v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Marco Torres: "Saya Pembawa Obor Sukan Olimpik Beijing."
2008-07-30 15:51:45 CRI

Beliau merupakan seorang warga Filipina yang pertama terlibat dalam aktiviti larian obor Sukan Olimpik Beijing. Ini bukan sahaja menjadi impiannya, tetapi juga harapan keluarganya. Ibu dan kakaknya masing-masing berlepas dari A.S. dan Filipina ke China untuk menyaksikan detik yang bersejarah bagi pembawa obor itu. Peluang yang diperolehnya bukan sahaja membanggakan anggota keluarganya, malah menyalakan api keghairahan rakyat Fipilina terhadap Olimpik. Jadi, dalam program hari ini, saya akan menceritakan kisah Marco Torres, pembawa obor Sukan Olimpik Beijing ini kepada anda sekalian.

Marco Torres, 38 tahun, yang sudah dua tahun menetap di Beijing, menyaksikan pembangunan melanda bandar itu. Seperti juga dengan warga asing lain yang menetap di China, beliau amat meminati budaya tradisional Beijing dan suka berjalan-jalan di lorong atau "Hutong" yang terkenal di Beijing. Perubahan yang berlaku di bandar yang agak lama itu memang mengagumkannya. Beliau menyatakan: "Saya sudah dua tahun menetap di Beijing. Kehidupan di sini merupakan pengalaman yang sangat seronok bagi saya. Setiap hari saya menyaksikan perubahan yang berlaku di bandar ini. Banyak bangunan baru dibina dan sistem landasan kereta api bawah tanah semakin disempurnakan. Dalam tempoh 2 tahun, semua stadium dan gelanggang Sukan Olimpik siap dibina, jalan-jalan raya diperbaiki serta restoran dan hotel dihias diberi wajah baru. Beijing sudah siap sedia untuk menyambut kedatangan tetamu dari dalam dan luar negara."

Ketika memperkatakan tentang sebab-sebab beliau datang ke Beijing dua tahun yang lalu, Torres menjelaskan: "Saya seorang peminat Sukan Olimpik. Ketika saya merancang untuk berhijrah ke negara luar, Beijing merupakan pilihan yang pertama, kerana di sanalah akan berlangsung Sukan Olimpik Ke-29. Temasya sukan terbesar dunia itu jarang diadakan di negara-negara Asia, selain Tokyo tahun 1964 dan Seoul tahun 1988. Jadi, saya tidak mahu melepaskan peluang ini."

Torres amat menyukai Beijing, kerana bandar ini mempunyai sejarah lama yang unik dan budaya yang cemerlang. Namun, yang memberangsangkannya ialah suasana sambutan Sukan Olimpik yang semakin meriah. Pada bulan September tahun lalu, Syarikat Lenovo China dan Akhbar China Daily menganjurkan satu aktiviti untuk memilih 8 warga asing sebagai pembawa obor Sukan Olimpik Beijing. Torres berjaya melayakkan diri sebagai pembawa setelah berusaha gigih. Menurut beliau, impiannya menjadi kenyataan ekoran sokongan kukuh yang diberi oleh peminat sukan.

"Saya mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada kawan-kawan China yang memberi sokongan kepada saya. Saya rasa, mungkin keikhlasan dan kecintaan saya terhadap China mengharukan mereka. Oleh itu, impian saya untuk terpilih menjadi kenyataan."

7 Julai merupakan hari yang bersejarah bagi Torres. Beliau menyertai larian obor Sukan Olimpik di Lanzhou, ibu kota Provinsi Gansu. Ibu dan kakaknya juga menyaksikan saat-saat yang cukup bererti itu. Ketika mengenang kembali pengalaman indah itu, beliau masih lagi terharu: "Pengalaman itu merupakan masa yang paling gembira dalam hidup saya. Ketika saya tiba di Lanzhou, bandar itu dipenuhi suasana yang meriah. Di merata-rata tempat kelihatan bendera kebangsaan China dan sepanduk serta penduduk yang memakai kemeja-T dengan tulisan 'menyokong Sukan Olimpik'. Suasana itu telah mengharukan saya."

Menurutnya, menjadi pembawa obor temasya sukan terbesar dunia itu bukan sahaja membanggakan dirinya, tetapi juga merupakan cita-cita rakyat Filipina.

"Filipina buat kali pertama terlibat dalam aktiviti larian obor Olimpik pada tahun 1964. Selepas itu, tiada pembawa dari negara saya terpilih. Jadi, saya amat menghargai peluang ini."

Selepas aktiviti larian obor selesai, Torres kembali ke tanah airnya. Beliau menjadi tumpuan perhatian pihak media, dan kerap kali menceritakan pengalamannya sebagai pembawa obor kepada orang awam.

"Sudah tentulah, Sukan Olimpik Beijing akan dilaksanakan dengan jayanya, kerana saya mengalami proses persiapan temasya sukan terbesar dunia ini dalam tempoh dua tahun. Kini, sudah siap stadium dan gelanggang yang megah, kemudahan infrastruktur yang sempurna, jalan-jalan raya yang bersih dan sistem kereta api bawah tanah yang mudah. Segala-galanya di Beijing sudah siap sedia. Ramai yang menawarkan diri menjadi sukarelawan untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti tinggi kepada tetamu asing semasa Sukan Olimpik."

Kini, Torres sudah dikenali ramai. Menurut beliau, sebagai pembawa obor dan penduduk Beijing, beliau bertanggungjawab untuk memperkenalkan Sukan Olimpik Beijing kepada rakyat Filipina. Katanya: "Saya mengalu-alukan anda sekalian datang ke Beijing semasa pelaksanaan Sukan Olimpik untuk menghayati kemajuan dan kemakmuran bandar ini serta semangat Olimpik. Ketika itu, ada pelbagai aktiviti yang akan diadakan di sini. Anda pun boleh berkunjung ke Taman Sukan Olimpik untuk menyaksikan teknologi tinggi yang digunakan untuk temasya sukan ini. Kini, indahnya Beijing! Anda pasti akan mengalami kemeriahan Sukan Olimpik yang cukup menakjubkan di sini. "

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |