Kouxian merupakan alat muzik yang digemari oleh penduduk etnik Hui. Alat muzik itu diperbuat daripada logam atau buluh. Dalam rancangan sebelum ini, kami pernah memperkenalkan Kouxian etnik Salar di Xunhua, provinsi Qinghai yang diperbuat daripada logam. Dalam rancangan hari ini, kami akan membawa saudara ke mukim Haojiaqiao, bandar Lingwu untuk mengetahui mengenai Kouxian keluarga Ma.
Bandar Lingwu yang terletak tidak jauh dari Yinchuan, ibu kota Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia, merupakan salah sebuah bandar terkenal dalam sejarah kerana mempunyai budaya yang lama. Dengan teknik permainan dan gaya yang tersendiri serta pembuatan yang istimewa, Kouxian yang popular di kalangan etnik Hui di Lingwu sejak ratusan tahun yang lalu mengutarakan perasaan kaum pekerja. Keluarga Ma yang tinggal di mukim Haojiaqiao, menjadi wakil seniman Kouxian di bandar Lingwu kerana kemahiran mereka dalam permainan mahupun pembuatan alat muzik itu.
Pada masa Ma Jingui, keturunan kedua Kouxian keluarga Ma, seni pembuatan dan permainan Kouxian semakin sempurna dengan gaya tersendiri. Ma Jingui sering memikul Kouxian untuk dijaja sekeliling kampung pada siang hari, dan membuat Kouxian di bawah pelita pada malam hari.
Kouxian keluarga Ma dibuat daripada buluh dengan panjangnya satu desimeter. Rupanya seperti cuban dengan satu hujung yang besar dan satu lagi yang kecil. Jumbai sutera diikat kepada satu hujung. Semasa memainkan Kouxian, hujungnya dipegang dengan jari tangan kiri, rid alat muzik itu dikemam dalam mulut, jumbai sutera dipegang dengan jari tengah dan ibu jari tangan kanan untuk ditarik supaya rid itu berbunyi gementar.
Walaupun tampak kecil dan sederhana, pembuatan Kouxian memerlukan persediaan yang rapi. Buluh yang dipilih dengan teliti terlebih dahulu dipotong menjadi beberapa kerat dengan panjangnya kira-kira 2 desimeter, lalu digoreng dalam kuali. Kemudian, buluh itu dikeluarkan untuk diukir dengan teliti. Melalui prosedur tersebut, alat muzik itu berkilauan seperti dilumaskan cat. Kualitinya tinggi dan tidak mudah untuk pecah. Bunyinya juga amat nyaring dan merdu. Ma Yizhen, keturunan ketiga Kouxian keluarga Ma yang juga anak lelaki Ma Jingui memaklumkan,
"Kira-kira dua puluh prosedur diperlukan untuk menghasilkan sebuah Kouxian. Itu memerlukan masa sejam atau dua jam."
Ciri-ciri alat muzik itu yang paling jelas ialah tidak ada nada yang tertentu. Pelbagai perasaan yang rumit disampaikan melalui alat muzik itu dengan perubahan bentuk pembulatan bibir dan tenaga pemain.
Lagu yang saudara nikmati sekarang bertajuk "Kesengsaraan" yang menggambarkan pelbagai kegetiran hdup yang dihadapi oleh manusia sepanjang hayat mereka.
Lagu ini dimainkan oleh Ma Lanhua, keturunan ketiga Kouxian keluarga Ma, dengan diiringi oleh kumpulan permainan Kouxian keluarga tersebut. Ma Lanhua yang berusia 70 tahun mula belajar bermain Kouxian dengan ayahnya ketika berusia 6 tahun. Perjalanan hidup yang dilaluinya berliku-liku dan dihadapinya dengan tabah. Sebelas tahun lalu, suaminya menderita penyakit trombosis otak yang menyebabkan lumpuh dan terlantar di tempat tidur hingga kini. Tahun berikutnya, seorang anak lelakinya meninggal dunia. Tidak lama selepas itu, menantunya pula menemui kecelakaan semasa bekerja di tapak pembinaan. Bagaimanapun, orang tua yang gigih ini tidak pernah berjauhan dengan irama iringan Kouxian semasa menghadapi kesengsaraan.
Ma Lanhua berkata,"Apabila gembira, saya bermain Kouxian. Menghadapi kedukaan, juga saya bermain Kouxian."
Bermain Kouxian telah menjadi tunggak semangat bagi Ma Lanhua. Kouxian pula menemani orang tua ini menghadapi setiap detik kesengsaraan dalam hidupnya.
Pada musim bunga tahun lalu, dengan sokongan badan berkenaan kerajaan bandar Lingwu dan pelbagai lapisan masyarakat, Ma Lanhua menggalakkan kakak dan adik perempuan serta jiran tetangganya untuk menubuhkan kumpulan permainan Kouxian keluarga Ma. Kumpulan itu terdiri daripada 12 orang, yang berusia dari 38 tahun hingga 72 tahun. Pegawai Balai Kebudayaan Bandar Lingwu, Zhang Jie yang bertanggungjawab terhadap perlindungan Warisan Budaya Bukan Kebendaan memaklumkan,
"Sebelum tindakan perlindungan dilaksanakan, Kouxian hampir terpupus, kerana pemuda tidak berminat pada Kouxian. Jika terbiar terus, ia akan pupus tidak lama lagi. Untuk itu, kami membuat sebuah rancangan, iaitu menubuhkan sebuah kumpulan permainan Kouxian yang terutamanya terdiri daripada anggota keluarga Ma. Kami akan memberikan bimbingan pada masa yang tetap."
Melalui latihan selama setengah tahun, anggota kumpulan permainan itu menguasai cara bermain Kouxian, iaitu mengubah cara permainannya dengan ditambah perubahan irama. Dalam aktiviti "Musim Budaya Lapangan" yang diadakan oleh kerajaan Yinchuan, ibu kota Wilayah Autonomi Etnik Hui Ningxia, kumpulan permainan Kouxian itu menyertai persembahan tersebut dan mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Seiring dengan usaha kerajaan China meningkatkan pemeliharaan dan perlindungan warisan budaya bukan kebendaan, Kouxian keluarga Ma disenaraikan dalam Warisan Budaya Bukan Kebendaan Peringkat Negara pada bulan September tahun lalu. Sebagai sejenis alat muzik tradisi etnik Hui, Kouxian keluarga Ma semakin menarik perhatian ramai.
|