v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Pasukan Junam Negara China Tingkatkan Latihan Psikologi Sempena Sukan Olimpik
2008-03-20 13:23:18 CRI

Pasukan junam negara China merupakan pasukan yang terkenal dalam arena sukan China. Pasukan junam negara China meraih pingat emas yang paling banyak dalam enam Sukan Olimpik yang lalu. Pasukan ini pasti akan menjadi fokus dalam Sukan Olimpik Beijing yang akan datang. Kini, pasukan ini telah menjalani latihan sepanjang musim sejuk selama empat bulan. Selain aspek teknik dan latihan berciri fizikal, aspek psikologi juga dimasukkan dalam latihan tersebut. Mungkin saudara merasakan latihan psikologi agak asing. Oleh itu, marilah bersama-sama mengikuti liputan kami untuk memahami konsep latihan itu.

( He Chong, atlet acara junam papan anjal tiga meter )

Dengan munculnya musim bunga, latihan musim sejuk yang dijalani oleh pasukan junam negara China selama empat bulan telah pun berakhir baru-baru ini. Latihan tersebut terdiri daripada dua fasa. Fasa pertama dijalankan di Beijing, dan fasa kedua diadakan di Jinan, timur China. Pada fasa kedua, pasukan junam negara China telah mengadakan pertandingan pemilihan calon untuk Sukan Olimpik yang berlangsung selama dua hari. Ketika mengenang kembali latihan itu, He Chong, atlet acara junam papan anjal tiga meter berkata: "Dalam latihan pada musim sejuk kali ini, pasukan kami berlatih dengan bersungguh-sungguh, dan kami juga mengambil bahagian dalam pertandingan pemilihan calon untuk Sukan Olimpik. Selepas latihan ini, kami terus menyertai Piala Dunia Junam. Semua rakan sepasukan saya berasa amat letih dalam pertandingan itu, namun kami dapat memberikan persembahan yang baik, dan menunjukkan kejayaan dalam latihan itu."

Pasukan junam negara China sebagai pasukan yang paling unggul dalam arena junam antarabangsa mempunyai ramai atlet yang hebat. Mereka menjalani latihan yang ketat dan teratur pada hari-hari biasa. Namun, acara junam merupakan acara sukan yang memerlukan para atlet mempunyai psikologi yang baik, khususnya dalam pertandingan peringkat antarabangsa, keadaan psikologi atlet yang tidak stabil akan menjejaskan persembahannya. Memikirkan Sukan Olimpik 2008 yang akan diadakan di Beijing sahaja sudah cukup memberikan tekanan psikologi yang besar kepada atlet China. Oleh itu, pasukan junam negara China mengutamakan latihan psikologi dalam latihan pada musim sejuk kali ini.

(Puan Zhou Jihong )

Naib Ketua Pusat Acara Renang Negara yang juga Ketua Pasukan Junam Negara China, Puan Zhou Jihong berkata: "Latihan psikologi amat penting bagi setiap atlet, sebab sekiranya seseorang atlet berharap untuk memberikan persembahan yang baik dalam pertandingan, jaminan psikologi menjadi keperluan yang asas. Sekiranya berhadapan dengan apa keadaan, atlet perlu mengawal perasaan. Latihan psikologi dijalankan melalui dua pendekatan, iaitu pertandingan dan nasihat psikologi dalam latihan biasa."

(Wang Xin, atlet junam pentas 10 meter )

Dalam latihan pada musim sejuk tersebut, pasukan junam negara China mengadakan satu pertandingan syarahan. 15 orang anggota pasukan itu diminta menceritakan impian mereka mengenai Sukan Olimpik. Walau bagaimana rapi pun persiapan yang dibuat mereka, namun mereka tetap berasa gemuruh dan gugup ketika bercakap. Ketika memperkatakan pengalaman ini, Wang Xin, atlet junam pentas 10 meter berkata: "Ketika saya menyertai pertandingan syarahan, saya rasa lebih gemuruh berbanding dengan menyertai pertandingan sukan. Pertandingan itu bertujuan untuk melatih kami mengekalkan rasa tenang ketika menghadapi tekanan."

Ketua Pasukan Junam Negara China, Puan Zhou Jihong berkata bahawa mengadakan pertandingan syarahan merupakan satu keadah untuk menguasai psikologi yang baik bagi para atlet. Selain itu, jurulatih kerap kali menguji keadaan psikologi atlet dan berkomunikasi dengan mereka. Melalui latihan ini, kebanyakan atlet merasakan keadaan psikologi mereka bertambah baik.

( Chen Ruolin dan Wang Xin )

Piala Dunia Junam FINA telah diadakan di Beijing pada 19 hingga 24 Februari. Ini merupakan pertandingan peringkat antarabangsa penting yang disertai oleh pasukan junam negara China selepas latihan pada musim sejuk itu. Dalam pertandingan ini, atlet China Chen Ruolin dan Wang Xin meraih pingat emas dalam acara junam pentas 10 meter wanita berpasangan, atlet China He Chong meraih pingat emas dalam acara junam pentas 10 meter lelaki, dan atlet terkenal China Wu Minxia mengekalkan kedudukan teratasnya dalam acara junam papan anjal 3 meter wanita. Ketua Pasukan Junam Negara China, Puan Zhou Jihong berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai oleh pasukan junam negara China dalam pertandingan tersebut. Beliau berpendapat latihan psikologi memberikan hasil dalam pertandingan ini. Ini bermakna pasukan junam negara China telah mencapai keadaan yang baik dari segi teknik dan psikologi.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |