v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Selamat Tahun Baru China!

2006-02-07 11:31:31 CRI

Malam menjelang tahun baru China akan tiba pada keesokan malam. Pada kesempatan ini, saya bagi pihak semua kakitangan bahagian bahasa Melayu CRI mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan saudara selama ini. Semoga saudara sekeluarga berbahagia dan bergembira pada tahun baru ini. Kami juga berharap agar saudara terus memberikan perhatian kepada usaha kami.

Saudari Xie Caiwen dari pusat dialek tempatan China CRI telah menceritakan beberapa adat resam yang istimewa di Provisi Guangdong semasa bertemu bual dengan saya. Dia juga ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua orang Cina dan keturunan Cina di seluruh Asia Tenggara.

Bandar Guangzhou juga dikenali sebagai "bandar berbunga-bunga". Apabila tibanya tahun baru China, pesta bunga yang untuk menyambut tahun baru akan diadakan secara besar-besaran. Semasa sehari menjelang tahun baru China, hampir kesemua jalan atau lorong di bandar Guangzhou telah dihiasi dengan pelbagai bunga yang cantik. Beberapa taman yang besar akan mengadakan pameran bunga-bungaan. Selalunya pada malam menjelang tahun baru China, penjual-penjual akan membina rak-rak bunga di kiri kanan jalan untuk menarik perhatian orang ramai. Selain itu terdapat juga ramai penjual akan menjaja bunga dari rumah ke rumah. Penjualan bunga-bunga seperti ini biasanya berlangsung sehingga waktu subuh keesokan harinya. Inilah pesta bunga yang khususnya terdapat di bandar Guangzhou.

Perusahaan penanaman bunga di Guangzhou telah mempunyai sejarah yang lama, iaitu mengimbau kembali lebih seribu tahun yang lalu. Jenis bunga yang ditanam di Guangzhou kini juga semakin banyak. Menurut rakan saya yang berasal dari Guangzhou, bunga yang berbagai jenisnya mempunyai erti yang berlainan.

Limau kumkuat melambangkan kebahagiaan. Limau yang berbentuk bulat dan kecil amat disukai ramai. Saya masih ingat akan beberapa tahun yang lalu, emak saya telah menanam pokok limau kumkuat. Semasa berbuah, limau itu kelihatannya seperti tanglung yang tergantung pada ranting pokok. Kadangkala emak saya akan memetik beberapa biji limau kumkuat itu dan mengeringkannya. Kemudian buah limau itu direndam di dalam air untuk diminum. Rasanya manis dan amat baik untuk kesihatan.

Kebiasaannya orang Guangzhou lebih suka menggunakan bunga pic untuk menghiaskan rumah. Kebanyakan kedai, restoran dan hotel sentiasa meletakkan beberapa pasu pokok bunga pic untuk menarik perhatian pelanggan-pelanggan. Bolehlah dikatakan pokok bunga pic telah menjadi "pokok Chrismas" bagi orang Guangzhou.

Selain itu, orang Guangzhou juga suka menanam bunga dafodil. Pada awal bulan Disember setiap tahun, kebanyakan orang akan membeli beberapa pasu pokok dafodil dan menantikannya berbunga dengan seawal mungkin. Ada pepatah China menyatakan bahawa: "bunga berbunga menandakan kekayaan." Oleh sebab itu, kebanyakan orang berpandangan bahawa bunga yang berbunga boleh meramalkan nasib yang baik dan mencapai kejayaan pada tahun yang baru.

Kebanyakan orang Guangzhou menggemari bunga dan memberikan pelbagai makna yang baik kepada pelbagai bunga. Sehubungan dengan itu, bunga telah menjadi perlambangan dan mempunyai kedudukan yang amat penting dalam adat resam kehidupan masyarakat tempatan di bandar Guangzhou.

Adat resam merayakan tahun baru China di Daerah Chaozhou dan Shantou mempunyai perbezaan dengan daerah-daerah lain di Provinsi Guangdong. Perkara utama yang dilakukan oleh mereka menjelang tahun baru ialah menampal lukisan dewa dan kertas merah pada pintu. Penduduk di kawasan Chaozhou dan Shantou sangat mengutamakan kertas merah. Mereka pasti akan memilih dengan teliti supaya kertas merah yang dibeli merupakan kertas merah yang paling bermakna. Bagi generasi yang lebih tua mereka lebih suka menulis sendiri pada kertas merah tersebut. Lukisan dewa pintu pula, berasal daripada adat istiadat orang dahulu yang bertujuan untuk menghalau hantu. Akan tetapi pada masa kini, lukisan tersebut menggambarkan hasrat untuk keselamatan dan kesejahteraan ahli keluarga.

Makanan dari kawasan Chaozhou dan Shantou pula sememangnya telah terkenal di seluruh China. Apakah makanan yang istimewa yang disediakan oleh penduduk di kawasan tersebut untuk pesta makan malam menjelang tahun baru? Saya telah mewawancarakan Yu Lingyu yang berasal dari kawasan Chaozhou.

Dia beritahu saya bahawa daging angsa merupakan satu hidangan yang menjadi kemestian untuk menyambut tahun baru China. Pada hari sebelum tahun baru China, kami akan membeli seekor angsa dari pasar. Selalunya kami akan menyembelih sendiri angsa itu dan selepas itu angsa tersebut akan diletakkan ke dalam sebuah periuk yang besar untuk direndidih, kemudiannya ditambahkan dengan bumbu atau rempah-ratus tempatan yang istimewa. Selepas 5 hingga 6 jam, hidangan angsa yang sangat lazat sekali sudah disiapkan. Jika ada kesempatan, saudara dialu-alukan merasa sendiri hidangan angsa tersebut.

Malam menjelang tahun baru China merupakan malam yang paling penting bagi penduduk di kawasan selatan Provinsi Fujian. Pada malam ini, semua anggota keluarga akan bersama-sama menikmati makan malam. Mereka juga turut menyediakan sebuah mangkuk dan penyepit bagi ahli keluarga yang tidak dapat pulang bersama-sama. Ini melambangkan penyatuan sekeluarga. Penduduk Hokkien pasti akan memasak sayur bayam dan kuih pulut untuk hidangan makan malam menjelang tahun baru China. Sayur bayam itu tidak akan dipotong akarnya kerana melambangkan kesejahteraan.

Rakyat China sangat berminat pada aktiviti menjawab teka-teki lentera semasa merayakan tahun baru China. Dari malam menjelang tahun baru China sehingga hari Capgome, pelbagai aktiviti menjawab teka-teki lentera akan diadakan secara berterusan di taman-taman. Pada kesempatan ini saya berikan tiga teka-teki kepada saudara untuk dijawab. Diharapkan saudara gembira semasa menjawab teka-teki ini.

1, Ia adalah sebahagian daripada alam semula jadi. Ada kalanya ia turun di belakang gunung, ada kalanya ia tergantung di pucuk pokok, kadang kala ia serupa dengan cermin yang bulat, kadang kala ia serupa dengan sebuah sabit. Apakah itu?

2, Benda itu besar tetapi sangat ringan. Terdapat api yang bernyala di dalam perut benda itu. Apakah benda tersebut?

3, Terdapat lima adik-beradik hidup bersama-sama. Namanya tidak sama. Tingginya juga tidak sama. Mereka adalah sebahagian daripada anggota badan manusia. Apakah itu?

Sekiranya saudara telah memperoleh jawapannya, silalah beritahu kepada kami.

Akhirnya sekali lagi kami ucapkan terima kasih kepada saudara pendengar atas sokongan padu saudara selama ini dan semoga saudara sihat sejahtera dan semua impian saudara akan menjadi nyata!

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |