v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Temu Ramah dengan Setiausaha Agung Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Itali, Raffaele Pagnozzi
2008-04-17 17:07:41 CRI

Walaupun penduduknya hanya berjumlah 60 juta orang, namun Itali merupakan sebuah negara yang hebat dalam bidang sukan. Dalam Sukan Olimpik Athens, Itali telah menghantar 372 orang atlet untuk mengambil bahagian dalam temasya sukan itu dan mencatat rekod baru dari segi jumlah penyertaan. Dalam Sukan Olimpik tersebut, Itali menduduki tempat ke-8 dalam kategori pungutan mata keseluruhan kontinjen. Dalam temu ramah ini, Encik Raffaele Pagnozzi mula-mula menceritakan perkembangan pemilihan atlet negara Itali ke Sukan Olimpik Beijing.

"Kini, Itali sedang giat membuat persediaan untuk Sukan Olimpik Beijing. Pemilihan atlet ke sukan itu berjalan dengan lancar. Bagi acara berpasukan, kami perlu menunggu keputusan pertandingan kelayakan bagi acara polo air lelaki dan acara bola tampar wanita yang akan diadakan di Jepun nanti. Dulu, Itali menghantar 8 pasukan untuk mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Athens. Tapi, oleh sebab kami gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing dalam acara sofbol, besbol dan bola keranjang, jadi negara Itali akan hanya menghantar lima pasukan ke Beijing kali ini, antaranya termasuk, pasukan bola sepak, pasukan bola tampar lelaki dan wanita serta pasukan polo air. Kami yakin lima pasukan tersebut berkemampuan untuk mendapatkan pingat dalam Sukan Olimpik nanti. Sementara itu, pemilihan atlet yang akan menyertai acara perseorangan sudah selesai. Dalam beberapa acara, atlet Itali memegang rekod dunia. Semua atlet yang terpilih ialah atlet elit. Jadi, boleh dikatakan kami hanya membawa atlet yang mampu mencapai prestasi cemerlang sahaja ke Beijing."

Ketika menyentuh sasaran pingat kontinjen Itali dalam Sukan Olimpik Beijing nanti, Encik Raffaele Pagnozzi berkata:

"Sejak Sukan Olimpik Barcelona, Itali kekal berada dalam kumpulan kedua. Kami berjaya meraih 32 buah pingat dalam Sukan Olimpik Athens. Persaingan merebut pingat ini dijangka akan menjadi lebih sengit dalam Sukan Olimpik Beijing. Jumlah 30 buah pingat menjadi sasaran kami. Sekiranya jumlah pingat melebihi 30, itu memang di luar dugaan kami. Antara acara yang ada potensi pingatnya dimenangi oleh Itali ialah lawan pedang, dayung kayak, renang dan judo. Antaranya lawan pedang merupakan acara yang Itali mempunyai kelebihan paling besar. Menurut sejarah, Itali telah memenangi banyak pingat dalam acara itu sejak mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik."

Dimaklumkan, untuk memastikan atlet Itali mencapai prestasi yang cemerlang dalam Sukan Olimpik kali ini, Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Itali telah memutuskan untuk mendirikan satu khemah induk di Beijing. Lokasinya sudah ditetapkan, iaitu di tempat sejauh lima kilometer dari Stadium Negara dan lapan kilometer dari Perkampungan Olimpik. Raffaele Pagnozzi memberitahu wartawan kami:

"Sejak Sukan Olimpik Los Angeles, Itali mendirikan khemah induk untuk menyediakan perkhidmatan logistik kepada atletnya yang menyertai Sukan Olimpik Musim Panas dan Sukan Olimpik Musim Sejuk. Khemah itu dikenali sebagai "Rumah Itali". Majlis menyambut kemenangan pingat oleh atlet Itali juga akan diadakan di sana. Dalam Sukan Olimpik Beijing nanti, "Rumah Itali" akan dibuka kepada orang awam buat pertama kalinya. Dengan cara itu, rakyat Itali dan rakyat China dapat mengadakan lebih banyak hubungan antara satu sama lain. Di sana, pelawat China bukan sahaja akan menemui atlet Itali, tetapi juga akan berjumpa dengan wakil beberapa syarikat Itali. Dengan ini, mereka akan lebih memahami Itali. Dari segi kawalan keselamatan, program ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing."

Ketika diminta menilai kerja-kerja persiapan Sukan Olimpik Beijing, Raffaele Pagnozzi berkata:

"Paling akhir saya ke Beijing ialah pada akhir tahun lalu. Saya juga akan melawat Beijing pada bulan April tahun ini. Ada teman sekerja saya pergi ke China hampir setiap bulan. Menurut maklumat yang disampaikan oleh mereka, kerja persiapan Sukan Olimpik amat baik, terutamanya pembinaan stadium sukan. Walau bagaimanapun, saya rasa masalah yang perlu diatasi oleh pihak penganjur menjelang Sukan Olimpik Beijing ini ialah masalah pengangkutan dan mutu udara. Namun, saya yakin, masalah-masalah itu tentu dapat diatasi menjelang perasmian temasya sukan itu nanti."

Ketika diminta pandangan tentang kegiatan mengaitkan Sukan Olimpik dengan isu politik, Raffaele Pagnozzi berkata:

"Saya berpendapat bahawa Sukan Olimpik mempunyai misi untuk menyebarkan keamanan, persahabatan dan kemajuan serta memaparkan pencapaian sesebuah negara dalam bidang hak asasi manusia. Apabila dunia bersetuju Beijing dijadikan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik ke-29, itu bermakna dunia sudah memberi penilaian yang positif terhadap Beijing dalam bidang-bidang tersebut. China sedang dan akan terus mengalami perubahan. Saya yakin bahawa Sukan Olimpik Beijing akan mendorong perkembangan China dalam pelbagai bidang."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |