v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

"Lawatan Budaya Muslim di China" (2)
Pisau Etnik Bao'an di Dahejia, Provinsi Gansu
2007-06-25 09:53:05 CRI

Etnik Bao'an ialah salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Jumlah penduduknya tidak banyak iaitu kira-kira 16 ribu orang menurut statistik tahun 2000. Mereka kebanyakannya tinggal di Kaunti Autonomi Etnik-Etnik Bao'an, Dongxiang dan Salar Jishishan, Provinsi Gansu. Manakala, Dahejia yang terkenal dengan Pisau Etnik Bao'an merupakan salah sebuah pekan di kaunti tersebut.

Pekan Dahejia terletak di bahagian selatan Provinsi Gansu yang berdekatan dengan Provinsi Qinghai China. Pelbagai etnik minoriti termasuk Etnik Bao'an, Etnik Hui, Etnik Salar dan Etnik Tibet serta Bangsa Han hidup bersama secara harmoni di pekan tersebut.

Pisau Etnik Bao'an merupakan kraf tangan tradisional Etnik Bao'an yang terkenal. Penduduk Etnik Bao'an dari tiga buah kampung di Dahejia, iaitu Ganhetan, Meipo dan Daduncun amat pandai membuat Pisau Etnik Bao'an, dan ramai yang bekerja sebagai tukang pisau.

Terdapat banyak kedai Pisau Etnik Bao'an di Dahejia. Kami telah menemui seorang pemuda Etnik Bao'an yang bernama Ma Yong di dalam sebuah kedai. Ma Yong memberitahu kami bahawa kedai tersebut dimiliki oleh ayahnya. Dia dan abangnya selalu membantu ayahnya di kedai sewaktu cuti. Ma Yong telah memperkenalkan pelbagai jenis pisau yang terdapat di kedai itu kepada kami.

"Ini pisau kembar, ini pisau tunggal. Pisau ini bernama 'Shiyangjin', pisau ini pula bernama 'Boriji', hiasannya amat cantik dan amat berguna. Semua pisau ini keseluruhannya dibuat dengan tangan. "

Ketika ditanya jenis pisau yang paling laris dijual, Ma Yong mengambil sebilah pisau keluli yang bersaiz besar dan berkata bahawa walaupun pisau ini kelihatan bersahaja, tetapi mata pisau ini cukup tajam sehingga boleh memotong besi, maka pisau ini amat laris.

"Pisau ini boleh memotong besi, namanya 'Longhandao'. Pisau ini diperbuat daripada keluli. Ayah saya pandai membuat pisau ini tapi saya tidak. "

 

Ma Yong, seorang pemuda Etnik Bao'an

Sambil berbual-bual dengan kami, Ma Yong mengambil seketul besi untuk mencuba ketajaman pisau itu, dan pisau itu berjaya menghiris besi tanpa merosakkan mata pisau. Ma Yong berkata: "Ada pembeli tempatan, ada yang dari luar negara. Terdapat juga pelancong yang membeli pisau ini sebagai cenderamata. Orang Etnik Bao'an suka membuat pisau, dan hampir setiap keluarga boleh membuatnya."

Dimaklumkan, pembuatan Pisau Etnik Bao'an sudah bersejarah lebih seratus tahun. Pisau Etnik Bao'an mempunyai pelbagai jenis, termasuk "Shiyangjin", "Pisau Kembar", "Boriji", Pisau Tibet dan sebagainya. Antaranya Pisau "Shiyangjin" yang paling cantik rupanya, dan Pisau "Boriji" adalah yang paling terkenal.

Kami mendapati bahawa pisau-pisau Etnik Bao'an itu selalunya diukir dengan lukisan seperti tapak tangan, daun, bintang, bunga dan naga. Terdapat cerita-cerita yang menarik mengenai lukisan-lukisan tersebut, antaranya yang paling terkenal ialah cerita mengenai lukisan tapak tangan yang diukir pada Pisau "Boriji".

Kononnya, pada zaman silam, terdapat seorang tukang besi Etnik Bao'an yang amat mahir dalam pembuatan pisau. Beliau amat jujur dan hanya membuat pisau untuk orang yang baik budi. Pada suatu hari, pemerintah tempatan ingin mengambil hati orang atasan dan telah meminta tukang besi tersebut membuat 100 bilah pisau dalam masa 30 hari, jika gagal disiapkan, maka tangan kanannya akan dipotong. Akan tetapi tukang besi itu telah menolak permintaan tersebut dan selepas tempoh 30 hari tamat, sebilah pisau pun tidak dibuat olehnya. Pemerintah tempatan sekali lagi memaksa tukang besi itu tetapi tidak berhasil. Dia berasa amat marah dan mengarahkan tangan kanan tukang besi itu dipotong. Untuk memperingati tukang besi yang jujur dan berani itu, tukang besi Etnik Bao'an telah mengukir lukisan tapak tangan pada muka pisau yang dibuatnya.

Pisau Etnik Bao'an menjadi terkenal kerana keseluruhan pisau itu dibuat dengan tangan, reka bentuknya cantik dan bermutu tinggi.

Kami diberitahu bahawa Pisau Etnik Bao'an yang paling terkenal berasal dari Kampung Ganhetan. Maka, kami telah mengunjungi seorang tukang besi yang mahir dalam pembuatan pisau dari Kampung Ganhetan, iaitu Encik Ye.

Di bengkel tukang besi Encik Ye, terdapat pelbagai jenis alat dan kemudahan. Encik Ye memberitahu kami bahawa sebanyak 40 hingga 80 proses untuk menghasilkan sebilah Pisau Etnik Bao'an, antara lain termasuk mereka bentuk, memilih bahan, mengetuk dan menempa besi dan keluli, mencelupkan besi ke dalam air, mencanai pisau dan sebagainya. Encik Ye berkata, proses yang paling penting termasuk mengetuk dan menempa besi dan keluli serta mencelupkan besi ke dalam air.

"Terdapat banyak proses dalam menghasilkan Pisau Etnik Bao'an, dan untuk membuat pisau jenis yang berlainan, prosesnya pun berbeza. Proses yang paling rumit adalah untuk membuat Pisau 'Shiyangjin' dan Pisau Tibet. Maka harga pisau itu juga lebih mahal, lebih kurang 300 hingga 400 yuan Renminbi sebilah."

Difahamkan, pada masa dahulu, Pisau Etnik Bao'an digunakan untuk mempertahankan diri atau untuk kegunaan dalam kehidupan sehari-harian, seperti menyembelih kambing, memotong sayur-sayuran dan lain-lain. Seiring dengan perkembangan teknik berkenaan, Pisau Etnik Bao'an telah menjadi kraf tangan Etnik Bao'an yang unik. Encik Ye berkata: "Tukang besi Etnik Bao'an yang paling pandai membuat pisau adalah daripada keluarga Ye dan keluarga Ma. Ada yang mahir membuat kira-kira 20 jenis pisau. Biasanya teknik membuat pisau itu diwariskan oleh bapa kepada anaknya."

Selepas meninggalkan bengkel tukang besi Encik Ye, kami telah melawat seorang lagi tukang besi Etnik Bao'an yang bernama Ma Zhanbiao. Pisau dapur jenama "Dahejia" yang dibuat oleh Encik Ma Zhanbiao amat terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan laris dijual.

Encik Ma Zhanbiao, seorang tukang pisau Etnik Bao'an dengan pembantunya

 

Beliau sedang mengukir tulisan "Da He Jia" pada muka pisau dapur

Ketika kami tiba di bengkel tukang besi Encik Ma Zhanbiao, beliau sedang menjalankan proses yang terakhir dalam pembuatan pisau dapur, iaitu mengukir tulisan pada muka pisau.

Dengan menggunakan pahat dan tukul besi, Encik Ma telah mengukir tulisan "Dahejia" dalam bahasa Mandarin pada setiap pisau. Beliau memberitahu kami bahawa:

"Proses yang paling penting adalah ketika mencampurkan gentian keluli ke dalam bancuhan, kerana ini berkait rapat dengan mutu pisau berkenaan."

Sekejap sahaja, Encik Ma telah menyelesaikan kerjanya. Tulisan yang diukir oleh Encik Ma pada beberapa bilah pisau itu kelihatan cantik dan kemas. Encik Ma memberitahu kami dengan bangganya bahawa:

"Teknik saya ini diwarisi daripada nenek moyang keluarga kami, dan saya merupakan generasi ke-4 yang memiliki teknik ini."

Dalam suara ketukan besi ini, sebilah demi sebilah pisau yang cantik dan berguna telah dihasilkan. Juga dalam suara tersebut, Etnik Bao'an sedang membina kehidupan yang bahagia dengan rajin berusaha.

Soalan 1: Apakah kraf tangan tradisional Etnik Bao'an yang terkenal?

A: Pisau     B: Kasut

Soalan 2: Biasanya berapakah jumlah proses dalam pembuatan Pisau Etnik Bao'an?

A:  10 hingga 20    B:  40 hingga 80

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |