v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Perkampungan Olimpik di Beijing akan Menjadi Rumah yang Selesa bagi Atlet dari Seluruh Dunia
2008-07-23 10:49:11 CRI

Menurut perancangan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing, Perkampungan Olimpik di Beijing mampu menyediakan perkhidmatan penginapan yang bermutu tinggi untuk hampir 10 ribu orang atlet dari seluruh dunia ketika temasya sukan itu berlangsung.

Pada 3 hingga 4 Julai ini, seramai lebih 2000 orang penilai telah masuk ke Perkampungan Olimpik untuk menguji tahap kemantapan operasinya pelbagai kemudahan dan perkhidmatan di sana. Dalam raptai penuh yang diadakan, mereka bersama-sama pegawai Perkampungan Olimpik dan para sukarelawan telah mengadakan pemeriksaan dan penilaian terhadap pelbagai kemudahan di perkampungan itu, termasuk perkhidmatan penginapan, keselamatan, makanan, pengangkutan, gim dan aktiviti hiburan yang akan ditawarkan sempena Sukan Olimpik nanti. Wartawan CRI, Lu Yi membuat laporan mengenai raptai tersebut.

Raptai upacara menaikkan bendera kontinjen negara peserta Sukan Olimpik telah diadakan di Perkampungan Olimpik Beijing pada 4 Julai yang lalu. Berdasarkan kelaziman, ketika setiap kontinjen mendaftar masuk ke Perkampungan Olimpik, akan diadakan upacara menaikkan bendera negara kontinjen tersebut.

Perkampungan Olimpik terletak di dalam Taman Olimpik di utara Beijing. Ia dibina di tapak seluas 660 ribu kilometer persegi dan dibahagi kepada tiga kawasan, iaitu kawasan penginapan, kawasan antarabangsa dan kawasan operasi. Dalam tempoh ujian penuh ini, semua bahagian kemudahan dan jabatan pentadbiran di perkampungan itu telah mengadakan ujian operasi untuk melihat kemantapan fungsi masing-masing. Antaranya, kantin telah beroperasi sepenuhnya untuk diuji fungsinya dalam keadaan atlet makan serentak dengan jumlah yang paling ramai. Persembahan kebudayaan juga diadakan di lapangan di perkampungan itu. Di samping itu, kedai cenderamata, bank, pejabat pos, hospital dan tempat sembahyang juga telah dibuka kepada para penilai untuk diuji.

Dalam tempoh ujian selama dua hari itu, kolam renang dan gim telah menjadi tumpuan ramai orang untuk beriadah selepas makan malam. Di pusat hiburan yang tidak jauh dari kolam renang juga dilihat ramai orang berkumpul untuk menikmati pelbagai kemudahan hiburan di sana. Antaranya, permainan bola sepak mini di atas meja merupakan permainan yang paling popular. Pegawai Pusat Hiburan, Encik Song Wei memberitahu wartawan bahawa penempatan kemudahan dan aktiviti hiburan di Perkampungan Olimpik ini dipilih dengan mempertimbangkan keperluan para atlet. Kata beliau,

"Permainan bola sepak di atas meja ini didapati sangat popular dalam operasi percubaan kali ini. Ketika berlangsungnya Sukan Olimpik, para atlet tentunya sangat penat setelah menyertai pertandingan dan latihan. Jadi, permainan yang memerlukan tenaga yang banyak tidaklah sesuai bagi mereka. Untuk menjadikan kehidupan para atlet di sini lebih selesa, kami telah menempatkan permainan yang menggembirakan ini supaya meringankan tekanan pada badan dan mental mereka."

Selain kemudahan hiburan, sejenis perkhidmatan yang julung kali ditawarkan di Perkampungan Olimpik telah menarik perhatian wartawan kami. Di sebuah rumah kecil yang berciri China di kawasan antarabangsa, pelbagai jenis bahan pelajaran bahasa Mandarin dan kemudahan komputer disediakan kepada atlet asing untuk memudahkan mereka belajar bahasa Mandarin ketika tinggal di sini.

Pegawai yang bertanggungjawab terhadap pengajaran bahasa Mandarin di Perkampungan Olimpik Beijing, Puan Sun Shishu menerangkan bahawa guru-guru yang berkhidmat di sini semuanya mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pengajaran bahasa Mandarin. Mereka dipilih oleh Pejabat Majlis Antarabangsa Bahasa China (Hanban). Untuk memudahkan kehidupan atlet asing ketika berada di Beijing, mereka akan ditawar program bahasa Mandarin harian yang paling diperlukan dalam masa yang singkat. Puan Sun Shishu berkata,

"Dengan menimbangkan keperluan para tetamu, kami telah mereka bentuk program pengajaran bahasa yang paling praktikal bagi mereka yang tinggal di sini seperti bagaimana cara berbual di bank, pejabat pos dan ketika memanggil teksi. Kesemua program bahasa yang kami tawarkan berdasarkan keperluan mereka. Daripada program tersebut, terdapat satu bahan yang mengandungi 30 ayat yang paling lazim digunakan dalam kehidupan mereka di Perkampungan Olimpik. 30 ayat itu dijangka mencukupi bagi mereka ketika berkomunikasi dengan orang di sini."

Di kawasan penginapan pula, wartawan mendapati bilik-bilik penginapan di Perkampungan Olimpik ini cukup besar dan menyediakan perkhidmatan serba mudah. Setiap bilik dilengkapi kemudahan yang sederhana seperti meja makan, meja tulis, katil dan lain-lain. Penggunaan bunga dan pokok untuk membantu membersihkan udara di setiap bilik akan menjadikan para tetamu berasa seperti di rumah sendiri. Sebahagian bilik juga telah diubah suai untuk memenuhi keperluan golongan tertentu seperti atlet acara bola keranjang dan atlet kurang upaya. Saiz katil dan jenis perabot di bilik tersebut mesti memenuhi standard khas yang ditetapkan. Kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di Perkampungan Olimpik Beijing diyakini akan dapat memuaskan hati para atlet dari seluruh dunia.

Seramai hampir 10 ribu orang atlet dijangka akan mendaftar masuk ke Perkampungan Olimpik Beijing ini. Hasil uian bersepadu kali ini akan menyediakan cadangan dan rujukan yang berguna bagi operasi perkampungan itu setelah ia dibuka. Pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di Perkampungan Olimpik akan memperbaiki tahap perkhidmatan mereka setelah menimba pengalaman dalam operasi percubaan ini.

"Kami sungguh gembira melayan tetamu dari jauh. Sekali lagi kami ucapkan selamat datang ke Perkampungan Olimpik Beijing. Semoga semua atlet pulang dengan membawa pengalaman yang tidak dapat dilupakan di sini dan berjaya dalam Sukan Olimpik Beijing nanti."

Sebagaimana yang dikatakan dalam ucapan bekas jaguh terkenal dalam sukan pingpong, Puan Deng Yaping, Perkampungan Olimpik Beijing akan melayan mesra setiap atlet asing dan menjadi rumah yang selesa bagi mereka.

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |