"Ningxia Zuochang" ialah sejenis persembahan kesenian yang disukai ramai penduduk di Ningxia. "Zuochang" bermaksud "duduk dan menyanyi". Dua orang penyanyi dalam persembahan "Zuochang" biasanya duduk di kerusi dan berdiaog melalui nyanyian sambil memainkan alat muzik. "Ningxia Zuochang" merupakan teladan baik bagi rakyat Ningxia mewarisi kebudayaan tradisional di samping meneroka cara kesenian baru yang selaras dengan arah aliran pembangunan masyarakat kini. Sejak diperkenalkan, "Ningxia Zuochang" telah mendapat sambutan baik daripada penduduk di wilayah itu disebabkan oleh liriknya dilagukan dengan dialek tempatan yang melucukan dan isi kandungan yang mempunyai ciri tempatan.
Boleh dikatakan bahawa tiada orang yang tinggal di Ningxia yang tidak tahu mengenai "Ningxia Zuochang" dan Xu Mingzhi. Encik Xu Mingzhi, berumur 54 tahun, telah dianugerahkan banyak gelaran dan menjawat banyak jawatan berkenaan seperti Naib Ketua Kumpulan Kesenian Bernyanyi dan Bercerita, Ketua Setiausaha Persatuan Opera, Balada dan Akrobat Yinchuan, pelakon kelas I peringkat negara dan sebagainya. Namun jika kita menyebut nama Xu Mingzhi, gambaran yang terlebih dahulu tercetus, beliau sebagai pengasas "Ningxia Zuochang".
Xu Mingzhi berminat pada kesenian tradisi rakyat sejak kecil. Beliau mula belajar memainkan papan cam pada umur 10 tahun. Sejak itulah, beliau tidak berpisah dengan kesenian tradisi yang diminati sepanjang hayat.
Beliau berkata, "Selepas saya menyentuh pelbagai kesenian rakyat, saya mendapat tahu provinsi atau wilayah lain mempunyai kesenian rakyat masing-masing. Mengapa Ningxia tidak mempunyai kesenian balada sendiri yang unik? Ayah saya sangat bersetuju dengan saya dan beliau memberitahu dahulu ada balada atau muzik rakyat di Ningxia. Ini mengingatkan saya. Maka saya selalu melawat ke kampung atau desa untuk membongkar dan mengumpulkan apa-apa bentuk kesenian di kalangan rakyat."
Pada tahun 1970, Xu Mingzhi menjadi seorang pekerja di sebuah kilang getah di bandar Yinchuan. Selepas bekerja beliau mengisi masa rehat dengan belajar "Sanxian" yang juga dipanggil "xianzi", sejenis alat muzik tradisional dengan tiga tali. Dia belajar dengan bersungguh-sungguh.
Beliau berkata, "Berlatih bermain 'xianzi' teruk dan membosankan. Keadaan kehidupan saya pada masa itu kurang baik. Selepas berkahwin, kami menyewa sebuah rumah yang lama dan buruk. Biasanya saya berlatih muzik dan lagu dengan duduk di atas bangku pada pukul 11 malam, selepas isteri dan anak saya tidur."
Namun, keperitan hidup tidak menghalang langkah Xu Mingzhi bagi terus mengejar impiannya memajukan kesenian rakyat. "Yugu" ialah sejenis genderang yang diperbuat daripada buluh panjang dengan salah satu kepalanya ditutup oleh kulit haiwan. "Sanxian" dan "Yugu" sering dimainkan bagi mengiringi pengkisahan penglipur lara atau menyanyi.
Xu Mingzhi pandai memainkan kedua-dua alat muzik tersebut. Kedua-duanya juga membangkitkan semangat melagukan karya seni rakyat tanpa jemu dan ini sering membawa beliau menemui sahabat baik yang saling memahami dan mempunyai kegemaran yang sama, iaitu Yan Lu. Yan Lu, seorang petani. Mereka bukan sahaja bersahabat baik, malahan merupakan pasangan yang bekerjasama dalam persembahan kesenian. Sejak itulah, cara persembahan dua orang menyanyi sambil memainkan alat muzik dibentuk dalam persembahan "Ningxia Zuochang".
Pada pandangan Xu Mingzhi, Yan Lu bukan hanya pasangan kesenian beliau, malah sebagai seniman kalangan rakyat yang sangat dihormatinya. Namun, kegembiraan beliau tidak lama kerana Yan Lu meninggal dunia disebabkan suatu penyakit. Walaupun masa itu sudah berlalu, Xu Mingzhi akan merasa sangat sedih ketika menyebut nama rakan baiknya itu.
Beliau berkata, "Yan Lu mempunyai pengalaman hidup rakyat yang mendalam. Dia seorang petani dan berminat pada pelbagai jenis kesenian rakyat sejak kecil. Dia pandai menyanyi Qinqiang, sejenis opera tempatan yang popular di barat laut China dan beberapa jenis senandung tempatan di Ningxia. Boleh dikatakan dia juga merupakan salah seorang pengasas bagi 'Ningxia Zuochang'."
Pada tahun 1980, "Nian Qing de Lao Han" yang bermaksud "pak cik yang muda" yang pertama dianggap sebagai program "Ningxia Zuochang" dan dipersembahkan bersama oleh Xu Mingzhi dan rakan kerjanya, Zhang Mao. Sejak itu, Ningxia Zuochang diketahui hampir semua penduduk di Ningxia dan mendapat sambutan baik. Jika diketahui ada persembahan "Ningxia Zuochang" pada malam itu, tentu banyak penontonnya. Para penonton sangat seronok dan selalunya ketawa berbahak-bahak ketika menonton persembahan itu.
Dalam tempoh 20 tahun, Xu Mingzhi memberi persembahan "Ningxia Zuochang" di pelbagai tempat di seluruh negara. Beliau juga dipindahkan ke Kumpulan Kesenian Menyanyi dan Bercerita Bandar Yinchuan dari kilang getah untuk menjadi seorang penyanyi profesional. Ini memberi beliau mendapat lebih banyak masa untuk bergiat dalam lapangan yang beliau cintai.
Beliau berkata, "Sekiranya saya mula memikir dan mencipta lagu Ningxia Zuochang, saya tidak akan merasa letih. Saya dapat bekerja tiga hari siang dan malam. Saya akan timbang-menimbang setiap bait muzik dan setiap perkataan lirik lagu. Pada musim panas ketika saya di rumah, saya akan mencipta karya dengan tidak memakai pakaian atas di beranda dan bekerja sepanjang malam. Ketika matahari terbit, saya baru nampak banyak serangga di kulit badan saya. Saya tidak merasanya sepanjang malam berkarya. Yang paling menggembirakan hati saya ialah karya Ningxia Zuochang yang saya persembahkan mendapat sambutan baik."
Seiring dengan pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, perkembangan kesenian dalam negara China semakin makmur. Pelbagai unsur kesenian dan hiburan baru seperti lagu pop dan filem moden beransur-ansur masuk dalam kehidupan harian rakyat, dan disukai ramai golongan muda. Oleh sebab itu, kesenian tradisi dilanda cabaran besar. Xu Mingzhi bimbang akan masa hadapan Ningxia Zuochang. Beliau jelas menyedari bahawa kesenian memerlukan penerokaan yang tidak berhenti-henti. Dengan demikian, barulah Ningxia Zuochang mendapat daya hidup yang baru. Dengan pendapat demikian, Xu Mingzhi cuba menambah unsur baru ke dalam persembahan Ningxia Zuochang seperti RAP dan bunyi elektrik untuk meningkatkan daya dinamiknya. Di samping itu, dua orang yang memberi persembahan pada asalnya juga diubah kepada beberapa orang. Ada yang menyanyi, ada yang menari.
"Ningxia Zuochang" yang diperbaharui itu mendapat sambutan baik daripada para penonton. Namun, langkah penerokaan masih diteruskan oleh Xu Mingzhi. Beliau selalu melawat ke pelbagai tempat di bandar atau desa dengan menunggang basikal untuk mendapat inspirasi bagi mencipta karya "Ningxia Zuochang" yang baru.
Xu Mingzhi berkata, "Saya amat suka bersiar-siar ke desa dan saya selalu berbual-bual dengan petani-petani di desa untuk mengetahui kehidupan mereka. Apa yang mereka hendak dengar dan tonton merupakan sumber penciptaan saya."
Pada tahun 2006, persembahan Ningxia Zuochang yang bertajuk "Yu Nai Nai Hui Jia Lai" oleh Xu Mingzhi dan rakannya telah mendapat Hadiah Peony Kesenian Rakyat China.
"Yu Nai Nai Hui Jia Lai" bermaksud "ikan nenek pulang ke kampung halaman". Opera tersebut menceritakan seekor ikan yang telah berusia dan tinggal di Yinchan, terpaksa berhijrah ke tempat lain disebabkan habitatnya diceroboh oleh manusia dengan mengubah keadaan tasik kepada tanah ladang. Seiring dengan pemahaman orang tentang perlindungan alam sekitar semakin meningkat, suasana persekitaran ekologi di Yinchuan dapat dibaikpulih. Ikan tersebut juga kembali ke rumah dengan penuh kegembiraan. Karya ini bertemakan perlindungan alam sekitar, iaitu sama ada manusia atau haiwan, sama-sama memerlukan persekitaran kehidupan yang harmoni dan bersih.
Pada tahun-tahun kebelakangan ini, China semakin mementingkan usaha mengumpul dan melindungi warisan kebudayaan bukan benda. Kebudayaan tempatan di Ningxia telah mendapat lebih banyak perhatian. Lebih 180 kesenian tradisi kalangan rakyat termasuk Ningxia Zuochang telah dijadikan sebagai objek perlindungan utama warisan budaya bukan benda Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia.
Xu Mingzhi berkata, "Saya amat berpuas hati kerana dapat membuat penduduk sekampung halaman saya merasa bangga. Saya berusaha sepanjang hayat bergiat cergas dalam kesenian Ningxia Zuochang kerana saya mencintainya. Kadang-kadang saya berasa mungkin saya dilahirkan ke dunia ini khusus untuk Ningxia Zuochang."
Kini, Xu Mingzhi sedang sibuk berkerja dengan rakannya melatih persembahan baru untuk menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia. Xu Mingzhi menambah tarian dan alat muzik yang lebih menarik ke dalam persembahan Ningxia Zuochang kali ini. Beliau sangat gigih berusaha dan berkeyakinan penuh akan berjaya dalam perjalanan pembaharuan dan penerokaan keseniannya.
|