. Seterusnya kami umumkan nama-nama pendengar yang berjaya dalam kuiz pengetahuan kali ini. Pemenangnya ialah Roslinah Binti Rastim, Aliah Binti Abdul Rahim, Mohammad Bin Awang dan Lee Siew Kim yang dari Malaysia. Nelfida, Sularti, Romlah, Firman, Suwito, Ennie Listiyahi kesemuanya berasal dari Indonesia. Selain itu, Lee Siew Kim, Tan Hee, Mohammad Bin Awang dari Malaysia, Khairol Azri dari Negara Brunei Darussalam dan Beno, Lie Muk Pau dari Indonesia juga menjawab keempat-empat siri kuiz pengetahuan kali ini, walaupun sesetengah soalan yang dijawab adalah tidak tepat. Namun begitu kami amat berterima kasih kepada saudara. Semoga saudara berjaya dalam siri kuiz yang akan datang.

Beberapa pendengar juga turut memberi pandangan terhadap aktiviti sambutan ulang tahun ke-600 pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Asia dan Afrika bersama-sama kertas jawapan mereka. Berikut saya bacakan pandangan saudara Suwito, pendengar setia kita dan rakan-rakan yang lain, iaitu saudara Hadi, Lukito, Lily Mariani, Suhasan, Hidayat, Hendra S., Sumadi, Andre, Anton S., Sukardi, Hendru dan Heri.

Inilah pandangan mereka untuk siri kedua: "Meskipun cerita tentang Hang Li Po tidak dapat dibuktikan dalam buku sejarah China, namun cerita tersebut mempunyai dua unsur positif iaitu cerita itu menunjukkan bahawa persahabatan antara bangsa Melayu dengan bangsa China telah bermula sejak zaman silam. Cerita Hang Li Po memperlihatkan fakta iaitu sudah terjadi perkahwinan campur antara kaum Melayu dengan kaum China pada 6 abad yang lalu."

Untuk siri ketiga, rakan-rakan kita berpandangan bahawa "Adakah Cheng Ho dan rombongannya pernah berkunjung ke Brunei atau tidak itu tidak pasti. Yang pasti ialah sudah terjalinnya hubungan diplomatik yang agak lama antara China dengan Brunei sebelum kedatangan Raja Brunei ke China sehingga terjalinnya hubungan baik antara China dan Brunei pada pertengahan abad ke-15. Kemungkinan ini ialah kesan positif hasil kunjungan muhibah rombongan Cheng Ho ke Asia Tenggara khasnya dan ke Lautan Hindia amnya."

"Pandangan untuk siri ke empat. Pelayaran Cheng Ho mencerminkan kemajuan pelayaran China pada zaman Dinasti Ming dan sumbangannya hingga wujudnya persahabatan dan perniagaan dalam siri pelayarannya ke Samudera Barat termasuklah ke Semenanjung Tanah Melayu."

Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang memberikan pandangan terhadap pelayaran Laksamana Cheng Ho.

Kuiz pengetahuan "Taiwan, Sebuah Pulau Yang Indah di China" masih diteruskan sehingga penghujung bulan Disember tahun ini. Saudara dialu-alukan untuk terus menjawab soalan kuiz tentang Taiwan dan memberi pandangan atau ulasan kepada kami.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |