v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Stadium Negara China "Sarang Burung" Mula Beroperasi Sepenuhnya
2008-07-09 17:13:06 CRI

Stadium Negara China yang lebih dikenali sebagai "Sarang Burung" mula beroperasi sepenuhnya pada 28 Jun, selepas tempoh pembinaan selama lebih empat tahun.

Sebagai tempat utama Sukan Olimpik Beijing, Stadium Negara akan digunakan bagi majlis pembukaan dan penutup Sukan Olimpik di samping menjadi medan acara olahraga serta perlawanan akhir bola sepak. Dalam rancangan kali ini, saya akan membawa saudara meninjau ke gelanggang yang paling utama bagi Sukan Olimpik Beijing --- "Sarang Burung".

Stadium Negara China dikenali sebagai "Sarang Burung" kerana bentuknya kelihatan benar-benar seperti sebuah sarang burung. Ia terletak di dalam Taman Olimpik. Kedudukannya di bahagian utara Beijing, ke arah timur sedikit dari garis lurus utara-selatan Beijing yang membahagikan kawasan Beijing di tengah-tengah. Keluasan lantai keseluruhan bangunan itu berjumlah 258 ribu meter persegi di tapak seluas 204 ribu meter persegi, dengan 91 ribu kerusi. Antara kesemua 37 buah gelanggang pertandingan bagi seluruh acara Sukan Olimpik ini, baik di Beijing mahupun di bandar-bandar yang lain, "Sarung Burung" menjadi gelanggang yang terakhir disiapkan. Ini berlaku kerana kerja-kerja pembinaannya memang mengambil masa yang lama mengikut reka bentuknya yang unik itu.

China mula mengumpulkan pelan reka bentuk Stadium Negara China daripada seluruh dunia pada bulan Mac 2002. Pelan reka bentuk yang dikemukakan bersama oleh Herzog & de Meuron Architekten, Switzerland, Kumpulan Reka Bentuk dan Penyelidikan Bangunan China (China Architecture Design & Research Group) dan Firma Perunding Kejuruteraan (ARUP) telah berjaya dipilih melalui penilaian yang ketat oleh kumpulan pakar dan orang awam.

Struktur bangunan ini memang menakjubkan. Bahagian luarnya berbentuk pelana, manakala kawasan tempat duduk di bahagian dalamnya pula kelihatan seperti sebuah mangkuk. Reka bentuk yang unik ini memerlukan bahan keluli, yang digunakan untuk melintasi bangunan ini, mempunyai kualiti yang tinggi. Ekoran reka bentuknya menggunakan palang keluli berpintal, pengilang keluli China telah melakukan inovasi dan berjaya menghasilkan sejenis bahan keluli yang kualitinya sungguh tinggi yang diberikan nama model "Q460". Seberat 42 ribu tan bahan keluli jenis itu telah digunakan untuk membina "Sarang Burung" ini, dan dengan itu, sekali gus menjadikannya projek bangunan struktur keluli yang terbesar di dunia ini.

Penggunaan begitu banyak bahan keluli tentunya memerlukan kemahiran mengimpal yang tinggi. Ketua Projek "Sarang Burung", Encik Tan Xiaochun berkata:

"Kimpalan kelim penyambung keluli pada struktur utama bangunan ini jika disambungkan panjangnya 320 kilometer, sama dengan jarak pergi bailk dari Beijing ke Tianjin. Projek ini melibatkan 1100 orang pengimpal, dan kerja mereka mengambil masa selama setahun tiga bulan dan diiktiraf sebagai satu keajaiban dalam sejarah pembinaan negara ini."

"Sarang Burung" mempunyai satu tingkat di bawah tanah dan tujuh tingkat di atas tanah. Lebarnya ialah 280 meter dan panjangnya ialah 333 meter. Ia menjadi stadium sukan yang terbesar di China buat masa ini. Struktur utama bangunan ini direka bentuk untuk menahan gempa bumi yang berukuran 8 pada skala Richter. Hayat penggunaannya ialah 100 tahun.

"Sarang Burung" mempunyai tiga tingkat ruang tempat duduk yang kelihatan seperti bahagian dalam mangkuk. Tiada sebatang pun tiang di bahagian dalam bangunan ini. Reka bentuk yang menarik ini membolehkan para penonton menyaksikan pertandingan dengan pandangan yang luas tanpa sebarang halangan.

Ketika menyentuh tentang rancangan tindak balas kepada kejadian kecemasan, Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Stadium Negara, Encik Li Aiqing berkata,

"Kami akan menggunakan beberapa laluan keluar untuk memindahkan para penonton yang berada di ruang tempat duduk pada ketiga-tiga tingkat itu, jika berlaku kejadian kecemasan. Dalam masa lebih kurang lapan minit, kesemua, lebih 90 ribu penonton, akan habis dipindahkan ke tempat yang selamat."

Selain langkah keselamatan yang sempurna, Stadium Negara China ini amat mengutamakan konsep "Olimpik Hijau". Bumbung ruang pemeriksaan tiket di "Sarang Burung" ini telah dipasang dengan alat pengumpul tenaga solar untuk menjana tenaga elektrik bagi sistem penerangan bangunan ini. Manakala sistem pengumpulan air hujan di bumbung stadium ini pula boleh mengitar semula 58 ribu tan air hujan setahun. Air yang dikitar semula ini boleh digunakan untuk menyiram pokok dan kegunaan tandas pam.

Stadium ini sudah menjadi tuan rumah kepada tiga acara sebelum ini termasuk Kejohanan Olahraga Terbuka China pada bulan Mei lalu bagi menguji fungsinya. Para peserta acara-acara tersebut telah memberikan penilaian yang tinggi terhadap kualiti dan fungsi "Sarang Burung". Ketika diminta pandangan mengenai pujian itu, Encik Li Aiqing berkata,

"Segala cabaran telah berjaya kita tempuhi melalui kerja-kerja yang dilakukan. Tiga acara ujian yang diadakan dengan jayanya itu membuktikan stadium ini berfungsi dengan sempurna dan kualitinya pun tinggi."

Pembinaan 'Sarang Burung" ini, sejak dimulakan pada bulan Disember 2003 sehinggalah disiapkan, sentiasa menarik perhatian dunia.

Pada tahun 2007, akhbar Times Britain menyenaraikan "Sarang Burung" sebagai satu daripada 10 projek pembinaan terbesar dan paling penting di dunia yang sedang dibina pada masa itu. Tahun ini, akhbar mingguan Time Amerika Syarikat pula mengumumkan bahawa reka bentuk "Sarang Burung" menduduki tangga pertama dalam senarai reka bentuk yang paling berpengaruh di dunia di bawah kategori seni bina daripada 100 reka bentuk yang terpilih.

Sukan Olimpik Beijing akan dibuka tirainya di stadium ini pada pukul lapan malam, 8 haribulan Ogos ini. Bersama-samalah kita menunggu untuk menyaksikan "Sarang Burung" yang lebih menakjubkan.

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |