v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Siri Pertama Kuiz Pengetahuan Sambutan Ulang Tahun Ke-65 CRI: Sejarah Awal Usaha Penyiaran China Ke Luar Negara
2006-06-19 11:05:16 CRI

Radio Antarabangsa China (CRI) yang ditubuhkan pada 65 tahun yang lalu merupakan satu-satunya stesen radio milik negara China yang menyiarkan rancangan ke luar negara.

Pada peringkat awal tahun 1940-an, rakyat China sedang menderita akibat pencerobohan Jepun. Demi menyokong usaha menentang pencerobohan Jepun ke atas China, Parti Komunis China telah menubuhkan stesen Radio Xinhua Yan'an bagi memperkenalkan situasi semasa di dalam dan luar negara di samping menyeru pelbagai golongan masyarakat dalam dan luar negara bersama-sama menentang pencerobohan Jepun.

Stesen Radio Xinhua Yan'an tersebut terletak di Yan'an, bahagian barat laut China yang merupakan penempatan Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China pada masa itu.

Tempat asal bagi Stesen Radio Xinhua Yan'an di Yan'an,China

Pada 3 Disember 1941, Radio Xinhua Yan'an telah memulakan siarannya dalam bahasa Jepun. Nama siaran itu ialah XNCR. Golongan pendengar tertumpu kepada askar Jepun di China. Penyiar pertama ialah Puan Hara Kiyoshi, warga Jepun yang menentang peperangan.

Walaupun bilik penyiaran pada masa itu hanyalah di sebuah gua yang kelengkapannya serba kekurangan dan kuasa pancaran radionya hanya 300 watt sahaja, namun di ruang udara wilayah China terdapat siaran bahasa asing kepada pendengar luar negara. Sehubungan dengan itu, 3 Disember 1941 merupakan hari permulaan usaha penyiaran kepada luar negara dalam sejarah China. 

Encik Lu Rufu kini sudah berusia hampir 70 tahun. Beliau ialah perantau Cina yang pulang ke China dari Jepun pada tahun 1950-an, dan pernah bekerja di Bahagian Bahasa Jepun CRI selama puluhan tahun. Beliau memperkenalkan bahawa rancangan siaran daripada Puan Hara Kiyoshi di gua Yan'an itu telah menjadi salah satu senjata yang kuat untuk mengucar-ngacirkan tentera Jepun pada masa itu.

"Puan Hara Kiyoshi telah memberitahu warga Jepun akan kebenaran peperangan itu melalui siaran radio. Ramai pendengar termasuk askar Jepun dipengaruhi rancangan itu. Sebenarnya beberapa orang pakar Jepun di Radio Xinhua Yan'an ialah bekas anggota tentera Jepun pada masa itu. Cikgu saya sebagai contoh, namanya Michiyuki Ogi. Selepas perang, beliau menceburkan diri dalam usaha penyiaran ke Jepun," kata Encik Lu Rufu.

Puan Hara Kiyoshi, penyiar pertama dalam usaha siaran radio China kepada luar negara

Encik Lu Rufu (tengah)

Pada tahun 1946, selepas China mencapai kemenangan dalam peperangan anti pencerobohan Jepun, Kuomintang yang pernah bekerjasama dengan Parti Komunis China dalam usaha menentang pencerobohan Jepun telah menolak penubuhan kerajaan campuran dengan Parti Komunis China. Kemudian Kuomintang mencetuskan perang saudara terhadap Parti Komunis China.

Memandangkan situasi peperangan pada masa itu, Radio Xinhua Yan'an terpaksa dipindahkan dari Yan'an ke Kaunti Shexian di Provinsi Hebei yang berdekatan dengan Beijing pada awal tahun 1947. Pada bulan September tahun tersebut, stesen Radio Xinhua Yan'an telah menganjurkan siaran bahasa Inggeris. Penyiar bahasa Inggeris yang pertama ialah Puan Wei Lin. Beliau yang kini berusia 82 tahun berasa terharu apabila mengimbau kembali keadaan pada masa itu.

"Bilik siaran pada masa itu terletak di sebuah gua di Kampung Shahe, Kaunti Shexian, Provinsi Hebei. Kelengkapannya amat terhad dan serba kekurangan sehinggakan sebuah pintu pun tidak ada. Kami hanya menggantung tirai dengan selimut bulu kambing. Kadang-kadang suara dan bunyi daripada luar juga turut terakam bersama-sama. Oleh sebab tiada mesin perakam, maka lagu-lagu harus dinyanyikan secara langsung melalui mikrofon," kata Puan Wei Lin.

Puan Wei Lin, penyiar bahasa Inggeris pertama CRI

Kuasa pancaran stesen Radio Xinhua Yan'an telah mencapai 10 kilowatt semasa pembukaan siaran bahasa Inggeris. Siaran itu boleh didengar di Asia Selatan dan Asia Tenggara dengan jelas. Semasa cuaca baik, pendengar di Eropah dan Amerika Utara juga boleh mengikuti rancangan siaran daripada China. Dengan adanya siaran radio tersebut, warga asing dapat mengetahui kejadian sebenar yang berlaku di China.

Pada 1 Oktober 1949, Republik Rakyat China telah ditubuhkan. Stesen Radio Xinhua Yan'an turut berpindah ke Beijing dan bertukar namanya sebagai Radio Xinhua Beijing. Selepas itu, Radio Xinhua Beijing giat berusaha untuk menjadi jambatan persahabatan antara rakyat China dengan luar negara melalui siaran yang memperkenalkan dasar kerajaan China, perkembangan China dalam pelbagai bidang serta pertukaran dan kerjasama antara China dengan luar negara. Pada masa itu, Radio Xinhua Beijing juga berkembang pesat. Selain bahasa Jepun, bahasa Inggeris serta tiga jenis dialek China, Radio Xinhua Beijing telah memulakan siaran dalam pelbagai jenis bahasa yang lain.

Pada 10 April 1950, Radio Xinhua Beijing bertukar namanya sebagai Radio Beijing dan mula menggunakan nama "Radio Peking" dalam siarannya. Pada bulan tersebut, Radio Beijing juga telah membuka siaran bahasa Vietnam, bahasa Thailand, bahasa Indonesia dan bahasa Myanmar bagi memperkenalkan keadaan semasa di China serta dasar luar China yang damai dan merdeka kepada rakyat Asia Tenggara.

Stesen Radio Xinhua Yan'an turut berpindah ke Beijing dan bertukar namanya sebagai stesen Radio Xinhua Beijing.

Selepas itu, Radio Beijing telah beransur-ansur mewujudkan siaran bahasa Parsi, bahasa Arab, bahasa Swahili, bahasa Sepanyol dan lain-lain untuk memperkenalkan China kepada pendengar-pendengar di Arab, benua Afrika dan Amerika Latin dan meningkatkan hubungan persahabatan antara rakyat China dengan luar negara. Sementara itu, jumlah jam penyiaran bahasa Inggeris Radio Beijing ke Eropah dan Amerika Utara turut bertambah.

Sehingga tahun 1965, Radio Beijing telah menyiarkan rancangan selama 98 jam setiap hari dalam 27 jenis bahasa asing dan bahasa Mandarin serta 4 dialek China. Beberapa stesen pancaran yang berkuasa tinggi juga turut didirikan. Sehingga pertengahan tahun 1970-an, jumlah bahasa penyiaran Radio Beijing telah mencapai 43 jenis.

Pada 18 April 1978, Radio Beijing telah bertukar namanya sebagai Radio Antarabangsa China (CRI).

Dua soalan dikemukakan berdasarkan artikel tersebut:
1. Siapakah penyiar pertama dalam usaha siaran radio China kepada luar negara?
a) Puan Hara Kiyoshi
b) Encik Lu Rufu
2. Apakah nama siaran kami pada bulan April 1950?
a) Radio Peking
b) Radio Xinhua Yan'an

Jawapan saudara boleh dikirimkan melalui surat atau e-mel kepada kami. Alamat kami ialah Malay Service, CRI-18, China Radio International, P.O.Box 4216, Beijing, P.R.China 100040

Alamat e-mel kami ialah malay@chinabroadcast.cn

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |