v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Pasukan Pendaki China Berazam Membawa Obor Olimpik ke Puncak Gunung Qomolangma
2008-05-07 16:12:15 CRI

Yang saudara dengar tadi ialah sebuah lagu rakyat etnik Tibet yang dinyanyikan beramai-ramai oleh anggota pasukan pendaki China di kem induk kaki Gunung Qomolangma (atau Everest). Merekalah yang akan membawa obor Sukan Olimpik Beijing ke puncak gunung itu. Ketua pasukan itu, Encik Wang Yongfeng, 45 tahun, ialah wira pendaki yang terkenal di China, bahkan di seluruh dunia. Dalam tempoh lebih sedekad lalu, iaitu sejak tahun 1980-an hingga 1990-an, beliau telah berjaya menawan tujuh gunung tertinggi di tujuh benua di bumi ini. Ini menjadikannya orang China pertama yang berjaya mencapai matlamat yang turut menjadi impian semua pendaki gunung itu. Walau bagaimanapun, di mata pendaki gunung, pendakian mereka di gunung tidak akan berakhir sampai bila-bila.

Tahun 2008 merupakan satu tahun yang mempunyai makna yang cukup istimewa bagi setiap orang China. Encik Wang Yongfeng dan para anggota pasukannya juga penuh semangat dalam persediaan membawa obor Sukan Olimpik ke puncak Gunung Qomolangma.

Wang Yongfeng

Encik wang berkata, "Saya merasa bersyukur dapat menyaksikan Sukan Olimpik buat kali pertamanya diadakan di China. Misi membawa obor temasya sukan ini akan mencipta sejarah dan mungkin sukar dicapai lagi pada masa akan datang. Sebagai seorang pendaki, saya berasa sangat bangga dan teruja kerana dapat membuat sumbangan secara peribadi untuk Sukan Olimpik."

Encik Wang memaklumkan bahawa semua anggota pasukan pendaki Qomolangma yang kali ini ditetapkan melalui pemilihan yang ketat. Antara mereka, terdapat dua pertiga yang pernah berjaya menakluki puncak Qomolangma. Pada 11 hari bulan April lalu, pasukan itu telah berjaya membuka laluan ke kem terakhir yang menuju ke puncak gunung itu dan semua kelengkapan dan peralatan mendaki juga sudah awal-awal diangkut ke tempat-tempat yang ditetapkan. Beberapa hari sebelum ekspedisi ke puncak Qomolangma bermula, pihak penganjur pernah mengumumkan bahawa misi itu mungkin dimulakan pada bila-bila masa sahaja apabila cuaca dianggap sesuai.

Ketika menyentuh spekulasi tentang penyertaannya dalam ekspedisi tersebut, Encik Wang menyatakan dengan penuh keyakinan:

"Saya rasa keadaan badan saya cukup baik. Saya sudah siap sedia dan boleh melaksanakan tugas dengan baik pada bila-bila masa. Saya akan sampai ke ketinggian yang diperlukan. Kami pasti akan melaksanakan misi kali ini dengan jayanya dan akan membanggakan rakyat China."

Selain ketua pasukan yang amat berpengalaman ini, para pendaki muda dalam pasukan pendaki Qomolangma ini juga menjadi kekuatan utama yang melaksanakan ekspedisi kali ini.

Tashitsren, pelajar dari Sekolah Mendaki Tibet telah mencipta satu rekod yang luar biasa pada tahun ini dengan membawa tiga tangki oksigen ulang alik di antara ketinggian 6500 meter dan 7790 meter dalam masa lima jam. Untuk pengetahuan para pendengar, untuk melakukan kerja ini, orang biasa akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hari.

"Saya mempunyai pengalaman mendaki gunung selama enam tahun. Ini merupakan satu acara sukan yang sangat saya minati. Saya berasa sangat bangga kerana diberi peluang menyertai pasukan pembawa obor Sukan Olimpik Beijing ke puncak Qomolangma kali ini. Berjuang demi maruah bangsa dan negara merupakan cita-cita terbesar saya.", kata Tashitsren.

Mendaki gunung merupakan sejenis sukan yang boleh disertai oleh sesiapa sahaja tanpa mengira jantina. Antara para anggota pasukan pendaki China yang akan mengiringi api sukan itu ke puncak Qomolangma, hadir dua orang pendaki wanita.

Tsrenwangmo, gadis etnik Tibet, telah memasuki Sekolah Mendaki Tibet pada tahun 2004. Dia yang memang berbakat dalam bidang sukan mendaki berjaya menapakkan kakinya di puncak Qomolangma setelah menerima latihan selama dua tahun sahaja di sekolah itu. Kini, dia mempunyai sasaran yang lebih tinggi. Sebelum ekspedisi dilakukan, wartawan CRI telah mewawancaranya.

"Saya mendaki sampai ke puncak Qomolangma pada tahun 2006. Ketika itu, saya baru berumur 19 tahun dan menjadi anggota yang paling muda dalam pasukan ekspedisi itu. Kini, impian saya untuk menyalakan sendiri obor Sukan Olimpik di puncak gunung tertinggi di dunia itu. Saya akan berasa sangat gembira jika kawan-kawan dan saudara mara saya dapat menyaksikan saat itu."

Kita difahamkan bahawa senarai anggota yang akhirnya dapat mengiringi api temasya sukan itu ke puncak Qomolangma ditetapkan pada saat terakhirnya. Namun, adanya ketua pasukan yang berpengalaman dan para anggota pendaki yang berkemampuan tinggi dan penuh semangat, gabungan ini akan menjayakan aktiviti kali ini.

Encik Wang Yongfeng menyatakan bahawa beliau tidak ingat ini kali keberapa beliau ditanya tentang sebabnya beliau tidak mahu berhenti mendaki gunung. Jawapan beliau tetap sama, iaitu "Kerana ada gunung di sana."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |