v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Atlet Pelbagai Negara Giat Membuat Persiapan Terakhir untuk Sukan Olimpik Beijing
2008-08-04 12:03:22 CRI

Pada 25 Julai lalu, iaitu dua minggu lagi menjelang perasmian Sukan Olimpik Beijing, Kontinjen Sukan Negara China ditubuhkan di Beijing. Jumlah atlet China ke Sukan Olimpik kali ini paling ramai, dan acara yang disertainya juga paling banyak dalam sejarah China menyertai temasya sukan ini. Naib Ketua Kontinjen China, Duan Shijie berkata:

"Kontinjen Sukan Negara China terdiri daripada 1099 orang termasuk jurulatih dan pegawai.. Para atlet China akan mengambil bahagian dalam kesemua 28 acara Olimpik kali ini. Antara mereka termasuklah penerjun wanita, Guo Jingjing, penembak lelaki, Tan Zongliang dan atlet wanita bola keranjang, Li Nan yang telah tiga kali mewakili China dalam Sukan Olimpik, iaitu di Atlanta, Sydney dan Athens. Manakala 469 lagi orang atlet lagi menyertai Sukan Olimpik ini buat julung kalinya."

Kontinjen China mengambil sikap merendah diri dalam meletakkan sasaran pingat dan tangga pingat yang akan dipungut kelak. Meskipun demikian, China diramal akan merangkul pingat emas dalam acara terjun, angkat berat, menembak, gimnastik dan pingpong. Memandangkan kehebatan tuan rumah kali ini, kontinjen Olimpik di negara-negara lain turut sibuk membuat persiapan terakhir.

Sebagai salah satu acara Olimpik, badminton merupakan sukan yang paling digemari di Asia. Dalam pertandingan badminton Sukan Olimpik kali ini, banyak kontinjen negara Asia Tenggara yang akan menghantar pasukannya, termasuklah Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam untuk merebut pingat dalam acara ini,. Antara negara-negara ini, Indonesia, Malaysia dan Thailand diramal mempunyai harapan untuk meraih pingat.

Badminton memang merupakan sukan yang paling popular di Indonesia. Kontinjen Sukan Negara Indonesia akan menghantar 11 orang pemain badminton untuk mengambil bahagian dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran. Antara mereka, Taufik Hidayat, iaitu juara bertahan acara perseorangan lelaki Sukan Olimpik Athens menjadi harapan utama rakyat Indonesia.

Walaupun Taufik Hidayat kini hanya pemain nombor tujuh dunia dan gagal memenangi sebarang kejohanan antarabangsa dalam masa lebih setahun yang lalu, tetapi beliau tetap dianggap pemain yang berpotensi untuk meraih pingat emas dalam acara ini kerana pengalamannya yang luas dalam acara sukan antarabangsa. Beliau selalu mempamerkan prestasi yang terbaik dalam kejohanan antarabangsa seperti Sukan Olimpik. Taufik Hidayat juga kerap kali menyatakan harapannya untuk mempertahankan gelaran juara Olimpik.

Selain Taufik Hidayat, pemain perseorangan lelaki Indonesia, Soni Dwi Kuncoro, pemain nombor lima dunia juga sangat hebat. Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens ini menunjukkan prestasi yang semakin baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Beliau berjaya menewaskan jaguh nombor satu negara Malaysia, Lee Chong Wei dalam Kejohanan Dunia tahun lalu dan meraih gelaran juara dalam Kejohanan Terbuka Indonesia tahun ini dengan mengalahkan jaguh badminton China, Bao Chunlai.

Selain daripada itu, beregu lelaki Indonesia Markis Kido dan Hendra Setiawan, beregu campuran Nova Widianto dan Lilyana Natsir kini masing-masing merupakan beregu nombor satu di dunia. Mereka juga dianggap sebagai beregu yang paling berpotensi memenangi pingat emas dalam kedua-dua acara tersebut.

Lee Chong Wei (kiri)

Di Malaysia, 9 orang pemain badminton akan mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Beijing. Antaranya, pemain perseorangan lelaki, nombor dua dunia, Lee Chong Wei dilihat sebagai harapan terbaik untuk memenangi pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik. Rakyat Malaysia juga meletakkan harapan yang tinggi kepada teman wanita Lee Chong Wei, juara acara perseorangan wanita Terbuka China, Wong Mew Choo untuk membawa pulang pingat dari Beijing.

Dua beregu lelaki utama Malaysia, iaitu Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah serta Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong juga dalam senarai kontinjen negara ke Beijing. Mereka juga diberi harapan yang besar untuk meraih pingat emas sulung bagi negara itu dalam Sukan Olimpik ini. Antara mereka ini, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong ialah juara Sukan Asia Doha.

Demi mencapai sasaran pingat emas pertama negaranya dalam Sukan Olimpik, Malaysia menjanjikan ganjaran yang tinggi kepada atlet yang menyumbangkan pingat dalam Sukan Olimpik Beijing.

Bagi Kontinjen Sukan Negara Thailand pula, terdapat empat orang pemainnya yang akan bersaing dalam gelanggang badminton Sukan Olimpik Beijing. Antaranya, yang diberi harapan terbesar ialah pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Boonsak Ponsana. Prestasinya dalam beberapa tahun ini amat stabil. Beliau berjaya mara ke peringkat separuh akhir dalam Sukan Olimpik Athens, menjadi Johan Singapore Super 2007 dan Naib Johan dalam Kejohanan Terbuka Thailand tahun ini.

Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (USOC) baru-baru ini mengeluarkan senarai Kontinjen Sukan Negara ke Sukan Olimpik Beijing.

Bintang renang Michael Phelps pula bercita-cita untuk menyapu lapan pingat emas dalam Sukan Olimpik Beijing bagi mencipta sejarah dalam temasya sukan ini. Jika beliau berjaya mencapai sasaran tersebut, rekod Mark Spitz yang memenangi tujuh pingat emas dalam Sukan Olimpik 1972 di Munich akan dibaharui.

Ketua Kontinjen Sukan Negara A.S., Charles Lee berkata:

"Semua pasukan dalam kontinjen ini sedang menjalani latihan menurut jadual. Stadium latihan mereka di Beijing ialah Gimnasium Universiti Normal Beijing. Saya sudah melawat ke gimnasium itu pada bulan Jun lalu, dan ia hampir siap ketika lawatan tersebut kami lakukan. Kemudahan di gimnasium itu sangat memuaskan."

Jerman akan menghantar 440 orang atlet ke Sukan Olimpik kali ini. Jumlah itu adalah yang paling ramai antara negara-negara Eropah Barat yang akan ke Sukan Olimpik Beijing. Para atlet Jerman diyakin mampu bersaing untuk merebut pingat dalam acara kayak, dayung perahu, bola sepak wanita, olahraga, gimnastik, judo dan pingpong.

Pada tahun 2004, atlet judo Jerman, Annett Böhm yang julung kali menyertai Sukan Olimpik di Athens telah memenangi pingat gangsa bagi kategori wanita 70 kg. Tahun ini, beliau berharap dapat meraih pingat lagi di Beijing. Kata beliau:

"Pada fasa terakhir ini, kami semua menumpukan perhatian kepada sukan. Bagi saya, sukan dan politik merupakan dua perkara yang tiada kaitan. Saya yakin Sukan Olimpik Beijing akan diadakan dalam suasana yang aman dan mesra."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |