v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

"Lawatan Budaya Muslim di China" (3)
Etnik Salar yang Berasal daripada Legenda Mata Air Unta Putih
2007-07-02 09:54:16 CRI

Etnik Salar merupakan salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Mereka kebanyakannya tinggal di Kaunti Autonomi Etnik Salar Xunhua, Provinsi Qinghai. Etnik Salar mempunyai sejarah selama lebih 800 tahun dan kebudayaan yang gemilang. Penduduk Etnik Salar amat rajin dan telah membangun kampung halaman mereka di kaki Gunung Jishishan yang berdekatan dengan Sungai Kuning.

Tidak lama dahulu, wartawan radio kami telah melawat ke kaunti tersebut yang terletak di bahagian tenggara provinsi Qinghai, membuat liputan mengenai kebudayaan dan destinasi menarik di wilayah berkenaan. Dalam rancangan hari ini, kami akan membawa saudara melawat ke kampung halaman Etnik Salar di Xunhua, Provinsi Qinghai untuk mengenali budaya dan tradisi etnik Salar.

Bertolak dari Xining, ibu kota Provinsi Qinghai dengan menaiki kereta dan melalui gunung-ganang serta bukit-bukau, kami telah tiba di Xunhua, bahagian tenggara Provinsi Qinghai. Pemandangannya yang indah telah menghilangkan keletihan kami. Kelihatan air Sungai Kuning mencurah keluar dari lurah pergunungan yang tinggi. Walaupun Xunhua terletak di kawasan dataran tinggi, namun cuacanya amat selesa seperti di kawasan selatan China.

Semakin dekat dengan Xunhua, semakin ramai kelihatan penduduk Etnik Salar berjalan-jalan di kedua-dua belah jalan. Ada wanita Etnik Salar yang tua berjalan sambil memegang sebatang cangkul, nampaknya baru selesai bekerja di ladang dan akan pulang ke rumah. Ada pemuda Etnik Salar menunggang motosikal dengan dibonceng oleh isterinya. Terdapat juga beberapa orang perempuan Etnik Salar sedang bekerja di ladang, tudung mereka telah menyerikan tanah ladang yang menghijau dan luas.

Pemandangan yang indah di Xunhua yang terletak di tepi Sungai Kuning

Tidak lama kemudian, kami telah memasuki Mukim Gaizi di Kaunti Xunhua. Mukim tersebut merupakan tempat kediaman terawal bagi penduduk asal Etnik Salar pada ratusan tahun yang lalu. Maka, adat resam Etnik Salar di sini juga amat unik. Sebuah patung batu unta putih yang terletak di sana telah menjadi mercu tanda bagi Mukim Gaizi.

Unta putih dianggap sebagai lambang Etnik Salar. Sebelum melawat ke Xunhua, kami telah diberitahu sebuah legenda yang penuh keajaiban mengenai unta putih yang menceritakan tentang penghijrahan Etnik Salar dari Asia Tengah ke timur dan akhirnya menetap di Kaunti Xunhua pada waktu sekarang.

Patung Batu Unta Putih

Untuk melihat tempat singgahnya unta putih dalam legenda itu, maka, kami telah tiba di "Mata Air Unta Putih", destinasi yang menarik di Xunhua.

"Mata Air Unta Putih" terletak di sebuah belukar yang sunyi dan terpencil di sebuah kampung Mukim Gaizi. Terdapat sebuah patung batu unta duduk di tepi mata air tersebut. Wajahnya tenang.

Kononnya, pada lebih 800 tahun yang lalu, terdapat Puak Salur yang tinggal di Samarkand, Asia Tengah. Ketua Puak Salur, Mahmud al-Kashgari amat dihormati dan disayangi oleh rakyat tempatan sehingga beliau dicemburui oleh Maharaja negara itu. Maka puaknya yang dipimpin oleh Mahmud terpaksa berhijrah ke timur untuk mengelakkan malapetaka. Mereka berharap agar dapat mencari sebuah tempat kediaman yang damai dan harmoni.

Mereka bertolak menuju ke timur dengan membawa seekor unta putih. Mereka merentasi gunung-ganang dan melintasi padang pasir dengan keyakinan kepada Allah, sehingga akhirnya mereka tiba di kaki sebuah gunung berwarna merah di pesisir Sungai Kuning. Sewaktu itu, unta putih itu tiba-tiba menghilang. Barang-barang yang diangkut oleh unta putih itu termasuklah air dan tanah yang dibawa dari tempat asal mereka serta senaskhah salinan al-Quran tulisan tangan yang sangat berharga. Mereka berasa sangat cemas dan mencari-cari sepanjang malam. Akhirnya mereka mendapati bahawa unta putih itu sudah menjadi sebuah patung batu di tepi sebuah mata air. Semua barang yang diangkut oleh unta putih itu tetap berada di atas bonggolnya.

Mata Air Unta Putih

Orang ramai berasa terkejut akibat keajaiban yang berlaku itu. Air dan tanah yang terdapat dari tempat asal mereka adalah sama dengan air dan tanah di tepi mata air tersebut. Sejak itulah, mereka telah menetap di tempat yang berdekatan mata air tersebut dan bergaul dengan etnik-etnik tempatan seperti etnik Tibet dan lain-lain. Puak tersebut ialah etnik Salar pada masa sekarang yang penduduknya mencatat 100 ribu orang. Manakala tempat kediaman mereka adalah Kaunti Xunhua pada hari ini.

Menurut catatan sejarah, yang sebetulnya nenek moyang Etnik Salar telah berhijrah dari Samarkand, iaitu Uzbekistan pada waktu sekarang dan menetap di Xunhua, Provinsi Qinghai pada penghujung zaman Dinasti Song dan awal zaman Dinasti Yuan. Jadi, di manakah sekarang terletaknya salinan al-Quran tulisan tangan dalam legenda tersebut?

Kami meninggalkan Mata Air Unta Putih dan berjalan menuju ke timur. Tidak lama kemudian, kami terlihat sebuah bangunan yang bercorak Arab. Encik Huang Jiquan, seorang guru bahasa Inggeris daripada sebuah sekolah rendah di sana telah menunjukkan bangunan itu sambil berkata: "Itulah Muzium Simpanan Salinan al-Quran Tulisan Tangan Etnik Salar China. Tahukah saudara, hanya tinggal tiga naskhah salinan al-Quran tulisan tangan di seluruh dunia setakat ini? Salah satu daripadanya tersimpan di sini, Kaunti Xunhua."

Muzium Simpanan Salinan al-Quran Tulisan Tangan Etnik Salar China

Masjid Gaizi di Xunhua

Dimaklumkan bahawa sebuah kumpulan pakar yang terdiri daripada sarjana agama Islam serta ahli arkeologi telah melakukan penilaian terhadap salinan al-Quran tulisan tangan tersebut pada bulan September tahun 2004. Mereka berpendapat bahawa salinan al-Quran tulisan tangan tersebut dihasilkan pada abad ke-8 hingga 13 Masihi dan merupakan salinan al-Quran tulisan tangan yang paling lama di China setakat ini.

Encik Huang Jiquan juga memberitahu kami bahawa jika kami ingin mengetahui lebih banyak maklumat mengenai budaya dan tradisi Etnik Salar, kami boleh menemui Encik Han Zhanxiang kerana beliau ialah pakar dalam pengajian kebudayaan Etnik Salar. Maka, kami telah mengunjungi Encik Han Zhanxiang, budayawan kalangan rakyat Etnik Salar.

"Kou Xian" merupakan sejenis alat muzik tradisional Etnik Salar yang bersejarah lama dan istimewa. Besarnya hanya 2.5 sentimeter, bentuknya seperti ladam kuda dan diperbuat daripada tembaga merah atau perak putih yang sehalus sebatang anak mancis.

Jadi, bagaimana "Kou Xian" dimainkan?

Encik Han Zhanxiang meletakkan alat muzik "Kou Xian" ke dalam mulutnya, maka terhasillah bunyi yang lembut.

Kami baru tahu bahawa alat muzik "Kou Xian" itu dimainkan oleh hujung lidah. Nada dan kenyaringan suara dikendalikan oleh bibir dan tarikan nafas. Bunyi alat muzik yang lembut itu disukai oleh ramai wanita Etnik Salar. Kononnya pada masa dahulu wanita Etnik Salar selalunya memainkan "Kou Xian" pada malam yang sunyi untuk menghilangkan kebimbangan atau meluahkan perasaan.

Selain memain alat muzik "Kou Xian", penduduk Etnik Salar juga pandai menyanyi. Pelbagai muzik yang bercirikan etnik tersendiri telah dihasilkan seiring dengan perkembangan selama ini. "Hua Er" ialah sejenis cara menyanyi dan disukai ramai di bahagian barat laut China. "Hua Er" yang dinyanyikan oleh Etnik Salar telah menggabungkan ciri "Hua Er" etnik lain di barat laut serta dialek etnik Salar sendiri, maka "Hua Er" Etnik Salar beransur-anur menjadi sejenis cara menyanyi yang bergaya unik.

 

Encik Han Zhanxiang diwawancara oleh wartawan CRI

Encik Han Zhanxiang sangat berminat akan "Hua Er" Etnik Salar sejak mudanya. Biasanya "Hua Er" dinyanyikan secara spontan. Perasaan riang serta pemandangan indah telah digabungkan semasa beliau menyanyikan "Hua Er". Seni katanya berima dan suaranya sedap didengar. Encik Han Zhanxiang sangat teruja ketika menyebut "Hua Er" Etnik Salar. Beliau berkata: "Etnik Salar mempunyai dialek sendiri tapi tidak ada tulisannya. Kebudayaan Etnik Salar diwarisi secara turun-temurun melalui cara lisan sehingga sekarang. 'Hua Er' sebagai sejenis cara nyanyian amat disukai ramai di bahagian utara China. 'Hua Er' yang dinyanyikan oleh Etnik Salar mempunyai keunikan tersendiri. Selalunya penduduk Etnik Salar menyanyikan 'Hua Er' dalam dialek etnik Salar sendiri. Terdapat pelbagai jenis 'Hua Er' yang berlainan dari segi irama atau cara persembahannya. Menurut perkiraan saya, cara menyanyikan 'Hua Er Etnik Salar' di Kaunti Xunhua telah mencatat 63 jenis. Kebanyakan kandungan lagu 'Hua Er' menyanjung Xunhua, tanah ladang kami atau melahirkan perasaan kasih sayang antara pemuda dengan gadis."

Encik Han Zhanxiang telah menyanyikan serangkap lagu "Hua Er" secara spontan. Kami tertarik hati akan suara Encik Han yang merdu itu. Encik Han Zhanxiang telah memberitahu maksud yang terkandung dalam lirik lagu tersebut:"Lirik lagu ini ialah: Sudah sampainya musim bunga. Pemandangan sangat indah di Xunhua, kampung halaman Etnik Salar. Hijau tumbuhan gandum, manis bunga aprikot. Kami tertarik oleh keindahannya."

Lagu "Hua Er" yang penuh dengan ciri Etnik Salar ini bukan sahaja menceritakan pemandangan yang istimewa di Xunhua, tetapi juga menggambarkan kehidupan Etnik Salar yang bahagia.

 

Soalan 1: Apakah jenis binatang yang dianggap sebagai lambang Etnik Salar?

A: kuda            B: unta

Soalan 2: Di manakah tersimpannya salah satu daripada tiga naskhah salinan al-Quran tulisan tangan di dunia?

A: Xunhua        B: Beijing

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |