v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Singapura Mengidam untuk Memenangi Pingat dalam Sukan Olimpik Beijing
2008-08-06 11:59:36 CRI

Sekarang hanya tinggal tidak sampai sebulan menjelang perasmian Sukan Olimpik Beijing. Kontinjen negara Singapura juga sedang membuat persiapan terakhir untuk ke Beijing pada bulan Ogos ini. Untuk sekian kalinya, mereka bercita-cita membawa pulang pingat dari Sukan Olimpik. Waratwan CRI Roo Ching ke Singapura telah membuat laporan seterusnya.

Majlis penyerahan bendera kontinjen negara Singapura ke Sukan Olimpik Beijing telah diadakan pada 10 Julai. Menteri Pertahanan merangkap Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura, Teo Chee Hean berucap dalam upacara itu,

"Atlet Singapura mempamerkan prestasi yang memberangsangkan dalam kejohanan sukan antarabangsa dalam tempoh 10 tahun yang lalu. Mereka juga menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berjaya mendapat pingat dalam Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada beberapa tahun kebelakangan ini. Namun, sasaran tertinggi yang diletakkan oleh Singapura ialah meraih pingat dalam Sukan Olimpik, temasya sukan terbesar di dunia ini."

Kali terakhir Singapura memenangi pingat dalam Sukan Olimpik ialah melalui kejayaan Tan Howe Liang yang memungut pingat perak dalam acara angkat berat Sukan Olimpik Rome 1960. Singapura gagal mendapat sebarang pingat dalam Sukan Olimpik sesudah itu. Jumlah atlet Singapura ke Sukan Olimpik kali ini paling ramai sejak penyertaan julung kalinya ke Sukan Olimpik 1956 di Melbourne.

25 orang atlet terbaik Singapura akan bertanding dalam enam acara, iaitu olahraga, badminton, pingpong, renang, menembak dan perahu layar. Manakala enam orang atlet kurang upaya pula akan menyertai empat acara Sukan Paralimpik Beijing iaitu olahraga, renang, ekuestrian dan perahu layar. Rakyat Singapura meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka untuk membawa pulang pingat dari Beijing.

Untuk menjayakan matlamat tersebut dalam Sukan Olimpik 2008 Beijing dan Sukan Olimpik 2012 London, Singapura telah melaksanakan satu rancangan khas Olimpik iaitu Rancangan 0812 sejak dua tahun yang lalu bagi meningkatkan latihan bagi para atlet.

Ketua Kontinjen Negara Singapura, Tan Eng Liang menyatakan bahawa beliau amat berpuas hati terhadap persiapan yang dibuat oleh para atlet ke Sukan Olimpik Beijing. Beliau juga meletakkan harapan yang tinggi terhadap prestasi mereka.

"Kali ini kami telah membuat persiapan yang paling rapi untuk ke Sukan Olimpik. Saya amat puas hati dengan persiapan yang mantap ini. Diharap, atlet kami mempamerkan prestasi yang cemerlang dan berjaya meraih pingat dalam temasya sukan ini.

Pada bulan Ogos tahun lalu, saya telah menyertai satu persidangan antarabangsa di Beijing atas undangan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing. Kami dibawa melawat ke kebanyakan tempat yang akan digunakan untuk Sukan Olimpik nanti. Walaupun projek-projek berkenaan belum siap pada masa itu, tetapi stadium untuk acara olahraga dan renang yang saya lawati sangat moden. Melalui laporan akhbar, saya mendapat tahu bahawa Beijing telah berusaha sedaya upaya untuk menjayakan Sukan Olimpik yang mesra alam. Melihat usaha yang dilakukan oleh kerajaan China dan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing, kami meletakkan harapan yang tinggi terhadap Beijing sebagai tuan rumah temasya sukan terbesar di dunia ini. Semoga Sukan Olimpik kali ini diadakan dengan jayanya.

Kita semua adalah anggota keluarga Olimpik yang besar. Saya percaya, perpaduan dan persahabatan merupakan impian bersama semua anggota keluarga ini, termasuklah Singapura. Ini juga selaras dengan semangat Olimpik. Jadi, kami menyokong Sukan Olimpik dijadikan temasya sukan yang menyediakan peluang persaingan yang adil, dan pesertanya saling kasih-mengasihi dan bantu-membantu dengan membawa impian masing-masing."

Atlet acara perahu layar Singapura, Puan Toh Li Ying ketika ditanya perasaannya kerana akan ke Sukan Olimpik Beijing berkata,

"Saya amat bersyukur dan gembira mendapat peluang untuk menyertai Sukan Olimpik Beijing. Saya tidak berasa gemuruh sekarang. Harap-harap tidak juga di sana. Saya akan mempamerkan prestasi terbaik saya di samping mengelakkan daripada melakukan kesilapan bagi mencapai matlamat memenangi pingat untuk negara. Latihan persiapan kami di Singapura berjalan lancar. Kami akan berlepas ke Qingdao tidak lama lagi. Saya pernah dua kali menyertai acara ujian di Qingdao. Kemudahan kelab perahu layar di sana sangat baik, hotel tempat saya menginap juga bagus."

Atlet kurang upaya Singapura yang akan menyertai acara lumba kerusi roda Sukan Paralimpik Beijing memberitahu wartawan kami bahawa inilah kali pertama bagi beliau menyertai temasya sukan antarabangsa ini. Beliau berasa teruja lagi gemuruh. Kata beliau,

"Saya berasa amat bangga dapat mewakili Singapura bertanding dalam gelanggang Sukan Paralimpik. Setiap atlet tentunya ingin memenangi pingat dalam temasya sukan ini. Kerana ini kali pertama saya menyertai Sukan Paralimpik, jadi tujuan saya adalah untuk menimba pengalaman tidak kira sama ada saya boleh memenangi pingat atau tidak. Saya akan bertanding dengan bersungguh-sungguh. Itu sahaja yang boleh saya lakukan."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |