v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Persiapan Sukan Paralimpik Beijing Berjalan Lancar
2008-06-11 11:11:35 CRI

Di kolam renang Kompleks Latihan Bersepadu Sukan Orang Kurang Upaya China di Beijing, atlet kurang upaya yang hilang kedua-dua lengan, He Junquan terjun ke dalam air seperti seekor dolphin. Dalam Sukan Paralimpik Athens 2004, He Junquan menyapu bersih empat pingat emas dalam acara renang. Bagi Sukan Paralimpik yang akan diadakan di Beijing kali ini, beliau menetapkan sasaran sendiri yang jelas sejak awal-awal lagi.

"Sasaran saya ialah membaharui rekod terbaik sendiri dalam Sukan Paralimpik 2008." 

Pada 6 hingga 17 September tahun ini, He Junquan dan teman-teman sepasukannya bersama 4000 orang atlet dari lebih 150 negara dan wilayah akan menyertai Sukan Paralimpik Beijing. Untuk menjayakan temasya sukan yang begitu istimewa, menjadikannya sebuah temasya sukan yang bertaraf tinggi, dan menyediakan gelanggang bagi atlet-atlet kurang upaya yang begitu mencintai sukan serta kehidupan mereka, termasuk He Junquan, yang berjuang untuk menjadikan mimpi mereka menjadi kenyataan, pihak penganjur Sukan Paralimpik Beijing sedang melaksanakan kerja persiapan seperti yang dijadualkan.

Naib Presiden Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan Paralimpik Beijing yang juga Presiden Lembaga Eksekutif Persekutuan Orang Kurang Upaya China, Puan Tang Xiaoquan memberitahu wartawan CRI:

"Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing berusaha melaksanakan kerja-kerja persiapan untuk mencapai matlamat "Dua Temasya Olimpik, Persiapan Serentak, Sama Menarik." Pada masa ini, semua stadium yang akan digunakan dalam Sukan Paralimpik Beijing sudah siap dibina dan telah diuji melalui siri pertandingan "Selamat Berjaya Beijing". Pembinaan stadium-stadium tersebut dilaksanakan berdasarkan panduan teknikal pembinaan stadium Sukan Paralimpik yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa dengan mengambil kira piawaian pembinaan kemudahan tanpa halangan negara dan penggunaan pada masa akan datang bagi memenuhi keperluan atlet, penonton dan golongan media."

Inilah kali pertama dalam sejarah Olimpik satu pasukan penganjur melaksanakan dua temasya sukan Olimpik. Oleh itu, acara-acara Sukan Paralimpik akan diadakan di stadium untuk Sukan Olimpik juga. Antaranya, 18 acara akan berlangsung di Beijing dan dua acara yang lain di luar Beijing, iaitu acara kuda lasak di Hong Kong, dan acara perahu layar di Pusat Perahu Layar Antarabangsa di Qingdao.

Memandangkan dua temasya itu dianjurkan secara berturutan, maka semua kemudahan bagi Sukan Olimpik Beijing perlu sedia dan dapat digunakan terus bagi Sukan Paralimpik pula tanpa pengubahsuaian sebaik sahaja berakhirnya Sukan Olimpik. Dalam kunjungan ke Perkampungan Paralimpik Beijing, wartawan CRI telah merasai sendiri kemudahan yang disediakan di perkampungan itu. Wartawan kami mendapati bahawa semua bilik disediakan dengan bilik air tanpa halangan dengan dipasang susur tangan di dinding tepi besen dan mangkuk tandas. Selain itu, untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih bermutu, perkhidmatan menyimpan kerusi roda, dan memperbaiki kerusi roda dan anggota palsu akan disediakan untuk para atlet kurang upaya.

Presiden Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa, Philip Craven membuat penilaian:

"Saya rasa inilah Perkampungan Paralimpik yang terbaik yang pernah saya lawati. Lihat sahaja kualiti pangsapuri ini, saya yakin para atlet akan berasa seperti berada di rumah sendiri. Mereka tentu akan menunjukkan prestasi terbaik dalam pertandingan nanti."

Di kota Beijing, Qingdao dan Hong Kong, kemudahan tanpa halangan juga diperbaiki untuk memudahkan para atlet kurang upaya. Untuk membantu atlet dan pelancong kurang upaya mencapai cita-cita mereka untuk mendaki Tembok Besar dan mengunjungi Kota Larangan di Beijing, kerajaan bandar Beijing telah melaksanakan projek pengubahsuaian terhadap destinasi-destinasi pelancongan tersebut dengan syarat tidak menjejaskan warisan budaya. Projek pengubahsuaian kemudahan tanpa halangan juga telah dilaksanakan di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, Stesen Kereta Api dan terminal-terminal pengangkutan awam yang lain di Beijing.

Dalam tempoh berlangsungnya Sukan Paralimpik Beijing, lebih 2000 buah bas dan 70 buah teksi yang lebih mesra orang kurang upaya akan diperkenalkan.

Sun Wenjin, orang kurang upaya yang tinggal di daerah Dongcheng, Beijing berkata:

"Bagi saya yang tinggal di bandar ini selama 48 tahun, inilah kali pertama saya mengunjungi Kota Larangan. Kemudahan-kemudahan tanpa halangan ini membolehkan kami, golongan kurang upaya, dapat bersama-sama menikmati kemajuan perkembangan masyarakat."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |