v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

"Lawatan Budaya Muslim di China" (4)
Terpesona dengan Kebudayaan Etnik Uygur
2007-07-09 10:09:05 CRI

Etnik Uygur ialah salah satu etnik bersejarah lama yang tinggal di bahagian barat laut China dan juga merupakan salah satu etnik yang pandai menyanyi dan menari. Kebanyakan penduduk etnik Uygur tinggal di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China. "Uygur" ialah perkataan etnik tersebut sendiri yang bermakna "perpaduan" dan "persekutuan".

Kebanyakan penduduk etnik Uygur di Xinjiang tinggal di kawasan Kashi, Hotan dan Aksu yang terletak di bahagian selatan Gunung Tianshan. Kashi ialah tempat pertemuan bagi menghubungkan selatan, utara dan tengah laluan sutera di bahagian barat China. Maka Kashi telah menjadi pusat pentadbiran politik, ekonomi, kebudayaan dan agama yang terkenal di barat pada setiap dinasti dalam sejarah China. Terdapat satu pepatah yang berbunyi bahawa "Jika tidak berkunjung ke Kashi sama seperti tidak berkunjung ke Xinjiang". Dalam ruangan "Lawatan Kebudayaan Muslim China", kami akan membawa anda ke Kashi untuk menikmati kebudayaan etnik Uygur.

Lapangan Idkah yang terletak di pusat bandar Kashi merupakan tempat penduduk Kashi untuk beristirahat, berhibur dan berhimpun pada musim perayaan dan juga merupakan tempat terbaik bagi pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung, berbelanja dan menikmati kebudayaan etnik Uygur. Sewaktu berjalan-jalan di lapangan ini, hampir kesemua orang yang saya lihat ialah orang Uygur. Ada yang duduk di tembok di sekililing teres bunga, ada juga yang menguruskan perniagaan sendiri, ada juga yang melaung-laungkan sesuatu dalam bahasa Mandarin yang kurang lancar untuk mencari pelanggan.

Lapangan Idkah menjadi terkenal kerana Masjid Idkah yang terletak di bahagian barat lapangan tersebut. Masjid Idkah merupakan masjid yang paling besar di Xinjiang, pusat aktiviti agama Islam di seluruh Xinjiang, dan juga tempat hiburan bagi penduduk pada Hari Raya Korban dan Hari Raya Puasa. "Idkah" bererti tempat bersembahyang pada masa perayaan. Bazha besar di keliling lapangan tersebut juga sudah terkenal lama dan mempunyai keistimewaan etnik Uygur. Dalam bahasa Uygur, "Bazha" bererti pasar.



"Bazha" di keliling lapangan "Idkah"


Berjalan-jalan di Bazha, yang paling menarik perhatian ialah pakaian dan hiasan etnik Uygur yang istimewa, terutamanya kep berhias yang dipakai oleh lelaki, wanita, orang tua dan muda. Kep berhias bukan sahaja merupakan bahagian penting dalam pakaian dan hiasan etnik Uygur, tetapi juga merupakan lambang kecantikan etnik itu.

Kami mengunjungi hadapan sebuah kedai kep berhias. Seorang gadis etnik Uygur yang jelita duduk di dalam kedai itu. Namanya Ayixia. Menyebut tentang pakaian dan hiasan tradisonal etnik Uygur, Ayixia memaklumkan: "Pakaian tradisonal etnik Uygur terdiri daripada skirt panjang dan bolero yang dipakai di bahagian luar, manakala seluar panjang dipakai di dalam, sementara itu kep berhias dipakai di kepala. Orang tua pula memakai skarf."

Maklumat tentang kebiasaan etnik Uygur memakai kep berhias mula dikesan pada zaman dinasti Tang China. Selepas itu, kep Kashi hampir menjadi aliran utama kep berhias dalam kalangan masyarakat etnik Uygur. Melalui penciptaan yang tidak pernah terhenti, kesenian dan pertukangan kep berhias semakin meningkat. Jenis kep berhias juga semakin bertambah.

Gadis etnik Uygur bukan sahaja suka memakai kep berhias, tetapi juga suka menocangkan rambutnya. Menyebut kebiasaan penocangan rambut, Ayixia berkata: "Tocang gadis etnik Uygur biasanya berjumlah 19 atau 21. Jumlah tocang yang paling banyak ialah 41 dan biasanya bilangan ganjil. 41 merupakan bilangan yang terbaik kerana bilangan itu terdapat dalam Kitab Suci Al-Quran. Wanita yang telah berkahwin hanya bertocang dua."



Gambar Anisa, wartawan CRI dengan seorang penjual kep berhias Etnik Uygur


Jika diperhatikan dari segi warna pakaian, seluar panjang, bolero, kep berhias dan skarf etnik Uygur, jelas kelihatan bahawa mereka menyukai warna putih, hitam, hijau dan kuning. Mengapakah warna-warna tersebut menjadi kegemaran orang Uygur?

Kegemaran penduduk etnik Uygur terhadap warna putih, hitam dan hijau berpunca daripada adat resam dan kebudayaan Arab, tempat asal agama Islam. Etnik Uygur juga menyukai warna hijau, ini disebabkan oleh leluhur mereka ialah etnik penternak sebelum berhijrah ke barat, maka rumputan dan air yang menghijau dianggap sebagai nyawa. Warna Kuning melambangkan tanah yang kuning dan padang pasir, suasana hidup etnik Uygur di Xinjiang. Selain itu, etnik Uygur menyukai warna terang dan menjolok mata. Ini juga memperlihatkan watak etnik Uygur yang cergas, optimis, dan penuh bersemangat.


Kain yang berwarnai dan pelbagai jenis tembikar yang dijual di pasar lapangan "Idkah"


Menyebut tentang pakaian dan hiasan, batu jed, kalung tulang, cucuk sanggul kayu, pisau kecil yang dipakai oleh penduduk etnik Uygur Xinjiang juga menjadi pemandangan yang indah. Kami juga turut pergi ke sebuah kedai barang hiasan. Pemuda etnik Uygur yang juga seorang penjual pisau, Maimaijiang dengan bersungguh-sungguh memperkenalkan pisau kecil Yengisar kepada kami: "Pisau kecil Yengisar ini dibuat dengan tangan. Terdapat sebuah kaunti yang bernama Yengisar di kawasan Kashi. Penduduk kaunti itu berkecimpung dalam pembuatan pisau. Setiap keluarga berkebolehan membuat pisau."

 


Maimaijiang, penjual pisau Etnik Uygur


Pada masa dahulu kala, tanah Yengisar tidak subur, kehidupan penduduk di sana amat sukar, maka Allah telah menganugerahkan seorang tukang pisau yang bijak kepada kaunti tersebut. Selepas itu, kaunti tersebut menjadi kaya dengan kewujudan sebuah bandar yang baru. "Yengisar" dalam bahasa Uygur bermakna "bandar yang baru". Kesenian kraf tangan bagi pembuatan pisau kecil juga turut dikekalkan.

Selain perhiasan, pisau kecil Yengisar juga mempunyai fungsi yang praktikal. Maimaijiang berkata: "Kami menggunakan pisau kecil untuk menyembelih kambing dan mencencang daging. Semasa memakan daging, etnik Uygur akan menggunakan pisau dan memotong daging dengan sendiri. Pisau juga digunakan semasa menyembelih kambing. Semua lelaki etnik Uygur membawa pisau."

Seiring dengan perkembangan kesenian kraf tangan, tukang pisau telah membuat pisau kecil dalam pelbagai bentuk, menatah tembaga, perak, jed, batu tulang dan lain-lain, dan mengukir corak etnik Uygur yang istimewa. Pisau kecil Yengisar juga semakin hari menjadi terkenal.

Semasa kami sedang memerhatikan kepelbagaian pisau kecil Yengisar, kedengaran oleh kami suatu irama lagu yang merdu. Kami mengikuti irama lagu itu sehingga tiba di sebuah kedai alat muzik etnik Uygur. Pemain irama lagu yang merdu itu ialah seorang pemuda etnik Uygur. Alat muzik yang dimainkannya disebut "Rewap" yang merupakan salah satu alat muzik utama dalam muzik klasik rakyat Uygur yang bertajuk "Dua Belas Muqam".



"Rewap", alat muzik tradisional Etnik Uygur

"Muqam" ialah perkataan Arab yang bermakna standard, perhimpunan dan lain-lain. Ini bermakna melodi besar dan merupakan salah satu bentuk muzik dalam kalangan pelbagai etnik Muslim. Dua Belas Muqam ialah dua belas melodi besar. Alat muzik pengiring untuk Muqam termasuk Rewap, Tanboer, Dutaer dan lain-lain.


Pelbagai alat muzik Etnik Uygur yang unik


Dua Belas Muqam Uygur menggunakan pelbagai jenis bahasa dan bentuk kesenian seperti muzik, kesusasteraan, tarian dan drama yang memperlihatkan kehidupan yang bahagia dan sentimen rakyat Uygur yang mulia, dan juga memperlihatkan impian dan harapan serta perasaan mereka dalam sejarah itu. Bentuk muzik ini menjadi aliran tersendiri dalam sejarah kesenian pelbagai etnik di seluruh dunia.

Tanpa disedari, kami sudah berjalan-jalan di Bazha Besar Idkah selama beberapa jam, kami juga lapar. Itulah waktu untuk menikmati mekanan tradisi etnik Uygur, maka kami memasuki sebuah restoran di tepi jalan. Pekedai mengalu-alukan kedatangan kami dan menghidangkan makanan yang bercirikan etnik Uygur.

 


Menikmati hidangan enak Etnik Uygur


Makanan yang paling menonjolkan ciri-ciri etnik Uygur ialah daging panggang yang disebut "Kalip" dalam bahasa Uygur. Kalip merupakan sebutan bagi sate yang diperbuat daripada daging kambing, daging kambing panggang dan lain-lain. Daging panggang merupakan makanan segera yang paling popular di tepi-tepi jalan di Xinjiang. Daging panggang yang enak dibakar di atas bara atau api, sejumlah garam, jintan putih dan serbuk lada.

Terdapat pelbagai jenis daging panggang di Xinjiang. Antaranya, sate daripada daging kambing adalah yang paling utama, manakala kambing panggang adalah yang paling istimewa. Makanan tersebut dihidangkan sewaktu menerima tetamu yang terhormat di hotel dan ruang jamuan. Biasanya, pemanggangan seekor kambing akan memakan masa selama 2 atau 3 jam.

Beberapa cucuk sate daging kambing yang masih belum mengisi perut kami, pulao yang sedap pula telah dihidangkan. Apabila kami bertanya tentang bahan yang digunakan untuk membuat pulao, pembantu restoran itu memaklumkan: "Makanan ini ialah sejenis nasi yang dimasak dengan lobak merah, bawang dan daging kambing. Biasanya pulao dimakan dengan tiga jari tangan kanan."

Makanan pulao ini juga berasal daripada makanan tradisi umat Islam. Rasa pulao di setiap restoran juga adalah berlainan. Biasanya berdasarkan kepada cita rasa pekedai. Penduduk etnik Uygur juga menggunakan kreativiti mereka dalam memasak pulao. Mereka juga menggunakan daging ayam, itik, angsa dan lembu untuk menggantikan daging kambing. Pulao yang dimasak dengan buah-buahan kering seperti kismis dan aprikot kering disebut pulao sayur-sayuran.

Selain pulao, penduduk etnik Uygur lebih menyukai makanan yang diperbuat daripada tepung gandum. Pembantu restoran memberitahu kami supaya mencuba Nang, salah satu makanan yang istimewa dalam budaya makan etnik Uygur. Nang merupakan makanan yang paling utama dalam kehidupan rakyat etnik tersebut.

Nang itu dibakar dalam tempayan khusus dan berbentuk bulat. Bahan utama makanan tersebut ialah tepung yang dinaikkan dengan yis, bahan tambahan ialah bijan, bawang, telur, minyak, susu, garam, gula dan lain-lain. Disebabkan kpelbagaian bahan tambahan, bentuk dan cara pembakaran, maka jenis Nang mencapai lebih 50. Nang ini berbentuk bulat dan diameternya yang paling besar dapat mencapai 40 hingga 50 sentimeter. Ketebalan Nang yang paling lebar mencapai 5 hingga 6 sentimeter. Oleh sebab terlalu kering, maka Nang tidak mudah rosak dan mudah dibawa kemana-mana. Nang juga disukai oleh pelbagai etnik yang lain.

Soalan 1: Apakah maksudnya  "Bazha" dalam bahasa Uygur?


A: Baju                                   B: Pasar


Soalan 2: Biasanya berapa lamakah masa yang diambil untuk memanggang seekor kambing?


A: Dua atau tiga jam            B: Sejam


  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |