Sukarelawan sentiasa memainkan peranan yang penting dalam Sukan Olimpik yang lalu. Mereka menjadi golongan yang turut menjayakan setiap Sukan Olimpik. Slogan Sukan Olimpik Beijing kali ini ialah "Satu Dunia, Satu Impian". Kini, ramai sukarelawan asing yang sedang gigih berusaha untuk menjadikan impian Olimpik mereka kenyataan.
Untuk menjamin mutu perkhidmatan sukarelawan, Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing (BOCOG) telah mengambil beberapa ramai sukarelawan yang bahasa ibunda mereka bahasa Inggeris dari seberang laut sebagai sukarelawan sukan ini.
Sejak awal tahun 2006, jawatankuasa itu mula menghubungi 10 buah universiti di luar negara untuk memilih pelajar mereka sebagai sukarelawan. Pada 18 Februari hingga 9 Mac tahun ini, Bahagian Perkhidmatan Media BOCOG telah menghantar tujuh kumpulan petugas ke 10 buah universiti tersebut untuk mememu duga pelajar-pelajar yang ingin menjadi sukarelawan Sukan Olimpik Beijing. Hasilnya, seramai 300 orang telah dipilih sebagai sukarelawan yang akan berkhidmat untuk media asing di Beijing nanti.
Baru-baru ini, 24 orang pelajar dari Universiti Iowa, A.S. telah tiba di Beijing untuk memulakan tugas mereka sebagai kumpulan pertama sukarelawan asing untuk berkhidmat kepada pihak media sempena Sukan Olimpik Beijing. Mereka datang ke Universiti Tsinghua untuk mengikuti program suai kenal tentang kebudayaan China selama seminggu. Selepas pusat media utama Sukan Olimpik dibuka pada 8 Julai ini, sebahagian daripada mereka akan berkhidmat di pusat media itu untuk para anggota media dari luar negara. Oleh sebab Universiti Iowa terkenal dengan sukan tenis dan gusti, maka sebahagian lagi pelajar itu akan berkhidmat di gelanggang dua acara tersebut ketika Sukan Olimpik berlangsung.
Dalam program suai kenal tentang kebudayaan China ini, para pelajar dari A.S. itu menunjukkan minat yang cukup tinggi terhadap bahasa, budaya, sejarah dan keadaan semasa masyarakat China. Cameron Coker, pelajar kewartawanan universiti itu amat suka akan kaligrafi dan makanan China. Menurutnya, dia tinggal di Tianjin selama enam bulan pada tahun 2006. Dia memohon untuk menjadi sukarelawan Sukan Olimpik Beijing kerana pengalaman manisnya ketika di Tianjin dahulu. Ketika menyebut tentang tugasnya sebagai sukarelawan sempena Sukan Olimpik Beijing, Cameron Coker didapati tahu benar tentang prosedurnya.
"Beberapa orang daripada pasukan kami bertanggungjawab terhadap program untuk media, tetapi kerja saya di tempat acara tenis. Tugas saya adalah menyediakan data pertandingan untuk wartawan dan memasukkan data tersebut ke dalam komputer. Sistem maklumat akan menghantar rekod atlet dan maklumat pertandingan kepada para wartawan yang berada di pusat media sebagai sumber rujukan mereka untuk menulis laporan berkenaan. Kita tahu bahawa Sukan Olimpik merupakan temasya sukan yang terbesar di dunia ini dan menarik ramai atlet dari seluruh dunia. Sukan ini menjadikan tugas wartawan amat berat. Perkhidmatan yang kami berikan adalah untuk memudahkan tugas mereka."
Ini ialah kedatangan Cameron Coker ke China kali kedua. Dia berpendapat, jika ingin benar-benar mengetahui keadaan sesebuah negara asing yang kita sukai, kita hendaklah datang ke negara itu dan bekerja di sana. Pengetahuan daripada buku tentang sesebuah negara itu biasanya jauh sekali daripada mencukupi untuk memahaminya. Dia menyatakan bahawa Sukan Olimpik Beijing mempamerkan satu China yang rakyatnya bersatu hati dan ingin maju. Dia amat teruja kerana penglibatannya dalam temasya sukan ini.
"Dalam lawatan ke China kali ini, saya boleh perasan perubahan besar berlaku di negara ini. Semua orang berganding bahu untuk menjayakan sukan ini. Saya amat teruja kerana dapat menyertai usaha yang murni ini."
Andrew Bassman, juga seorang pelajar dari Universiti Iowa. Dia akan berkhidmat di Pusat Media Utama sebagai sukarelawan. Ketika diwawancara, Andrew Bassman menyatakan dia sangat suka melancong ke sana sini. Banyak tempat di dunia ini amat menarik baginya. Impiannya ialah untuk berada di China dan menyaksikan sendiri Sukan Olimpik, baik sebagai atlet mahupun sukarelawan. Kini, impiannya akan tercapai.
:
"Inilah peluang yang jarang diperolehi. Kita tahu, Sukan Olimpik hanya diadakan empat tahun sekali! Jika kita ingin memahami sesuatu negara, cara yang paling baik adalah dengan pergi ke sana melihat dengan mata kepala kita sendiri. Sukan Olimpik kali ini menyediakan peluang yang terbaik kepada kita. Ia satu pentas yang menarik peserta dari seluruh dunia untuk berkumpul. Para peserta dapat meningkatkan persefahaman antara satu sama lain melalui sukan dalam temasya ini, dan mereka juga boleh mendapat banyak kawan baru."
Daniel Libman ialah sorang peminat sukan. Mahasiswa Universiti Tsinghua yang menemannya sentiasa dihujani pertanyaan mengenai China daripadanya. Di mata Daniel Libman, China adalah tanah suci.
"Saya sangat gembira dapat datang ke China. Ketika kapal terbang yang kami naiki mendarat, saya tak dapat menahan perasaan saya yang teruja dan menyuarakan rasa syukur kerana akhirnya saya sampai juga ke Beijing! Saya sangat gemar akan tugas yang dipertanggungjawabkan ini. Diharap semua orang pulang membawa kenangan yang manis dan pengalaman kerja yang berguna."
Su Jing ialah pelajar tahun dua bagi program sarjana di Pusat Pengajian Kewartawanan dan Komunikasi Universiti Tsinghua. Sebagai petugas yang menemani delegasi dari Universiti Iowa sepanjang tempoh mereka berada di Beijing kali ini, Su Jing menyatakan bahawa semua sukarelawan dari Amerika ini sayang akan China. Kata beliau:
"Saya rasa setiap pelajar dalam delegasi ini ramah dan mesra. Ada beberapa orang antaranya fasih berbahasa Mandarin. Kami tiada masalah komunikasi."
Sukan Olimpik Beijing akan dirasmikan dalam masa tidak sampai sebulan lagi. Sempena temasya sukan itu, para sukarelawan asing baik yang berkulit kuning, hitam atau putih, akan bersama-sama berusaha untuk menjayakannya. Slogan "Satu Dunia, Satu Impian" akan bergema di ruang udara Beijing. Bersama-samalah kita menunggu Sukan Olimpik Beijing, semoga para sukarelawan asing berjaya dalam merealisasikan impian semua manusia ini.
----Puspa
|