v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Siri Keempat Kuiz Pengetahuan Pelancongan "Sichuan, Habitat Asal Panda"
2006-12-30 15:40:24 CRI

Terlebih dahulu, saya kemukakan dua soalan mengenai rancangan kali ini. Soalan yang pertama: Adakah Gunung Qingcheng merupakan salah satu tempat asal Taoisme China? Soalan yang kedua, Dujiangyan merupakan projek pengairan yang paling lama di dunia, jadi, berapakah usia Projek Pengairan Dujiangyan?

Setelah memandu kereta dari barat laut Bandar Chengdu selama kira-kira sejam, saudara boleh tiba di Gunung Qingcheng. Selepas memasuki kaki gunung dan mendaki anak tangga menuju ke puncak gunung, saudara akan melihat pokok-pokok yang tinggi dan merimbun di sepanjang perjalanan, daun-duan pokok amat lebat sehingga menutup cahaya matahari. Anak sungai mengalir mengikut lembah yang berliku-liku dan percikannya di atas rumput kelihatan berkilau-kilauan. Kabus yang tipis mengelilingi puncak-puncak gunung, kelihatan seperti kain kasa meliputi gunung-ganang. Makin tinggi pendakian, maka makin indah pemandangannya.

Gunung Qingcheng merupakan salah satu tempat asal yang penting bagi Taoisme China. Taoisme ialah amalan falsafah tentang "penyatuan langit dan manusia", maksudnya manusia saling bergantung dengan alam semula jadi secara harmoni. Pada lebih 1800 tahun yang lalu, pengasas Taoisme, Zhang Ling memilih Gunung Qingcheng sebagai tempat latihannya mungkin kerana keadaan di sana yang indah dan sunyi.

Selepas ajaran Taoisme diperkenalkan, agama itu telah berkembang menjadi agama yang amat berpengaruh di China malah di rantau Asia Timur dalam suatu tempoh yang agak panjang. Menurut pemandu pelancong Kang Yu, kini terdapat lebih seratus orang penganut agama Tao di Gunung Qingcheng. Kehidupan mereka teratur dan ketat. Namun, pada peringkat awal Taoisme diperkenalkan, keadaan ini agak berbeza. Kang Yu berkata:"Pada masa itu, penganut agama Tao boleh melakukan amalan mereka di rumah, boleh beristeri dan beranak, boleh minum arak dan makan daging. Perkara yang dititikberatkan oleh mereka adalah untuk berbuat baik dan berakhlak murni. Namun sekarang, penganut agama Tao bukan sahaja perlu meninggalkan keluarga untuk menuntut melalui mahaguru, tetapi juga dilarang minum arak atau makan daging, dan tidak boleh beristeri dan beranak."

Sekarang di Gunung Qingcheng masih terdapat puluhan kuil Tao dan banyak bangunan warisan budaya. Oleh sebab Taoisme menganjurkan kehidupan yang bersahaja dan mesra dengan alam semula jadi, maka kebanyakan kuil Tao dan bangunan di Gunung Qingcheng dibina di celah pokok-pokok yang merimbun, dan menjadi salah sebahagian daripada gunung dan hutan.

Kuil Shangqinggong yang terletak di sekitar puncak gunung merupakan kuil yang paling ramai pemujanya di Gunung Qingcheng. Kuil tersebut memuja Lao Zi, pengasas falsafah Taoisme.

Yang kami perkenalkan tadi ialah pemandangan di sebelah hadapan Gunung Qingcheng. Ramai pelancong tidak mengetahui bahawa terdapat jalan lain untuk melawati Gunung Qingcheng, iaitu jalan di sebelah belakang gunung. Walaupun pemujanya tidak begitu ramai, tetapi pemandangan di sebelah belakang Gunung Qingcheng lebih sunyi dan semula jadi. Pekan Tai'an yang terletak di sebelah belakang Gunung Qingcheng merupakan salah satu tempat rehat yang baik bagi para pelancong.

Ketika berjalan kaki menyusuri Pekan Tai'an, akan kelihatan aliran anak sungai melalui setiap jalan dan setiap rumah. Di kedua-dua belah jalan, terdapat bangunan-bangunan kediaman dan kedai-kedai. Semua bangunan di situ berdinding putih, bumbungnya dibina daripada genting hitam dan pintunya diukir dengan corak-corak bunga.

Pelancong boleh bersantai di kedai-kedai tepi jalan, minum teh sambil menikmati pemandangan gunung yang indah. Alangkah seronoknya!

Encik Huang Weiqi dari Bandar Guangzhou, bahagian selatan China telah mempelajari teknik lukisan pemandangan China sejak kecil. Beliau datang ke Pekan Tai'an semata-mata untuk menikmati kehidupan yang sederhana dan mesra dengan alam semula jadi. Beliau berkata:"Gunung Qingcheng merupakan tempat yang baik bagi saya untuk melukis pemandangan. Adat resam di sini agak sederhana, hubungan antara penduduk juga lebih murni. Jika ada kesempatan, saya berharap dapat datang setiap tahun dan tinggal sebulan di sini."

Selepas menikmati pemandangan di Gunung Qingcheng, kami akan membawa saudara melawat satu lagi destinasi pelancongan yang menarik, iaitu Projek Pengairan Dujiangyan yang terletak tidak jauh dari Gunung Qingcheng. Ini juga merupakan projek pengairan yang paling awal dibina di dunia.

Projek Pengairan Dujiangyan terletak di pertengahan Sungai Min. Ia dibina pada lebih 2000 tahun yang lalu oleh seorang pegawai tempatan yang bernama Li Bing. Antara projek-projek pengairan yang terkenal di dunia pada zaman kuno, hanya Projek Pengairan Dujiangyan yang masih berfungsi buat masa sekarang.

   

Katanya, sebelum Projek Pengairan Dujiangyan dibina, banjir sering berlaku di sekitar Sungai Min pada musim bunga dan musim panas. Teori reka bentuk Projek Pengairan Dujiangyan adalah untuk membahagikan Sungai Min kepada dua batang sungai. Dengan adanya projek itu, banjir yang sering berlaku akan terkawal, di samping itu, air sungai dialirkan untuk mengairi tanam-tanaman melalui projek itu.

Kemudahan yang paling penting dalam sistem Projek Pengairan Dujiangyan ialah tambak pembahagi aliran. Tambak pembahagi aliran tersebut dibina di tengah-tengah Sungai Min dan bentuknya seperti seekor ikan besar. Tambak itu membahagikan Sungai Min kepada dua batang sungai, iaitu Sungai Dalaman dan Sungai Luaran. Sungai Dalaman digunakan untuk mengairi tanam-tanaman, manakala Sungai Luaran digunakan untuk menyalirkan air banjir. Pemandu pelancong Zhou Tingjun memberitahu pemberita bahawa:"Pada masa itu, dasar Sungai Dalaman digali dengan mendalam dan permukaan air sungainya sempit. Manakala, dasar Sungai Luaran lebih tinggi dan permukaan sungainya adalah lebih lebar. Pada musim kemarau, ketika air sungai mengalir melalui tambak pembahagi aliran, kebanyakan airnya akan jatuh mengalir ke Sungai Dalaman yang dasar sungainya lebih rendah. 60% air Sungai Min akan mengalir ke Sungai Dalaman, manakala 40% daripadanya mengalir ke Sungai Luar. 60% air Sungai Min itu digunakan untuk mengairi tanam-tanaman di kawasan pengairan hilir."

Sebaliknya, apabila aliran air agak besar, kebanyakan air sungai akan mengalir ke sungai yang lebih lebar, iaitu Sungai Luar. Keadaan ini akan mengelakkan kejadian banjir di kawasan pengairan hilir.

Pelancong dari Amerika Syarikat Encik Ken Boyd telah menyanjung tinggi akan reka bentuk Projek Pengairan Dujiangyan dan juga kebijaksanaan rakyat China pada zaman kuno. Beliau berkata:"Projek itu dibina pada lebih 2000 tahun yang lalu, ini amat mengagumkan saya. Projek itu boleh mengawal aliran air dengan baik. Sewaktu musim kemarau, projek itu akan membekalkan air yang mencukupi untuk mengairi tanam-tanaman dan memberi manfaat kepada kaun tani, manakala sewaktu musim hujan, projek itu akan mengelakkan bandar daripada banjir."

Soalan 1: Adakah Gunung Qingcheng merupakan salah satu tempat asal Taoisme China?

A, Betul          B, Salah

Soalan 2: Dujiangyan merupakan projek pengairan yang paling lama di dunia, jadi, berapakah usia Projek Pengairan Dujiangyan?

A, 500 tahun    B, 2000 tahun

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |