v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Kejohanan Dalam Dewan Dunia Menguji Persiapan Atlet-atlet Olahraga China untuk Sukan Olimpik
2008-04-02 14:35:38 CRI

Dalam Kejohanan Dalam Dewan Dunia 2008 yang baru berakhir, atlet-atlet China telah memenangi satu pingat emas dan satu pingat gangsa, dengan itu mencipta kejayaan paling cemerlang sejak menyertai temasya itu dalam tempoh hampir 20 tahun. Kejohanan Dalam Dewan Dunia 2008 ini diadakan ketika Sukan Olimpik hanya tinggal kira-kira lima bulan sahaja lagi akan berlangsung. Maka ia turut menjadi ujian persiapan bagi atlet-atlet olahraga China untuk menghadapi temasya tersebut.

Sebagai temasya olahraga peringkat antarabangsa yang pertama tahun ini, Kejohanan Dalam Dewan Dunia 2008 yang diadakan di Valencia, Sepanyol pada Mac ini telah menarik penyertaan lebih 600 orang atlet dari 109 negara dan wilayah. Pasukan olahraga China telah menghantar 11 atlet untuk bertanding dalam empat acara lelaki dan empat acara wanita. Antara mereka, jaguh olahraga China, Liu Xiang memang menjadi perhatian ramai di sana dan berjaya memenangi satu-satunya pingat emas untuk China dalam acara 60 meter lari berpagar lelaki dengan catatan masa 7.46 saat. Dengan kemenangan itu, beliau mencipta satu lagi sejarah tersendiri selepas merangkul pingat emas Sukan Olimpik Athen, Grand Prix Osaka, Golden League Athletics di Paris, Piala Dunia IAAF di Athens, Grand Prix IAAF Super di Lausanne dan gelaran pemegang rekod dunia acara 110 meter lari berpagar.

Liu Xiang

Dalam Kejohanan Dalam Dewan Dunia Valencia kali ini, Liu Xiang yang dikejar oleh media dan para peminatnya jelas menjadi begitu popular. Disebabkan pesaingnya dari Cuba, Dayron Robles gagal dalam acara saringan, walaupun di luar dugaan, maka acara akhir 60 meter lari berpagar lelaki telah menjadi "persembahan solo" bagi Liu Xiang tanpa kehadiran Robles. Sebaik sahaja namanya disebut oleh juruacara sebelum perlumbaan itu, sorakan dan tepukan yang bergemuruh telah diberikan oleh penonton tempatan kepadanya sama dengan sambutan terhadap atlet negara mereka sendiri. Ini jelas memperlihatkan betapa popularnya Liu Xiang di seluruh dunia, apatah lagi di China.

Pada pandangan jurulatihnya Sun Haiping, sambutan hangat daripada penonton Sepanyol adalah disebabkan aksi baik Liu Xiang dalam kejohanan itu. Walau bagaimanapun, prestasi yang cemerlang itu dicapai hasil latihan yang bersungguh-sungguh pada musim sejuk yang lalu. Menurut beliau, Liu Xiang mencapai kemajuan yang besar selepas menjalani latihan intensif beberapa bulan yang lalu dan ini memantapkan lagi fizikalnya untuk Kejohanan Dalam Dewan Dunia dan Sukan Olimpik Beijing. Kemenangannya sebagai juara dalam Kejohanan Dalam Dewan Dunia pertamanya dianggap permulaan yang baik bagi Liu Xiang yang akan mempertahankan pingat emas dalam Sukan Olimpik Beijing.

Ketika ditanya sama ada beliau berasa tertekan kerana rekod pencapaian peribadinya selama ini dan harapan orang ramai terhadap prestasinya dalam Sukan Olimpik Beijing nanti, Liu Xiang menjawab:

"Saya tidak meresa tertekan, saya akan menghadapinya bila tiba masanya nanti. Saya sudah menjadi juara Sukan Olimpik, jadi bagi saya, ini biasa sahaja, cuma saya akan membuat apa yang perlu dibuat sebaik-baiknya, dan tidak peduli apa orang lain kata."

Sementara itu, beberapa atlet China yang lain pun menunjukkan prestasi yang baik dalam Kejohanan Dalam Dewan Dunia kali ini. Jaguh negara Li Meiju memenangi pingat gangsa dalam acara lontar peluru wanita sejauh 19.09 meter. Shi Dongpeng, teman sepasukan Liu Xiang yang menduduki tempat kesembilan dalam acara saringan 60 meter lari berpagar lelaki pula mencipta rekod peribadi dalam musim perlumbaan ini walaupun gagal melayakkan diri ke peringkat akhir. Manakala, jaguh negara Xie Limei menduduki tempat kelapan dalam acara lompat kijang wanita dan Xue Fei pula mencipta rekod peribadi terbaik dalam acara lari 3000 meter wanita.

Li Meiju

Pencapaian tersebut memperlihatkan kesan latihan musim sejuk terhadap pasukan olahraga China yang diadakan sebelum ini dan kenaikan tahap prestasi para atlet melalui latihan persiapan menjelang Sukan Olimpik Beijing.

Temasya sukan menjadi ujian dan kayu ukur kepada latihan yang diadakan kerana ia dapat memperlihatkan dengan jelas kelemahan atlet yang gagal diatasi dalam latihan sebelumnya. Ketua jurulatih pasukan olahraga negara China, Feng Shuyong menyatakan bahawa Kejohanan Dalam Dewan Dunia kali ini telah menyediakan peluang yang baik kepada pasukan China untuk mengetahui dan membetulkan kesalahan sendiri dan sekali gus menunjukkan arah seterusnya. Beliau berkata,

"Prestasi Xie Limei dan Li Meiju dalam Kejohanan Dalam Dewan Dunia Valencia sesuai dengan tahap latihan mereka. Walau bagaimanapun, pada keseluruhannya, kemampuan pasukan olahraga China dalam temasya sukan tersebut masih rendah. Ini satu masalah lama dan kita perlu mengubah konsep sebilangan besar jurulatih dalam latihan olahraga."

Shi Dongpeng (kanan)

Tinggal lagi lima bulan, Sukan Olimpik 2008 akan dirasmikan di Beijing. Jaguh-jaguh yang handal dari pelbagai negara telah menguji kesan persediaan mereka untuk Sukan Olimpik dengan mengambil peluang menyertai Kejohanan Dalam Dewan Dunia Valencia. Feng Shuyong memberitahu bahawa prestasi pasukan China dalam kejohanan itu telah membantu mereka mengetahui lebih baik kedudukan sendiri dalam bidang olahraga peringkat antarabangsa untuk membuat perancangan yang lebih praktikal dalam latihan sebelum Sukan Olimpik Beijing. Beliau menyatakan bahawa pasukan olahraga China akan membuat persembahan terbaik dalam temasya sukan terbesar di dunia itu.

"Kejohanan Dalam Dewan Dunia kali ini merupakan temasya sukan yang tarafnya paling hampir dengan Sukan Olimpik. Keputusan kami mencerminkan kekuatan pasukan olahraga China memang biasa sahaja dan tetap kekurangan acara dan atlet yang ada kelebihan."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |