v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

John Ian Wing yang Cadangkan IOC Ubah Upacara Penutup Sukan Olimpik
2008-07-23 15:54:43 CRI

John Ian Wing, seorang warga Britain keturunan Cina, pernah menulis sepucuk surat kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ketika berumur 17 tahun. Tindakannya telah memastikan Sukan Olimpik Melbourne Tahun 1956 selesai dengan jayanya tanpa gangguan politik. John mengenang kembali pengalaman itu: "Pada masa itu, saya menetap di Melbourne, Australia dan merasa sangat gembira kerana temasya sukan dunia itu dilaksanakan di kampung saya. Namun, kerana isu Kesatuan Soviet pada masa itu, banyak negara memulaukan sukan tersebut, bahkan menyuruh atletnya jangan bergaul dengan atlet-atlet dari negara lain di perkampungan Olimpik. Memandangkan keadaan ini, saya menulis surat kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Melbourne mencadangkan sesuatu."

Sukan Olimpik Melbourne 1956 merupakan Sukan Olimpik pertama yang terkena bahana dipulaukan. Belanda, Sepanyol dan Switzerland tidak mengambil bahagian kerana membantah tindakan Kesatuan Soviet menindas orang Hungary. Kemboja, Mesir dan Lubnan pula memulaukan Olimpik 1956 itu kerana krisis Terusan Suez.

Pegawai dari IOC dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Melbourne menyedari masalah itu dan bimbang tentang pelaksanaan temasya sukan itu. John Ian Wing memerhatikan dengan teliti segala yang berlaku dalam temasya sukan itu. Beberapa hari sebelum berlangsungnya upacara penutup, beliau terfikir untuk menulis sepucuk surat kepada Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Melbourne, Wifrid Kent Hughes. Dalam suratnya, dia meminta pihak penganjur supaya mengubah corak pada persembahan upacara penutup Sukan Olimpik. Beliau mencadangkan, semua atlet dari negara-negara di dunia perlu berbaris bersama pada upacara penutup tanpa menghiraukan warna kulit dan kerakyatan mereka. Dalam surat itu beliau menulis: "Dalam upacara itu kita disatukan menjadi sebuah keluarga besar. Perang, politik dan kerakyatan kurang penting ketika itu. Kalau seluruh dunia bersatu padu sebagai satu negara, apa lagi anda mahu?"

Cadangan tersebut segera diterima oleh IOC. Kata beliau: "Pada masa itu, IOC dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Melbourne ingin mencari saluran untuk menyelesaikan masalah tersebut. Justeru itu, surat yang saya tulis itu mereka dapati sebagai satu cara penyelesaian bagi mereka. Saya menulis surat tersebut pada hari Khamis, dan upacara penutup jatuh dua hari kemudian. Mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membicarakan cadangan saya. Jadi, IOC terus melaksanakannya."

Sebelum ini, upacara penutup Sukan Olimpik sama dengan upacara pembukaannya, iaitu para atlet berbaris menurut kontinjen negara peserta masing-masing. Namun dalam upacara penutup Sukan Olimpik tahun 1956 itu, semua atlet masuk lapangan dengan berpegang tangan tanpa menghiraukan kerakyatan masing-masing. Babak mesra itu bukan sahaja merapatkan hubungan atlet pelbagai negara, tetapi juga mengharukan penonton.

John Ian Wing dilahirkan di Australia pada tahun 1939. Pada tahun 1969, beliau berkunjung ke Britain untuk bekerja. Kini, beliau sudah bersara dan menetap di London. Dalam hatinya, beliau menyimpan satu impian agar Sukan Olimpik sebagai temasya sukan terbesar di dunia dapat menjadi sebagai lambang keamanan, persahabatan dan penyatuan seluruh dunia. Beliau menyatakan: "Saya berharap tema Sukan Olimpik Beijing 'Satu Dunia, Satu Impian'dapat menjadi kenyataan. Dalam upacara pembukaan temasya sukan itu, para atlet mewakili negara masing-masing dan menyertai pertandingan dalam suasana yang mesra dan harmoni. Ini menunjukkan semangat Olimpik. Dalam upacara penutup pula, mereka menjadi satu keluarga besar. Itulah Sukan Olimpik, tanpa mempedulikan unsur-unsur politik, semata-mata tertumpu pada acara pertandingan."

Beliau juga memberi pandangan terhadap Sukan Olimpik Beijing yang akan dirasmikan tidak lama lagi. Menurutnya: "Saya mendapati bahawa sebilangan orang Barat dan badan media mulai mengubah prasangka dan pandangan mereka terhadap China yang ditimpa bencana gempa bumi. Mereka tidak lagi sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata yang keji untuk memburukkan kerajaan China dan Sukan Olimpik Beijing. Saya rasa, mereka tahu bagaimana menghormati rakyat China."

Sekarang John amat suka bergaul dengan generasi muda. Beliau yang pernah memberi sumbangan kepada usaha Olimpik ketika dalam lingkungan usia remaja, meletakkan harapan tinggi kepada generasi muda supaya menyumbangkan tenaga terhadap pembangunan masyarakat.

"Orang muda mempunyai banyak pandangan yang tersendiri. Mereka sepatutnya optimis, tidak merungut tentang realiti hidup, sebaliknya mencurahkan sepenuh tenaga dalam mencari saluran penyelesaian masalah. Tugas utama belia China sekarang ialah memperkenalkan kebudayaan China dan kehidupan rakyat China kepada dunia."

John juga meluahkan harapannya agar dapat menyaksikan Sukan Olimpik di Beijing, dan yakin temasya sukan terbesar dunia itu pasti akan menjadi temasya yang bersifat aman dan bersahabat bagi umat manusia.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |