v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Ma Jin, Jurulatih China yang Bertugas Membimbing Pasukan Junam Mexico
2008-07-16 16:21:19 CRI

Sekarang tinggal 24 hari sahaja lagi sebelum Sukan Olimpik Beijing dirasmikan. Atlet-atlet yang akan beraksi mewakili negara masing-masing sudah bersiap sedia. Pasukan junam negara Mexico juga tidak ketinggalan. Mereka sibuk bersiap-siap untuk temasya sukan terbesar di dunia itu. Baru-baru ini, pasukan itu mengadakan satu pertunjukan terbuka di Kota Mexico, dan telah menarik perhatian ramai. Jurulatihnya dari China, Ma Jin menjadi tumpuan pihak media. Jadi, dalam program hari ini, saya akan memperkenalkan kepada saudara saudari Ma Jin yang dianggap sebagai ibu oleh atlet-atlet terjun junam Mexico ini.

Ma Jin seorang yang bersifat mesra dan terbuka semasa berbicara dengan pakaian riadah dan senyuman yang manis membuat pemberita kami mempunyai tanggapan bahawa wanita ini seorang yang hebat.

Lima tahun lalu, Ma Jin salah seorang daripada delegasi jurulatih China yang dihantar ke Mexico untuk membantu usaha sukan negara itu. Beliau dalam lingkungan umur 30 tahun, meninggalkan tanah air untuk mengembangkan kerjayanya di negara yang agak jauh itu. Ketika mula-mula tiba di Mexico, beliau menghadapi banyak kesulitan, seperti halangan bahasa dan kemudahan latihan yang buruk, malah diketepikan oleh jurulatih Mexico yang lain. Beliau menganggap itu sebagai dugaan yang mesti dilaluinya. Berkat ketabahan dan kesabarannya, beliau berjaya mengatasi kesemua masalah tersebut. Katanya: "Pada mulanya, perhubungan saya dengan atlet Mexico tidak begitu mesra, kerana sifat mereka tidak seperti atlet China yang menurut kata dan mematuhi bimbingan jurulatih. Jadi, saya terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk memikirkan cara bagaimana memperoleh sokongan dari pihak Mexico dan menjaga hubungan yang baik dengan para atlet."

Menjalin hubungan yang erat dengan atlet merupakan suatu bebanan bagi Ma Jin. Walau bagaimanapun, beliau tidak membiarkan masalah itu terlalu menekannya. Pertamanya, Ma Jin perlu mencari di kalangan atlet itu yang boleh diberi tumpuan. Beliau menaruh perhatian kepada atlet Rommel Pacheco yang dianggap berbakat dalam bidang junam dan rajin pula menjalani latihan. Kalau dia dapat membentuk Rommel mencapai hasil yang memuaskan, atlet-atlet junam yang lain pastilah akan membuka mata dan bersedia mengikut kata-kata jurulatih dari China itu. Di bawah bimbingan Ma, Rommel menunjukkan kemajuan yang besar. Dia meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform Sukan Universiti Dunia pada tahun 2005. Kejayaan itu menjadikan Rommel semakin terkenal, bahkan diberi penghargaan oleh kerajaan Mexico. Dengan demikian, Ma Jin mula dipandang tinggi dan beransur-ansur mendapat pengiktirafan ramai.

"Saya rasa, yang paling penting ialah membuatkan atlet-atlet yang dibimbing percaya pada saya. Saya perlu menyampaikan ilmu dan teknik terjunan sendiri kepada mereka dan memastikan mereka mengikut segala tunjuk ajar saya. Kalau mereka yang menggunakan teknik yang saya ajar mencapai hasil yang memuaskan, sudah pasti kedudukan dan pandangan mereka terhadap saya akan meningkat."

Hasil yang dicapai oleh Rommel memang menjadi perangsang kepada atlet-atlet junam yang lain. Mereka giat menyertai latihan dalam memperhalusi teknik terjun junam. Ini semacam "kesan Domino". Seperti atlet Paola Espinosa. Beliau juga mengubah sikap acuh tak acuh terhadap jurulatih Ma dan mengikut kata setiap tunjuk ajar mulai tahun 2003. Disebabkan patuh melaksanakan rancangan latihan yang ditetapkan oleh Ma Jin, dia mencapai hasil yang memberangsangkan. Pada tahun 2007, Espinosa menggondol johan acara 10 meter platform wanita dalam Sukan Pan-Amerika. Kemudian, tiga buah pingat emas, sebuah pingat perak dan sebuah pingat gangsa berada dalam genggamannya dalam Sukan Universiti Bangkok. Kejayaan itu menjadikannya "puteri junam" yang dikenali ramai di seluruh Mexico.

Ma Jin secara berterus-terang memberi pandangan terhadap perbezaan antara atlet China dengan Mexico. Disebabkan bentuk badan atlet China lebih langsing, maka mereka mempunyai keunggulan dalam bidang junam. Tetapi, kelebihan atlet Mexico dalam tenaga fizikal. Pendek kata, atlet kedua-dua negara itu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dalam bidang tersebut.

Menyentuh tentang Sukan Olimpik Beijing yang akan dirasmikan tidak lama lagi, Ma Jin meluahkan harapannya agar atlet-atlet yang dilatihnya dapat menunjukkan kebolehan mereka selaras dengan tahap latihan yang biasa dijalani. Walaupun Espinosa mempunyai potensi untuk meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform wanita, namun beliau tetap berpendapat bahawa atlet China, Chen Ruolin dan Wang Xin lebih berupaya untuk menggondol kejuaraan pertandingan terjun junam. Menurutnya, beliau tetap seorang warga China.

"Saya tidak pernah menganggap atlet-atlet yang saya didik mampu mengalahkan atlet China. Tetapi kerana saya bertugas di Mexico, melatih mereka, sudah tentulah saya perlu laksanakan tanggungjawab yang dipikulkan pada bahu saya dan menjamin mereka mencapai hasil yang memuaskan dalam pertandingan bertaraf paling tinggi di dunia itu."

Menurutnya, beliau berharap dan yakin atlet China akan mencapai hasil yang besar dalam Sukan Olimpik Beijing nanti.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |