v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

China Akan Memberikan Perkhidmatan Berkualiti Tinggi Kepada Para Pelancong dari Dalam dan Luar Negara
2008-08-05 11:07:36 CRI

Dengan kedatangan Sukan Olimpik ke Beijing, perkhidmatan pelancongan di China telah menarik perhatian ramai. Sektor pelancongan China telah meningkatkan kualiti perkhidmatan secara menyeluruh untuk menjamin keselesaan para pelancong yang datang ke China ketika Sukan Olimpik berlangsung. Demikian dinyatakan oleh Naib Ketua Jabatan Pentadbiran Pelancongan Negara China, Du Jiang dalam sidang akhbar yang diadakan di Pusat Media Antarabangsa Beijing hari ini.

Jabatan Pelancongan Beijing, menjangka 400 ribu hingga 500 ribu orang pelancong akan datang ke Beijing sepanjang tempoh Sukan Olimpik. Sementara itu, seramai 6 hingga 7 juta orang termasuk tetamu kehormat dari pelbagai negara, anggota media, atlet dan penonton dari dalam dan luar negara akan menyertai atau menyaksikan temasya sukan ini di Beijing. Du Jiang berkata,

"Sektor pelancongan seluruh negara khususnya di enam buah bandar tuan rumah bersama Sukan Olimpik telah melaksanakan rancangan peningkatan kualiti perkhidmatan secara meluas untuk menjamin keselesaan para pelancong yang datang ke China sempena Sukan Olimpik."

Menurut Du Jiang, antara langkah tersebut ialah menjalankan pemeriksaan dan pengawasan terhadap tempat penginapan, ejen pelancongan, destinasi peranginan dan kelayakan pemandu pelancong; meningkatkan kawal selia terhadap pasaran pelancongan; mengetatkan piawaian kawalan terhadap hotel, dan kemudahan di destinasi pelancongan; menyempurnakan sistem produk dan perkhidmatan pelancongan dan memastikan keperluan terhadap layanan bagi Sukan Olimpik.

Jumlah hotel berbintang di bandar Beijing telah bertambah kepada 806 buah pada penghujung tahun 2007 berbanding 506 buah pada tahun 2001. Untuk mengatasi kekurangan tukang masak makanan barat di Beijing, Jabatan Pentadbiran Pelancongan Negara telah membawa 30 orang tukang masak makanan barat dari tempat lain di seluruh negara ke Beijing untuk bertugas di sini.

Keselamatan sepanjang tempoh Sukan Olimpik Beijing juga merupakan tumpuan utama pelbagai pihak. Du Jiang menyatakan bahawa mengadakan Sukan Olimpik secara aman dan selamat di Beijing adalah janji China kepada masyarakat antarabangsa. Jabatan pelancongan pelbagai peringkat China telah mengambil langkah yang berkesan untuk menjamin keselamatan pelancong sepanjang temasya sukan ini. Du Jiang berkata,

"Jabatan pelancongan di bandar-bandar tuan rumah bersama Sukan Olimpik kali ini akan melaksanakan peraturan pegawai bertugas 24 jam sehari dan melantik petugas khas untuk menangani peristiwa kecemasan dalam memberikan perkhidmatan dan menjaga keselamatan pelancong sempena Sukan Olimpik. Selain itu, mekanisme menangani aduan dengan segera juga dibentuk untuk menjamin supaya masalah pelancong diselesaikan dengan secepat mungkin. Talian aduan kecemasan juga diumumkan di bandar-bandar. Ejen-ejen pelancongan pula akan meningkatkan kawalan keselamatan terhadap rombongan penting untuk mengelakkan peristiwa kemalangan."

Ketika menyentuh perkhidmatan pelancongan di Wilayah Autonomi Tibet, Du Jiang menyatakan bahawa peristiwa rusuhan 14 Mac telah memberikan kesan negatif kepada sektor pelancongan ke Tibet. Menurut statistik Jabatan Pelancongan Tibet, jumlah pelancong di Tibet pada bulan Jun tahun ini hanya mencatat angka 96 ribu orang, dan meningkat menjadi 350 ribu orang pada bulan Julai ini. Sektor pelancongan di Tibet sedang kembali pulih dengan pesat.

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |