v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

"Lawatan Budaya Muslim di China"(1)
Lawatan ke Kampung Najiaying pada Waktu Senja
2007-06-15 17:02:54 CRI

Provinsi Yunnan mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum. Selain bangsa Han, terdapat 25 buah etnik minoriti di Yunnan, antaranya termasuk Etnik Hui yang beragama Islam. Di Provinsi Yunnan juga terdapat sebuah kampung yang dibangunkan oleh keturunan Nabi Muhammad SAW, iaitu Kampung Najiaying. Dalam rancangan hari ini, kami akan membawa saudara melawat ke kampung yang bersejarah itu.

Pada pukul 4.00 petang, matahari telah condong ke arah barat. Kami telah tiba di Pekan Nagu yang sejauh kira-kira 110 kilometer dari Bandar Kunming, ibu kota Provinsi Yunnan. Pekan Nagu terletak di tanah pamah rendah yang dikeliling oleh pergunungan, dan Kampung Najiaying merupakan sebahagian daripada Pekan Nagu. Kini, seramai 20 ribu orang penduduk tinggal di Pekan Nagu, dan penduduk Etnik Hui yang beragama Islam mencatat lebih 80%.

Untuk mengetahui sejarah Najiaying, kami telah mengunjungi bekas guru besar Sekolah Nagu, Encik Na Jiarui. Encik Na Jiarui sudah berusia lebih 70 tahun. Beliau memberitahu kami bahawa Najiaying dibangunkan oleh keturunan Nabi Muhammad SAW pada lebih 700 tahun yang lalu.

"Sejarah Nagu bermula pada tahun 1290. Pada waktu itu, seorang pegawai yang bernama Na Shulu telah dihantar oleh kerajaan pusat ke Yunnan untuk menjadi pemerintah tempatan. Peristiwa itu sudah berlaku lebih 700 tahun daripada waktu sekarang, " kata Encik Na Jiarui, Na Shulu ialah keturunan Nabi Muhammad SAW. Menurut catatan, Na Shulu mempunyai empat orang anak lelaki, antaranya tiga orang telah mengikut Na Shulu menetap di sebuah tempat yang berpemandangan indah di Yunnan, dan tempat itu beransur-ansur berkembang menjadi kampung, iaitu Najiaying yang terdapat hari ini. Penduduk kampung tersebut telah mengambil "Na" sebagai nama keluarga untuk memperingati nenek moyang mereka. Maka, kampung tersebut telah digelar sebagai "Najiaying", yang bermakna "kampung keluarga Na" dalam bahasa Mandarin.

Encik Na Jiarui, bekas guru besar Sekolah Nagu sedang menceritakan sejarah Kampung Najiaying kepada Kartiko,wartawan CRI

Najiaying merupakan tempat yang makmur di Yunnan sejak dahulu kala lagi. Kini, taraf kehidupan penduduk di Yunnan jauh lebih tinggi daripada zaman silam dan pertukaran dengan luar juga kerap diadakan. Namun, Etnik Hui di Najiaying sentiasa mengekalkan tradisi dan adat resam mereka. Budaya dan adat istiadat mereka amat istimewa.

Presiden Institut Islam Masjid Najiaying, Imam Ma Jiankang memberitahu kami bahawa Etnik Hui di Najiaying mengamalkan konsep berjimat cermat dalam kehidupan. Ini dapat dicerminkan dalam adat makan dan minum mereka.

"Menurut tradisi Etnik Hui di Najiaying, hidangan dalam jamuan agak sederhana dan tiada pembaziran. Biasanya, hanya 8 jenis sajian akan dihidangkan dalam jamuan. Jamuan untuk majlis perkahwinan juga sebegini," kata Ma Jiankang.

Imam Ma Jiankang diwawancara oleh Satrio, wartawan CRI di Masjid Najiaying.

Adat dan budaya perkahwinan Etnik Hui di Najiaying juga mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

Di Najiaying, pemuda mesti bertunang sebelum mereka mula bercinta-cintaan. Jika tidak sebegitu, mereka akan menjadi buah mulut masyarakat. Upacara pertunangan diadakan mengikut tradisi tempatan supaya orang ramai mengetahui bahawa kedua-dua pemuda itu telah jatuh cinta dan "diikat".

Masa antara upacara perkahwinan dengan upacara pertunangan agak panjang, kadangkala satu atau dua tahun, ada juga lima malah lapan tahun. Dalam upacara perkahwinan, pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan "diserang" dengan campuran labu, telur dan tauhu yang menandakan kemakmuran hidup.

Ketika menyebut pakaian pengantin, Imam Ma Jiankang berkata: "Dalam upacara pernikahan, pengantin perempuan tidak dibenarkan memakai pakaian yang menjolok mata dan mesti memakai vel, iaitu tudung jarang yang menutup keseluruhan muka pengantin. Jika pengantin perempuan tidak memakai vel, imam akan menolak untuk menyertai dan melakukan upacara pernikahan."

Imam Ma Jiankang telah membawa kami melawat ke sebuah kedai yang menyewakan pakaian pengantin. Beliau berkata: "Kedai itu khusus menjual vel. Pakaian yang bercirikan Islam yang diimport dari luar negara seperti Malaysia, Singapura dan Arab Saudi telah menjadi pasaran di sini. Keadaan ini juga bersesuaian dengan permintaan penduduk tempatan yang beragama Islam."

Matahari hampir terbenam. Kedengaran azan berkumandang dari masjid memanggil orang Muslim untuk menunaikan solat pada waktunya. Para Muslimin dan Muslimat di Najiaying telah bertukar pakaian dan menuju ke masjid untuk menunaikan solat.

Terdapat dua buah masjid di Najiaying, iaitu Masjid Najiaying dan Masjid Muslimat. Masjid Najiaying merupakan tempat sembahyang untuk Muslim lelaki. Mereka telah memakai jubah serta kopiah yang serba putih dan memasuki dewan sembahyang tepat pada waktunya.

Masjid Najiaying telah selesai dibina pada 2 Oktober 2004. Keluasannya mencatat 10 ribu meter persegi. Terdapat empat buah menara azan setinggi 72 meter di masjid tersebut, dan dewan sembahyangnya boleh bermuat lebih 3000 orang. Masjid Najiaying juga merupakan masjid yang terbesar di Provinsi Yunnan.

Imam Ma Jiankang memberitahu kami bahawa kos pembinaan masjid itu semata-matanya hasil daripada sumbangan dan dermaan penduduk Najiaying, iaitu lebih 20 juta yuan Renminbi.

"Pada mulanya, reka bentuk masjid kami ini kurang memuaskan. Dalam proses pembinaan, kami telah melihat gambar reka bentuk masjid di Malaysia, dan mengubahsuaikan reka bentuk masjid kami ini. Maka, bangunan masjid kami kelihatan bercorak Arab dan megah. Kini, menara masjid kami merupakan mercu tanda paling tinggi di Kaunti Tonghai. Di Yunnan, tiada masjid yang lebih besar daripada masjid ini," kata Ma Jiankang.

Sebenarnya, Masjid Muslimat ialah Masjid Najiaying yang lama. Pada waktu itu, bangunan baru Masjid Najiaying akan dibina, maka masjid yang lama itu telah dipindahkan sejauh 250 meter dari tempat asalnya. Dewan sembahyang di Masjid Muslimat itu boleh bermuat kira-kira seribu orang.

Majid Muslimat di Najiaying

Seorang pelajar Muslimah di Masjid Muslimat Najiaying.

Ketika kami sedang membuat liputan ke Masjid Muslimat itu, seorang Muslimah yang bertudung telah menarik perhatian kami. Kami diberitahu bahawa beliau datang dari Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang, bahagian barat laut China, dan sekarang bekerja sebagai guru di Najiaying.

"Sudah lama saya dengar Najiaying dan ingin melawat ke sini. Oleh sebab kebanyakan penduduk di Xinjiang ialah Etnik Uygur dan lain-lain, jadi, Etnik Hui di sini lebih istimewa daripada di Xinjiang. Sekarang saya bekerja di Masjid Muslimat sebagai guru, mengajar bahasa Arab dan ilmu al-Quran," katanya.

Hari semakin gelap. Kami telah mengakhiri liputan di Najiaying. Kami berasa tersentuh hati kerana Najiaying yang sentiasa mengekalkan tradisi etniknya dan kepercayaan agama di samping mencapai pembangunan dari segi ekonomi dan sosial. Kami juga berharap agar dengan adanya usaha penduduk tempatan, Najiaying dapat mencapai kegemilangan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

Soalan 1: Biasanya berapa jenis sajian akan dihidangkan dalam jamuan menurut tradisi Etnik Hui di Najiaying?

(A): 8                   (B): 6

Soalan 2: Berapakah keluasan Masjid Najiaying?

(A): 5000 meter persegi                (B): 10000 meter persegi

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |