Pada 12 Februari yang lepas ialah hari Cap Goh Meh China. Tentulah orang China di seluruh dunia telah merayakannya secara meriah. Di negara China, Cap Goh Meh memang amat dipentingkan. Selepas hari Cap Goh Meh itu, bermakna berakhirlah pelbagai aktiviti menyambut Tahun Baru China. Pada hari itu, terdapat dua perkara tradisi yang biasanya dilakukan oleh orang China, iaitu makan kuih onde-onde, iaitu sejenis kuih seperti bebola kecil bentuknya, kulitnya dibuat daripada tepung pulut dan bersalut biji serta berinti kacang merah dan lain-lain dan menyalakan tanglung. Dalam program kali ini, kami akan perkenalkan tradisi tanglung di China.
Pesta tanglung telah mempunyai sejarah yang lama di China. Dalam kalangan rakyat, terdapat pelbagai kisah yang menarik tentang asal usul tanglung. Dalam salah satu kisah legenda zaman purba China, Yuhuangdadi merupakan maharaja di kayangan. Pada suatu hari, seekor burung yang dipelihara olehnya telah tersesak jalan lalu tiba di hutan. Burung itu dibunuh oleh seorang pemburu secara tidak sengaja. Selepas maharaja Yuhuangdadi mengetahui perkara itu, baginda terlalu marah dan memerintahkan askarnya di kayangan menyalakan api ke arah manusia pada hari yang ke-15 selepas Tahun Baru Chna. Puteri Yuhuangdadi tidak sampai hati melihat penduduk yang tidak berdosa dibakar dan beliau telah memberitahu berita itu kepada penduduk secara rahsia. Setelah mengetahui perkara itu, semua manusia berasa amat takut. Seorang lelaki tua telah mencadangkan supaya semua penduduk menggantung tanglung di merata-rata tempat. Pada hari itu, ketika Yuhuangdadi melihat dari kayangan, baginda mendapati di merata-rata tempat penduduk kelihatan merah. Baginda berfikir manusia telah dibakar dan tidak perlu lagi menyalakan api. Maka, nyawa dan harta-benda manusia dapat diselamatkan. Untuk memperingati kejayaan itu, tanglung-tanglung telah digantung di merata-rata tempat pada 15 haribulan selepas Tahun Baru China pada setiap tahun. Tradisi menggantung tanglung telah diwariskan dan diperkembang dari satu generasi ke satu generasi yang lain.
Pada zaman dinasti Tang dan Song, aktiviti menyalakan tanglung menjadi aktiviti hiburan yang paling popular bagi seluruh rakyat China tanpa mengira orang miskin atau kaya. Pada hari itu, setiap keluarga akan membeli tanglung. Orang miskin yang tidak mampu membelinya akan memetik daun bunga teratai dan meletakkan lilin sebagai pengganti tanglung. Dari tempoh hari pertama Tahun Baru China hingga hari Cap Goh Meh, tanglung akan digantung di merata-rata tempat seperti pada pokok dan dinding rumah. Reka bentuknya juga mempunyai pelbagai jenis seperti bunga, binatang, burung dan lain-lain. Nyalaan tanglung akan diadakan sepanjang 24 jam selama beberapa hari. Penyair terkenal China pada zaman Dinasti Tang Lu Zhaolin mempaparkan keadaan ketika tanglung dinyalakan dalam syairnya. Beliau turut menulis bahawa tanglung yang digantung di merata-rata tempat kelihatan seperti bintang-bintang yang jatuh dari langit.
Menikmati tanglung juga merupakan satu aktiviti yang romantik. Gadis-gadis China pada masa dahulu tidak dibenarkan ke luar untuk bermain kecuali menikmati tanglung pada hari Cap Goh Meh. Sehubungan dengan itu, hari Cap Goh Meh merupakan satu peluang bagi gadi-gadis untuk menemui lelaki yang dicintai. Maka Hari Cap Goh Meh juga dianggap sebagai hari kekasih di China pada masa dahulu.
Tanglung amat digemari oleh kalangan penyair dan pelukis pada masa dahulu. Sesetengah penyair akan menulis teka-teki pada tanglung untuk diteka oleh orang ramai. Maka teka-teki itu juga diberi nama "teka-teki lentera". Aktiviti menjawab teka-teki lentera diadakan di taman-taman pada hari Cap Goh Meh, teka-teki akan ditulis pada tanglung. Sesiapa yang memperoleh jawapan yang betul akan diberi hadiah. Sekarang, pelbagai pusat membeli-belah di China juga turut mengadakan aktiviti teka-teki untuk menarik lebih ramai pelanggan.
|