v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Siri Kelima Kuiz Pengetahuan Pelancongan "Sichuan, Habitat Asal Panda"
2007-01-04 09:33:20 CRI

Terlebih dahulu, saya mengemukakan dua soalan mengenai rancangan kali ini. Soalan yang pertama, adakah Provinsi Sichuan merupakan habitat asal panda? Soalan yang kedua, berapa ekorkah jumlah panda liar yang terdapat di Zon Perlindungan Alam Semula Jadi Wolong?

Pada lebih 20 tahun yang lalu, oleh sebab Fargesia, sejenis buluh yang merupakan makanan utama panda, berbunga kemudian layu secara besar-besaran, maka pemain muzik China telah menggubah lagu yang bertajuk: Panda Mimi untuk mengumpul derma bagi membantu haiwan ini. Kini, Fargesia tumbuh dengan subur di Zon Perlindungan Alam Semula Jadi Wolong, manakala, panda yang merupakan spesies paling tua di dunia ini boleh hidup dengan senang di kawasan ini.

Zon Perlindungan Alam Semula Jadi Wolong terletak di bahagian barat laut Provinsi Sichuan. Kawasan ini merupakan salah satu habitat utama panda. Oleh sebab itulah, Provinsi Sichuan digelar sebagai kampung halaman panda. Panda liar hanya ditemui di hutan tebal di provinsi-provinsi Sichuan, Sha'anxi dan Gansu, maka, tempat yang paling sesuai bagi pelancong menyaksikan panda-panda ialah Taman Panda China yang terletak di Zon Perlindungan Alam Semula Jadi Wolong. Petugas zon perlindungan tersebut, Encik Zhang Liming berkata:"Tujuan kami adalah untuk membantu panda terus hidup dengan sihat, dan juga memberi peluang kepada pelancong yang menyukai panda untuk berinteraksi dengan lebih hampir. Di samping itu, kami juga memberitahu para pelancong akan kepentingan pemeliharaan ekologi, dan memperkenalkan sejarah panda, spesies kuno yang digelar sebagai Fosil Hidup."

Sejak dahulu lagi, panda telah menjadi binatang yang amat disukai oleh orang ramai. Kini, lebih 100 ekor panda dipelihara di Taman Panda China. Di taman itu, wartawan kami telah menemui banyak panda di luar bilik, ada yang bermain papan gelongsor, ada yang bersandar pada batu dan berehat, ada juga yang memanjat pokok. Pekerja di taman itu memberitahu pemberita bahawa panda ialah sejenis beruang, dan pandai memanjat pokok. Jika terjatuh pun, panda tidak akan tercedera kerana badannya yang gemuk itu.

Yang paling menyusahkan ialah makanan panda. Pada masa dahulu, panda memang makan daging, tetapi panda beransur-ansur menjadi "vegetarian" dengan memakan buluh. Cuaca di Wolong yang lembap amat sesuai bagi pertumbuhan buluh, maka banyak panda hidup di sana. Daya cernaan panda kurang baik, demi mengekalkan daya fizikalnya, panda selalu bergerak lambat dan kelihatan malas. Puan Rebecca Haase dari Amerika Syarikat menyaksikan panda dengan jarak dekat buat kali pertama. Beliau telah mengambil gambar-gambar panda yang sedang makan dan bermain. Beliau berkata:"Saya amat gembira dapat berhubung rapat dengan panda di sini. Mereka kelihatan sihat dan comel. Saya berharap agar Wolong mempunyai lebih banyak panda."

Di Taman Panda China, terdapat sebuah bilik yang dilengkapi dengan kemudahan terkini untuk memelihara anak panda. Melalui kaca tingkap bilik itu, para pelancong boleh melihat anak panda yang baru dilahirkan, badan panda itu hanya sebesar tapak tangan, matanya tertutup dan kulit belum berbulu. Di luar bilik itu, Encik Zhang Shichang dari Taiwan China telah menyaksikan keseluruhan proses untuk menyusukan anak panda. Beliau berkata:"Saya mengetahui banyak maklumat mengenai panda dalam lawatan kali ini. Pemandu pelancong memberitahu kami cerita-cerita tentang sejarah dan keadaan hidup panda. Sekarang saya sudah tahu bahawa panda kurang membiak, dan ibu panda juga tidak pandai memelihara anaknya."

Dimaklumkan, kadar kematian anak panda amat tinggi akibat penyakit ataupun terpijak sendiri oleh ibu panda tanpa sengaja. Walaupun panda melahirkan banyak anak pada satu-satu masa, namun panda itu hanya akan memelihara salah seekor daripadanya sahaja. Maka, pekerja di Taman Panda China akan memelihara anak-anak panda yang tidak dijaga oleh ibunya atau yang diserang penyakit.

  

Semakin ramai pelancong yang suka akan panda sudi menjadi sukarelawan di Wolong untuk membantu panda. Kodama Midori dari Jepun merupakan salah seorang daripada mereka. Beliau memberitahu pemberita, beliau dan tiga orang rakan akan bersama-sama dengan panda di Wolong selama seminggu. Beliau berkata:"Setiap pagi, saya memelihara panda. Manakala pada waktu tengah hari dan malam, saya membersihkan bilik panda. Biasanya pelancong tidak berpeluang untuk mendekati panda seperti ini, maka aktiviti ini membuatkan saya sangat teruja."

Jika para pelancong melawat ke Wolong pada musim yang berbeza, mereka akan menyaksikan kehidupan panda yang berlainan. Pakar pengkaji panda, Encik Li Desheng memberitahu pemberita bahawa sewaktu musim panas, cuaca di Wolong agak nyaman, maka panda-panda lebih aktif. Waktu musim gugur, pelancong pula berkesempatan untuk menyaksikan proses kelahiran anak panda. Manakala, pada musim bunga pula merupakan musim mengawan panda. Waktu musim itu, terdapat banyak cerita yang menarik. Encik Li Desheng berkata:"Bagi panda liar, panda jantan yang menang dalam perkelahian baru akan mendapat hak keutamaan untuk mengawan. Namun, panda yang diternak tidak dibenarkan untuk berkelahi. Waktu musim mengawan, kami menempatkan panda jantan pada jiran panda betina, mereka boleh melihat satu sama lain. Panda tidak berbunyi waktu biasa, tetapi waktu mengawan, bunyi panda adalah pelbagai. Waktu permulaan mengawan, bunyinya semacam burung. Pada penghujung mengawan, bunyinya seperti anjing. Manakala waktu tahap kemuncak, bunyinya seperti kambing."

Selain panda yang diternak, terdapat juga lebih 100 ekor panda liar di hutan tebal di Zon Perlindungan Alam Semula Jadi Wolong. Jumlah tersebut menduduki kira-kira 10% daripada panda liar di dunia. Pada masa dahulu, pelancong tidak boleh memasuki kawasan panda liar. Namun, tidak lama dahulu, pihak kawasan perlindungan buat kali pertama telah menyediakan projek melancong sambil mengkaji bagi pelancong peringkat tinggi. Dengan adanya projek tersebut, mereka dapat menyaksikan panda dalam situasi liar dari jarak dekat melalui sistem pengawasan dan pengesanan yang canggih.

Soalan1: Adakah Provinsi Sichuan merupakan habitat asal panda?

A, Betul        B, Salah

Soalan 2: Terdapat berapa ekorkah jumlah panda liar yang terdapat di Zon Perlindungan Alam Semula Jadi Wolong?

A, 50 ekor     B, 100 ekor

Selamat mengikuti kuiz pengetahuan kali ini dan semoga saudara mencapai hasil yang baik. Kami berharap agar berjumpa dengan saudara di Sichuan, China.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |