v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Rancangan Khas Ulang Tahun Ke-65 CRI: CRI Yang Berusia 65 Tahun

2006-12-01 18:12:30 CRI

3 Disember 2006 merupakan ulang tahun ke-65 Radio Antarabangsa China (CRI). Pada 65 tahun yang lalu, satu gelombang elektrik yang halus telah dipancarkan dari Yan'an, sebuah bandar kecil di barat laut China. Sejak hari itulah jenis bahasa dalam gelombang siaran tersebut semakin banyak dan skala penyebarannya semakin luas serta rakan-rakan yang mengikutinya juga semakin ramai.

Pada peringkat awal, dalam tahun 1940-an, China telah mengalami pencerobohan musuh dari luar negara. Dalam tempoh peperangan, pasukan bersenjata yang dipimpin oleh Parti Komunis China telah menjadi kekuatan yang penting untuk anti-Fasis di dunia.

Sewaktu itu Parti Komunis China telah membuka sebuah stesen radio berbahasa asing yang bertujuan untuk memperkenalkan pendirian China dalam menentang pencerobohan Jepun ke luar negara. Selain itu, tugas radio ini juga termasuklah memperkenalkan situasi semasa di dalam dan luar negara, menyeru pelbagai kalangan di dalam dan luar negara bersama-sama menyelamatkan krisis kebangsaan pada masa itu.

Dengan diiringi rentak lagu mac kemenangan, CRI telah menyiarkan rancangan dalam bahasa Jepun bermula pada 3 hb Disember 1941. Askar Jepun yang berada di China merupakan pendengar siaran ini. Tujuan penyiaran tersebut adalah untuk memberitahu hakikat dan sifat yang sebenarnya peperangan. Penyiar pertama ialah Puan Hara Kiyoshi, warga Jepun yang menentang peperangan. Bilik penyiaran pada masa itu hanyalah di sebuah gua di Yan'an yang kelengkapannya serba kekurangan.

Rancangan pada masa itu cuma siaran berita yang disiarkan selama 15 minit sahaja. Encik Lu Rufu yang telah mengusahakan siaran bahasa Jepun selama puluhan tahun telah memberitahu kami bahawa rancangan siaran daripada Puan Hara Kiyoshi di gua Yan'an itu telah menjadi salah satu senjata yang kuat untuk mengucar-ngacirkan tentera Jepun semasa perang menentang pencerobohan Jepun pada masa itu.

"Puan Hara Kiyoshi dengan suaranya sendiri telah memberitahu rakyat Jepun akan kebenaran peperangan itu dan meyakinkan mereka sehingga memberi kesan terhadap ramai orang termasuk askar Jepun. Sebenarnya beberapa orang pakar bahasa Jepun di CRI ialah askar Jepun pada masa itu. Sebagai contohnya, guru saya namanya Michiyuki Ogi. Selepas perang beliau menceburkan diri dalam usaha penyiaran ke Jepun," kata Encik Lu Rufu.

Walaupun telah mencapai kemenangan dalam peperangan, tetapi rakyat China masih belum menikmati keamanan. Ini disebabkan kegiatan rasuah yang diamalkan oleh pemerintahan Kuomintang pada masa itu. Di samping itu, pendirian Parti Komunis China telah mendapat sokongan daripada pelbagai kalangan masyarakat. Amerika Syarikat pada awalnya menyokong rakyat China menentang pencerobohan Jepun. Namun, selepas melihat situasi yang berlaku, pihak Amerika Syarikat kemudiannya menyokong Parti Kuomintang mencetuskan perang saudara terhadap Parti Komunis China.

Hakikat ini harus diberitahu kepada dunia! Oleh sebab itu, CRI mewujudkan penyiaran dalam bahasa Inggeris pada ketika itu. Bilik penyiarannya juga adalah dalam satu gua yang terletak di sebuah kampung dipergunungan di provinsi Hebei, dekat dengan bandar Beijing.

Puan Weilin, yang kini berusia 82 tahun menjadi penyiar bahasa Inggeris yang pertama pada masa itu.

"Kelengkapan di bilik penyiaran pada masa itu amat terhad dan serba kekurangan sehinggakan sebuah pintu pun tidak ada. Kami hanya menggantung selimut bulu kambing sahaja. Kadang-kadang suara dan bunyi daripada luar juga turut terakam bersama-sama. Oleh sebab tidak ada mesin perakam, maka lagu-lagu harus dinyanyikan secara langsung melalui mikrofon," katanya.

Kalau dibandingkan dengan Encik Lu Rufu, Puan Weilin lebih bernasib baik kerana suara beliau boleh dipancarkan ke kawasan Asia Selatan dan Asia Tenggara dengan jelas disebabkan oleh peningkatan kuasa pancaran radio, bahkan boleh diikuti di Eropah dan Amerika Utara ketika cuaca lebih baik.

Perubahan keperluan penyiaran serta peningkatan taraf teknologi telah mendorongkan CRI melakukan langkah kedua.

Republik Rakyat China telah ditubuhkan pada 1 hb Oktober tahun 1949. Siaran radio CRI telah mengumumkan penubuhan Republik Rakyat China kepada seluruh dunia. Pencapaian diplomatik China telah menggalakkan perkembangan CRI secara berterusan. Jumlah bahasa penyiaran semakin bertambah. Gelombang elektrik juga menyeberang lautan ke kawasan yang lebih juah. Siaran ini memperkenalkan perkembangan China dalam bidang politik, ekonomi, masyarakat dan sebagainya kepada seluruh dunia.

Dengan mengambil keinginan terhadap China baru, ramai perantau China turut kembali ke China. Encik Wang Shanzhong, penyiar bahasa Myanmar ialah salah seorang daripadanya.

"Kesemuanya perlu disiarkan secara langsung. Ketika itu hanya ada seorang sahaja penyiar. Saya masih ingat semasa menyiarkan rancangan itu. Jika perlu menangis atau ketawa, saya juga harus melakukannya. Tidak boleh tergagap-gagap dan tidak boleh diulangi semasa sedang bersiaran. Jadi, saya harus menyebut berulang-ulang untuk menghafal sebelum siaran bermula," katanya.

Walaupun CRI kekurangan tenaga manusia dan taraf teknologinya masih rendah pada masa itu, akan tetapi kakitangannya pada masa itu tetap berasa gembira. Editor kanan CRI, Xi Shengmao yang sudah berusia 76 tahun berkata,

"Semasa saya mula bekerja di CRI pada tahun 1950-an, di sudut sebuah tangga di tingkat kedua terdapat sebuah mesin perakam dalam satu kabinet, sangat besar. Kami harus silih berganti ke sana untuk membuat rancangan. Kadang-kadang bekalan elektrik terhenti, kami terpaksa menyalakan lilin. Ketika itu cuma ada sebuah mesin generator yang hanya membekalkan elektrik untuk sesiapa yang sedang bersiaran. Mesin itu mengeluarkan bunyi tut. "

Inilah suasana usaha penyiaran luar China yang serba kekurangan pada tahun 1950-an hingga 1960-an.

Sehingga tahun 1965, jenis bahasa dan jam penyiaran CRI telah menduduki tempat yang paling atas di peringkat antarabangsa. Stesen pancaran yang berkuasa tinggi juga turut dibina. Sehingga pertengahan tahun 1970-an, bahasa penyiaran CRI telah mencapai 43 jenis. CRI telah menjadi jambatan perhubungan yang penting antara China dengan luar negara.

Pada penghujung tahun 1970-an, China mula melaksanakan dasar pintu terbuka. Seiring dengan itu, CRI juga melangkah ke laluan yang lebih terbuka dan berkembang maju serta pengaruhnya juga semakin meningkat. Majalah Radio-Kurier Jerman menyanjung tinggi siaran bahasa Jerman CRI sebagai "angin segar dari China yang jauh", dan menggelarkan CRI sebagai "radio yang digemari". Manakala, Persatuan Kelab Radio Amerika Utara menilai CRI sebagai "radio yang terbesar di dunia".

Dalam proses membuka pintu kepada luar, CRI perlu mempunyai rakan yang lebih ramai. Demi pelaporan tentang China dan antarabangsa dengan lebih menyeluruh, serta menyediakan saluran komunikasi antara China dengan negara-negara lain, secara beransur-ansur CRI menubuhkan biro wartawan di luar negara yang bermula pada tahun 1980. Editor kanan CRI, Encik Wang Zuozhou yang usianya kira-kira 70 tahun merupakan salah seorang antara wartawan CRI kumpulan pertama ke luar negara.

"Bermula pada hari pertama selepas biro wartawan ditubuhkan, kami terus melakukan tugas tersebut, iaitu berkejar ke tempat kejadian berita dan mengatasi pelbagai kesukaran. Dengan ini, kami dapat menyiarkan berita dengan lebih cepat dan tepat. Misalnya, saya pernah membuat liputan terhadap pemeteraian Perjanjian Perdamaian Afghanistan di Geneva. Sebaik sahaja selepas 20 minit upacara pemeteraian tersebut selesai, berita kami telah pun disiarkan," katanya.

Puan Liu Suyun pernah memegang jawatan sebagai wartawan CRI di Baitulmuqaddis. Beliau banyak melaporkan berita tentang konflik antara Palestin dengan Israel.

"Pada bulan Oktober tahun 2000, konflik baru tercetus antara Palestin dengan Israel di kawasan Gaza dan Tebing Barat Sungai Jordan. Kami telah pergi ke Gaza dengan membawa bendera kebangsaan China. Pada masa itu, kami menyaksikan seorang penduduk Palestin ditembak dan terjatuh. Disebabkan jarak orang itu hanya beberapa meter dari kami, maka saya berasa bahawa kematian amat hampir dengan kami, dan berkemungkinan akan berlaku pada kami. Dalam tempoh beberapa tahun selepas itu, pengalaman seperti itu sudah menjadi biasa kepada saya," katanya.

Kini, terdapat 29 buah biro wartawan CRI di pelbagai tempat di dunia.

CRI menyiarkan rancangan dalam 43 jenis bahasa ke seluruh dunia, jam penyiaran pada setiap hari melebihi 1100 jam. CRI telah menjadi radio antarabangsa yang ketiga terbesar di dunia sama ada dari segi jenis bahasa, jam penyiaran, ataupun jumlah penerimaan surat pendengar.

Pada tahun 2006, CRI menganjurkan aktiviti Lawatan Persahabatan China-Rusia, dan telah menarik perhatian kedua-dua negara. Rombongan lawatan yang terdiri daripada wartawan pelbagai media China dan Rusia, termasuk CRI dan Agensi Berita Itar-Tass telah bertolak dari Lapangan Tian'anmen Beijing dengan memandu 13 buah kenderaan, dan selepas lebih sebulan, mereka telah tiba di Moscow. Dalam sepanjang perjalanan lawatan, mereka telah menyiarkan banyak laporan yang menarik. Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov telah menyanjung tinggi aktiviti tersebut.

"Lawatan Persahabatan China-Rusia merupakan aktiviti yang unik. Seramai lebih 40 orang wartawan China telah melawat 18 buah bandar Rusia dalam tempoh lebih 40 hari. Ramai orang Rusia turut berasa iri hati akan pengalaman yang serupa itu. Kami mengucapkan terima kasih kepada anggota rombongan Lawatan Persahabatan China-Rusia, khasnya kepada pihak penganjur, iaitu CRI, kerana telah memikul kebanyakan tugas penganjuran aktiviti ini," katanya.

CRI telah mengalami perubahan. Pada masa lalu, kebanyakan pendengar menerima siaran kami dengan menggunakan gelombang pendek. Pada 27 Februari yang lalu, stesen radio FM yang pertama CRI di luar negara telah beroperasi secara rasmi di Nairobi, ibu negara Kenya. Ini merupakan hari yang perlu diperingati dalam sejarah penyiaran antarabangsa China. Dengan adanya stesen radio FM itu, rancangan CRI menjadi lebih dekat dengan para pendengar. Selepas itu, pada 19 November yang lalu, stesen radio FM yang kedua CRI juga mula beroperasi secara rasmi di Vientiane Laos.

Presiden China Hu Jintao yang mengadakan lawatan ke Laos baru-baru ini bersama-sama dengan Presiden Laos Choummaly Sayasone menghadiri majlis perasmian. Presiden Hu Jintao telah menyampaikan ucapan melalui siaran radio FM CRI di Vientiane itu. Beliau berkata,

"China dan Laos merupakan jiran baik. Persahabatan antara rakyat kedua-dua negara telah bersejarah lama dan mendalam. Pengoperasian stesen radio FM CRI di Vientiane akan membina satu jambatan yang baru bagi meningkatkan lagi komunikasi dan persahabatan rakyat antara kedua-dua negara, dan akan memberi sumbangan supaya persahabatan itu berkekalan. Semoga dipanjangkan umur persahabatan China-Laos!"

Di samping radio, CRI juga aktif mengembangkan "siaran dalam talian" melalui internet. Sekarang, saudara boleh melayari laman web CRI, iaitu cri.cn untuk mendengar rancangan yang terkini melalui internet. Selain itu, saudara juga boleh mendapat pelbagai maklumat tentang China melalui laman web CRI.

CRI yang berusia 65 tahun mempunyai pandangan yang lebih luas, dengan fungsi yang lebih sempurna. Tentang masa depan CRI, Presiden CRI Wang Gengnian menyatakan bahawa CRI akan berusaha mencari lebih banyak peluang perkembangan dan berkhidmat untuk para pendengar dengan sebaik mungkin.

"Sasaran perkembangan CRI pada masa depan adalah untuk menjadikan CRI sebagai badan media yang moden yang mengandungi siaran radio, siaran dalam talian serta multimedia yang lain. Kami akan menyediakan maklumat China kepada para pendengar di luar negara melalui siaran radio, internet dan TV. Selaras dengan jendela China, kami akan membantu para pendengar asing mengetahui China dengan lebih menyeluruh di samping membolehkan penduduk China mengetahui hal ehwal dunia luar dengan lebih meluas," katanya.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |