v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Hu Jintao Berikan Jamuan Besar-Besaran Meraikan Tetamu Kehormat ke Sukan Olimpik
2008-08-08 15:15:44 CRI

Presiden China, Hu Jintao dan isterinya menjadi tuan rumah di majlis jamuan besar-besaran di Beijing tengah hari tadi untuk menyambut kedatangan tetamu kehormat yang akan menghadiri majlis perasmian Sukan Olimpik ke-29 pada malam ini. Hu Jintao dalam ucapannya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak atas sokongan mereka terhadap kerja persiapan bagi permohonan dan penganjuran Sukan Olimpik Beijing. Beliau berharap melalui temasya sukan ini, semangat Olimpik iaitu bersatu, bersahabat dan harmoni dapat disemarakkan, dan persefahaman serta persahabatan antara rakyat pelbagai negara dapat dipertingkat.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge, dan lebih 100 orang ketua negara dan pemimpin kerajaan, termasuk George W. Bush dan Vladimir Putin, serta anggota-anggota keluarga diraja dari Malaysia, Thailand, Britain dan Sepanyol turut menghadiri majlis jamuan tersebut.

Dalam alu-aluannya, Hu Jintao mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak atas sokongan mereka terhadap China dalam penganjuran Sukan Olimpik ini. Kata Beliau,

"Dalam proses memohon untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik serta proses membuat persiapan, kerajaan dan rakyat China telah mendapat bantuan yang ikhlas daripada kerajaan dan rakyat pelbagai negara, dan juga mendapat sokongan padu daripada IOC dan anggota pertubuhan itu. Di sini, saya dengan tulus ikhlas menyampaikan ucapan ribuan terima kasih kepada semua mereka yang telah memberikan sumbangan kepada temasya sukan ini."

Hu Jintao menyatakan bahawa Sukan Olimpik bukan sahaja merupakan satu temasya pertandingan, malah merupakan satu platform bagi pertukaran kebudayaan. Temasya sukan yang terbesar di dunia ini membolehkan orang ramai daripada kerakyatan, kepercayaan agama dan latar belakang budaya yang berbeza-beza berkumpul bersama untuk menghayati kegembiraan yang dibawa olehnya. Ini dapat meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara rakyat pelbagai negara di dunia. Menurut beliau, dunia ini sedang menghadapi peluang pembangunan yang baik, namun tetap menghadapi cabaran yang besar. Dunia ini lebih memerlukan persefahaman, toleransi dan kerjasama. Jadi, Sukan Olimpik Beijing bukan sahaja menguntungkan China, malah menguntungkan seluruh dunia. Kata beliau,

"Dengan melibatkan diri dalam Sukan Olimpik, kami perlu berusaha untuk menyemarakkan semangat Olimpik, iaitu bersatu, bersahabat dan harmoni, meningkatkan komunikasi, persefahaman dan persahabatan antara rakyat pelbagai negara, sekali gus mendorong pembangunan dunia secara harmoni dengan keamanan yang berkekalan dan kemakmuran bersama."

Beliau menekankan bahawa sejak China berjaya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, kerajaan dan rakyat China telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan janjinya kepada masyarakat antarabangsa, dan dengan giat melaksanakan konsep "Sukan Olimpik Hijau, Sukan Olimpik Berteknologi Tinggi dan Sukan Olimpik Kemanusiaan". Kerja-kerja persiapan yang berkaitan dengan sukan tersebut juga mendapat penilaian yang tinggi daripada pemimpin beberapa buah negara. Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva ketika menemui Hu Jintao semalam menyatakan,

"Saya yakin, Sukan Olimpik Beijing akan mencapai kejayaan yang paling cemerlang dalam sejarah Olimpik. Kejayaan China ini juga menggalakkan Brazil untuk memohon bagi menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2016."

Presiden Laos, Choummaly Sayasone dalam pertemuan itu berkata,

"Saya berasa amat gembira dan bertuah kerana berpeluang untuk menghadiri Sukan Olimpik Beijing. Ini merupakan satu temasya yang disambut oleh rakyat seluruh dunia.

Akhir sekali, Hu Jintao menyatakan bahawa dengan usaha bersama pelbagai pihak, Sukan Olimpik Beijing pasti akan dapat dijayakan sebagai temasya yang istimewa dan bertaraf tinggi.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |