v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Menginap di Hotel Rumah di Beijing
2008-08-08 12:05:19 CRI

Berbanding dengan hotel mewah, "hotel rumah" bukan hanya murah, malahan juga membolehkan mereka yang memilih cara penginapan ini lebih mengetahui kehidupan orang Beijing.

Dalam tempoh Sukan Olimpikini, banyak orang Beijing yang mempunyai rumah yang tidak digunakan, memohon untuk menawarkan rumah tersebut sebagai "hotel rumah" kepada pelancong. Kerajaan Beijing juga telah memilih beberapa banyak rumah yang berdekatan dengan stadium-stadium sukan Olimpik atau yang mempunyai ciri-ciri tersendiri, untuk menyediakan perkhidmatan penginapan kepada pelancong sewaktu Sukan Olimpik diadakan.

"Hotel rumah" ialah sejenis penginapan yang disewa dan kini terdapat di kebanyakan negara di dunia. Kemudahan dan kelengkapan di "hotel rumah" lebih sempurna, tetapi harganya murah berbanding dengan hotel mewah.

Dalam sejarah sukan Olimpik, banyak tuan rumah yang menawarkan "hotel rumah" untuk pelancong. Misalnya dalam Sukan Olimpik Seoul 1988, kerajaan Republik Korea menggalakkan rakyat tempatan menjadikan rumah mereka yang tidak digunakan sebagai hotel untuk menerima lebih banyak pelancong asing. Bagi Sukan Olimpik Athens 2004 pula, kerajaan bandar itu juga mengambil langkah yang serupa.

Sekiranya saudara mencari ""hotel rumah" di Beijing" melalui enjin carian dalam internet, saudara boleh mendapat lebih 100 ribu jawapan yang berkenaan. Angka yang besar ini dapat mencerminkan betapa banyaknya "hotel rumah" yang disediakan di bandar ini.

Puan Tong Xiaoqing telah membuka sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan maklumat penyewaan "hotel rumah" di Beijing. Pada pandangannya, ramai pelancong akan berminat untuk menyewa "hotel rumah" sewaktu Sukan Olimpik Beijing diadakan. Maka beliau pun meninggalkan kerjanya di sebuah syarikat lalu membuka laman web ini. Laman web ini menyediakan maklumat dalam bahasa China dan bahasa Inggeris. Puan Tong menyatakan bahawa antara semua laman web yang menyediakan maklumat mengenai "hotel rumah" sewaktu berlangsungnya Sukan Olimpik, laman webnya merupakan yang paling bermutu. Katanya:

"Laman web ini dibuka sejak dua tahun lalu. Kami menyediakan perkhidmatan yang percuma dan bermutu tinggi kepada orang awam."

Menurut Puan Tong Xiaoqing ramai pemilik rumah mengamanahkan rumah mereka untuk disewakan melalui syarikatnya, setelah mereka mendapat tahu tentang laman web ini. Dengan cara ini, pemilik-pemilik rumah itu tidak perlu memberikan banyak perhatian dalam urusan menyewakan rumah mereka, dan mereka juga boleh memperoleh keuntungan yang besar.

Oleh sebab laman web ini juga menyediakan perkhimatan maklumat dalam bahasa Inggeris, maka ramai pelancong asing melayari laman web ini untuk mencari tempat tinggal sewaktu mereka berada di Beijing.

Menurut penjelasan Puan Tong, walaupun sewa "hotel rumah" ini dikemukakan oleh pemiliknya sendiri, namun sewa ini juga berubah-ubah berdasarkan permintaan dalam pasaran. Sehingga kini, sumber "hotel rumah" itu mencukupi dan Puan Tong mampu membantu pelanggannya mencari tempat menginap sebagaimana yang dikehendaki.

Puan Tong berkata:

"Jumlah 'hotel rumah' yang berdaftar di laman web saya ini mencatat lebih 10 ribu buah. Sewa "hotel rumah" sewaktu Sukan Olimpik ini meningkat tiga hingga empat kali ganda, malahan lima atau enam kali ganda berbanding dengan masa biasa, dan harga ini bergantung kepada keadaan rumah, seperti dekorasi, serta lokasinya. Secara umum purata, sewanya kira-kira 500 yuan sehari. Rumah di sekitar Sarang Burung, stadium utama temasya sukan kali ini, contohnya, harganya lebih daripada seribu yuan sehari."

Beliau menambah bahawa setelah kedua-dua pihak pemilik dan penyewa mencapai persetujuan, mereka perlu menandatangani kontrak serta mendaftar di balai polis.

Selain daripada mereka yang menyewakan rumah secara sukarela, kerajaan Beijing juga telah melancarkan projek "Keluarga Olimpik" pada bulan April lalu. Tujuan tindakan ini adalah untuk membolehkan penonton pertandingan Sukan Olimpik dan pelancong merasai kehidupan penduduk Beijing, dengan tinggal bersama-sama keluarga ini, di samping menyertai pelbagai aktiviti kebudayaan kalangan rakyat.

Naib Ketua Pengarah Biro Pelancongan Beijing, Puan Xiong Yumei berkata:

"Terdapat 1118 keluarga tempatan memohon untuk menjadi 'Keluarga Olimpik'. Kami telah membuat pemilihan berdasarkan standard yang ditetapkan oleh pakar. Bagi keluarga yang berjaya mendapat gelaran 'Keluarga Olimpik' ini, pihak kami memberikan satu tanda iaitu sebuah pinggan tembikar kepada keluarga itu."

Menurut taklimat pihak yang berkenaan bahawa kira-kira 600 keluarga telah dipilih sebagai "Keluarga Olimpik". Pemilihan itu dibuat menurut piawaian yang ketat dari segi persekitaran, kesihatan, kebudayaan, keluasan rumah dan yang lebih utama ialah mesti mempunyai sebuah bilik yang kosong. Selain itu, sekurang-kurangnya mesti ada seorang ahli keluarga itu yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan lancar. Mereka boleh mendapat peluang yang bernilai ini setelah mengikuti latihan berkenaan yang disediakan.

Wartawan dimaklumi bahawa kebanyakan rumah "Keluarga Olimpik" terletak di sekitar gelanggang pertandingan atau di kawasan yang mempunyai ciri-ciri budaya tradisional, supaya membolehkan tetamu asing merasai budaya yang unik di bandar yang bersejarah ini.

Encik Zhang Jing mempunyai sebuah rumah yang mempunyai laman di kawasan Shichahai, daerah Xicheng. Rumah yang mempunyai laman merupakan bangunan rumah tradisional yang tipikal di Beijing. Encik Zhang menyatakan bahawa, sebagai Keluarga Olimpik, keluarganya akan menyediakan perkhidmatan yang bertaraf tinggi kepada tetamu asing.

Katanya: "Rumah saya ini dibina pada zaman Dinasti Ming, iaitu lebih 380 tahun yang lampau. Keluarga saya telah tinggal di sini selama 60 tahun. Kini, keluarga saya telah membuat persiapan yang rapi untuk menyambut dan melayan tetamu dari luar negara."

Apakah saudara juga berminat tinggal di "hotel rumah"? Saudara hendaklah menghubungi Agensi Pelancongan Antarabangsa China (CITS) dan Agensi Pelancongan China (CTS). Hanya kedua-dua agensi ini yang mendapat kelayakan untuk menguruskan penginapan di rumah "Keluarga Olimpik".

----Wang Jin

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |