v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Hong Kong Siap Sedia Menganjurkan Acara Kuda Lasak Sukan Olimpik 2008
2008-05-16 14:39:10 CRI

Acara kuda lasak Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik 2008 akan diadakan di Hong Kong pada bulan Ogos ini. Inilah kali pertama Hong Kong menganjurkan acara tersebut walaupun sukan itu sudah mempunyai sejarah lebih 100 tahun di metropolitan antarabangsa itu.

Sebagai satu-satunya penganjur acara kuda lasak Sukan Olimpik, Kelab Lumba Kuda Hong Kong dipertanggungjawabkan untuk menyediakan balapan lumba kuda dan kemudahan yang berkaitan dengannya. Dengan pengalaman yang luas dalam bidang sukan ini, perancangan, reka bentuk dan pembinaan projek yang berkenaan yang dilaksanakan oleh Kelab Lumba Kuda Hong Kong ini telah siap pada bulan Julai tahun lalu. Masa yang diambil untuk persediaan acara Sukan Olimpik ini lebih pendek empat tahun daripada rekod lama dalam sejarah temasya sukan itu.

Pegawai Perhubungan Awam Kelab Lumba Kuda Hong Kong, June Teng ketika diwawancara oleh wartawan CRI berkata:

"Kelab ini telah melabur 1.2 bilion dolar Hong Kong untuk membina balapan lumba kuda dan kemudahan-kemudahan sampingan. Balapan utama untuk acara kuda lasak Sukan Olimpik ini dibina di sebelah Balapan Lumba Kuda Sha Tin. Taman di tengah-tengah balapan itu menjadi gelanggang latihan. Kini, kerja pembinaan tempat duduk penonton, pusat media dan pondok-pondok untuk para pengadil sedang dilaksanakan. Selain itu, tiga acara perlumbaan rentas desa akan diadakan di balapan di Bear River, New Territories. Balapan di situ juga sudah siap dibina."

Ketika menyentuh tentang tahap kualiti binaan gelanggang dan kemudahan yang berkaitan untuk acara tersebut, Puan June Teng berkata:

"Saya yakin kualiti gelanggang dan kemudahan untuk acara kuda lasak kali ini pasti mencapai tahap paling tinggi dalam sejarah Sukan Olimpik. Ketika perlumbaan ujian diadakan pada tahun lalu, kami mendapat pujian daripada peserta-peserta dari pelbagai negara. Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogger dan Presiden Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI), Puteri Haya juga mengakui bahawa gelanggang ini dibina oleh pakar yang profesional dalam bidang sukan kuda lasak."

Di tapak pembinaan balapan lumba kuda Sukan Olimpik 2008, wartawan CRI mendapati bahawa balapan untuk acara dressage dan lompat berhalangan serta 12 padang latihan luar telah dibina dengan sejenis pasir yang halus dan lembut. Puan June Teng memberitahu wartawan kami:

"Pasir yang kami gunakan, iaitu pasir yang akan dipijak oleh kuda ini dihasilkan khusus untuk acara kuda lasak Sukan Olimpik. Kira-kira 16 ribu tan metrik pasir telah digunakan, dan beratnya dua kali ganda berbanding dengan berat bahan binaan Menara Eiffel di Paris. Komponen pasir jenis itu terdiri daripada pasir laut dan gentian kain yang kenyal. Campuran dua bahan itu boleh melindungi kaki kuda daripada terseliuh dalam perlumbaan. Selain itu, pembinaan sistem saliran di bawah lapisan pasir juga mengambil kira kemungkinan hujan lebat ketika perlumbaan berlangsung dan ia akan menyalirkan air hujan dengan cepat."

Puan June Teng menerangkan bahawa diameter zarah pasir di bumi ini antara 0.0652 milimeter hingga 2 milimeter. Hanya zarah pasir yang diameternya antara 0.06 milimeter hingga 0.25 milimeter digunakan untuk membina balapan lumba kuda di Hong Kong.

Selain balapan, wartawan kami juga dibawa melawat ke kandang kuda iaitu "rumah" untuk lebih 200 ekor kuda lumba yang akan menyertai perlumbaan Sukan Olimpik pada bulan Ogos ini. Wartawan kami mendapati kandang yang baru siap dibina pada bulan April itu amat selesa. Puan June Teng berkata:

"Kandang kuda yang kami bina ini adalah yang pertama dipasang alat pendingin. Ia seperti "hotel enam bintang". Presiden Jacques Rogger pernah bergurau bahawa beliau pun ingin menginap di kandang kuda yang kami bina ini."

Difahamkan bahawa lebih 200 ekor kuda lumba akan ditempatkan di kandang yang menyediakan perkhidmatan pendingin udara 24 jam itu. Selain itu, kipas siling dipasang di kesemua 225 petak kuda di dalam kandang itu. Dengan adanya kemudahan tersebut, kuda lumba yang dibawa dari seluruh dunia akan hidup dalam suasana yang selesa dengan udara segar dan nyaman ketika Sukan Olimpik berlangsung.

Luasnya setiap ruang petak kuda tersebut ialah 3.6 meter X 3.6 meter, dan petak ini lebih luas daripada standard Sukan Olimpik.

Selain tempat yang selesa, pengangkutan kuda lumba ini dari lapangan terbang ke kandangnya juga didapati diaturkan dengan baik.

"Kelab Lumba Kuda Hong Kong menganjurkan acara perlumbaan peringkat antarabangsa dua kali setahun. Tambahan lagi, kuda lumba kami semuanya diimport dari luar negara. Jadi, kami amat berpengalaman dalam bidang pengangkutan kuda. Selepas kuda lumba tiba di lapangan terbang, kami akan mengatur laluan khas untuk mengangkut kuda ke kandang di balapan Sha Tin. Masa untuk mengurus urusan ketibaan kuda di lapangan terbang dianggar hanya setengah jam. Kenderaan yang mengangkut kuda lumba Sukan Olimpik akan diberikan layanan yang istimewa, iaitu mereka akan diiringi oleh polis tempatan untuk menjamin keselamatan sepanjang perjalanan.

Bagi kebanyakan orang Hong Kong, mereka merasa amat bangga apabila Sukan Olimpik diadakan di tanah air mereka, terutamanya sebagai tuan rumah acara kuda lasak temasya sukan yang terbesar di dunia ini. Ketua Persatuan Sukan dan juga Presiden Jawatankuasa Olimpik Hong Kong, Timothy Fok menyatakan:

"Hong Kong amat bertuah diberikan peluang untuk menganjurkan acara kuda lasak Sukan Olimpik. Kami akan menganjurkan acara itu dengan mempamerkan ciri-ciri istimewa kami. Kami akan berusaha sedaya upaya bagi menjayakan acara sukan yang turut disambut oleh seluruh dunia ini. Kami juga berharap semangat Sukan Olimpik dapat dirasai oleh setiap keluarga dan penduduk Hong Kong."

Setiausaha Hal Ehwal Dalaman Hong Kong, Tsang Tak-shing berkata:

"Saya berharap penduduk Hong Kong berpadu tenaga untuk menjayakan acara kuda lasak kali ini sesuai dengan imej bandar raya ini sebagai salah sebuah bandar raya yang paling moden bukan sahaja di Asia, bahkan di seluruh dunia."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |