v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Siri Ketiga Kuiz Pengetahuan "Masjid di China"
2006-04-10 10:54:12 CRI

                 Kuiz Pengetahuan "Masjid di China" Online

Selepas pembentukan Republik Rakyat China, kehidupan rakyat pelbagai etnik di China telah memasuki tahap yang baru. Parti Komunis China dan kerajaan China telah menetapkan dan melaksanakan dasar kebebasan beragama serta dasar yang menghormati adat resam etnik minoriti. Sehubungan dengan itu, banyak masjid dan makam ulama Islam telah dibaiki dan masjid yang bersejarah lama telah dipulihara dengan baik. Selain itu, banyak masjid yang baru telah didirikan pada masa itu agar memenuhi keperluan orang Islam untuk mengadakan aktiviti keagamaan. Antara masjid tersebut, sejumlah besarnya telah menggunakan reka bentuk seni bina Arab supaya lebih menonjolkan keistimewaan agama Islam. Masjid yang mewakili ciri seperti ini termasuklah Masjid Nanguan di Bandar Yinchuan di Daerah Autonomi Etnik Hui Ningxia dan Masjid di Bandar Jinzhou di provinsi Liaoning serta institut pengajian agama Islam China di Beijing.

 

Masjid Nanguan di Daerah Autonomi Etnik Hui Ningxia

Apakah ciri-ciri seni bina Arab dalam reka bentuk bangunan masjid di China? Pertama ialah rupanya, bangunan masjid tersebut mempunyai reka bentuk Arab. Masjid-masjid yang dibina pada masa itu tidak menggunakan reka bentuk tradisional China yang diperbuat daripada kayu seperti kuil atau istana. Sebaliknya mereka telah meniru reka bentuk Arab. Yang paling menarik dalam bangunan masjid seperti ini ialah kubah-kubah hijau yang besar. Antaranya terdapat empat kubah yang lebih kecil di keempat-empat penjuru masing-masing dan di tengah-tengah keempat-empat kubah itu terdapat sebuah kubah yang terbesar. Di bumbung kubah yang terbesar itu dipasangkan bulan sabit yang mengarah ke langit biru. Kubah-kubah masjid tersebut memainkan peranan yang menonjol dalam keseluruhan seni bina masjid. Jika masjid yang menggunakan reka bentuk tradisional China itu susah untuk dibezakan daripada kuil atau istana China dari segi rupanya, namun masjid yang menggunakan reka bentuk Arab itu mudah diketahui oleh orang ramai bahawa bangunan yang mempunyai kubah hijau itu ialah masjid bagi orang Islam. 

Ciri yang kedua ialah aturan kedudukan bangunan masjid tidak menggunakan reka bentuk rumah berhalaman dan medan segi empat tradisional China. Sebaliknya menurut reka bentuk bangunan tinggi dan memusat. Contohnya seperti Masjid Nanguan di bandar Yinchuan, Daerah Autonomi Etnik Hui Ningxia di barat laut negara China. Masjid tersebut tidak mengutamakan barisan sejajar, tetapi sangat mementingkan paksi yang tegak bagi bangunan. Masjid itu mempunyai dua tingkat. Di tingkat atas ialah dewan solat. Dewan itu berbentuk segi empat, panjang dan lebarnya masing-masing 21 meter. Di sebelah kiri dan kanan dewan tersebut masing-masing terdapat enam buah tingkap yang besar supaya persekitaran dalam dewan solat itu kelihatan terang-benderang dan pemandangan luarnya cukup luas. Di tengah-tengah dewan itu terdapat empat tiang yang berwarna hijau. Keempat-empat tiang itu menyangga lelangit tersebut. Di tingkat bawah terdapat bilik mandi untuk lelaki dan perempuan, bilik solat kecil dan bilik istirahat untuk Imam dan ruang tamu.

Ciri yang ketiga ialah biasanya seni ukiran dan lukisan berwarna-warni tidak digunakan untuk menghiasi bangunan masjid, sebaliknya warnanya amat bersih dan kemas. Contohnya seperti Masjid Jin Zhou di provinsi Liaoning. Ruangan di dalam masjid itu kebanyakannya menggunakan warna muda dan lembut untuk menambahkan suasana yang hening dan tenang. Dalam masjid tersebut terdapat sekumpulan lampu dinding berbentuk bunga magnolia yang berwarna putih susu. Lampu tersebut dipasang pada dinding putih. Contoh lain adalah seperti Masjid Nanguan di Yinchuan. Masjid itu lebih menonjolkan reka bentuk Arab. Selain itu, juruhias dalaman bangunan masjid itu sangat mementingkan penggunaan warna keseluruhannya. Misalnya masjid Nanguan, tapak asas masjid itu menggunakan warna kelabu agar kelihatan lebih kukuh, dan kubahnya diwarnakan dengan warna hijau yang paling disukai oleh orang Islam. Kubah hijau itu apabila disatukan dengan langit biru, awan putih dan matahari merah telah menggabungkan sebuah lukisan yang menarik.

Dewan Solat di Masjid Liutan di Tian Jing China

Sejak kebelakangan ini, sejumlah besar masjid baru telah menyerap reka bentuk Arab dengan pembinaan kubah yang tinggi. Contohnya seperti Masjid Linxia di provinsi Gansu di barat laut negara China, masjid An Kang di provinsi Sha'an'xi. Walau bagaimana pun, masjid yang dibina menurut reka bentuk tradisional China juga masih wujud di seluruh China. Masjid seperti ini selepas dibaiki masih mengekalkan seni bina tradisional China yang kelihatan seperti istana. Boleh dikatakan bahawa pada zaman moden ini pelbagai seni bina bangunan masjid di China sama-sama wujud dan berkembang.

Masjid Tong Xin di Daerah Autonomi Etnik Hui Ningxia

Di negara China, masjid bukan sahaja merupakan tempat ibadat, malahan juga menjadi tempat aktiviti kemasyarakatan bagi umat Islam. Sebenarnya sesebuah masjid berjaya menyatupadukan umat Islam di sekelilingnya secara beransur-ansur dan menjadi sebuah pertubuhan awam dan juga keagamaan yang bersifat tempatan. Dalam bahasa mandarin, pertubuhan tersebut disebut sebagai "Jiao Fang". "Jiao Fang" selalunya berpusat di sesebuah masjid. Setiap "Jiao Fang" mentadbirkan urusan sendiri.

Terdapat dua sistem utama bagi reka bentuk bangunan masjid di China, iaitu reka bentuk tradisional China dan reka bentuk Arab. Masjid-masjid di China telah mengekalkan ciri-ciri gaya China di samping menyerap kebaikan dan keunikan gaya Timur Tengah. Masjid di seluruh tempat di China merupakan hasil kebijaksanaan rakyat pelbagi etnik dalam sejarah China. Masjid-masjid di China dianggap sebagai khazanah yang berharga dan patut dipelihara serta kita hormati.

Soalan:

Di negara China, masjid bukan sahaja merupakan tempat ibadat, malahan juga menjadi tempat aktiviti kemasyarakatan bagi umat Islam. Oleh sebab itu, sebuah pertubuhan yang dinamakan "Jiao Fang" dalam bahasa mandarin telah wujud. "Jiao Fang" ialah sebuah pertubuhan awam yang selalunya berpusat di sesebuah masjid dan bersifat tempatan. Adakah pernyataan tersebut betul atau salah?

Sila kirimkan surat atau hantarkan e-mel kepada kami. Alamat e-mel ialah mal@cri.com.cn

atau malay@chinabroadcast.cn

Alamat surat-menyurat ialah:

BEIJING,CHINA

MALAY SERVICE, CRI-18

CHINA RADIO INTERNATIONAL

P.O.Box 4216, BEIJING

P.R.CHINA 100040

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |