v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Cerita tentang Sukarelawan Asing untuk Sukan Olimpik Beijing
2008-07-24 14:29:31 CRI

Sukarelawan sentiasa memainkan peranan yang penting dalam Sukan Olimpik yang lalu. Demikian juga halnya dalam Sukan Olimpik Beijing nanti, puluhan ribu orang sukarelawan akan memberikan perkhidmatan mereka. Antaranya sukarelawan asing merupakan golongan yang mendapat perhatian orang ramai.

Sekumpulan pelajar asing sedang mengikuti kuliah dengan tekun di dalam bilik kuliah Institut Kewartawanan dan Komunikasi Universiti Tsinghua, iaitu salah sebuah universiti yang terkenal di China. Kandungan kuliah tersebut ialah pengenalan tentang sistem sosial China dan keadaan semasa kaum wanita China. Berbeza dengan bilik kuliah yang lain, di bilik ini, selain daripada guru dan pelajar, terdapat juga wartawan dari pelbagai media utama. Yang menarik perhatian wartawan tersebut ialah 24 orang pelajar dari Universiti Iowa, A.S. yang akan memulakan tugas sebagai sukarelawan asing yang berkhidmat kepada pihak media sempena Sukan Olimpik Beijing nanti.

Mereka telah menerima surat pengesahan setelah dipilih sebagai sukarelawan asing untuk Sukan Olimpik Beijing sebulan dahulu. Sebahagian daripada mereka akan berkhidmat di Pusat Media Utama Sukan Olimpik Beijing (MPC) dan Pusat Radio Antarabangsa (IBC) untuk para anggota media dari luar negara. Oleh sebab Universiti Iowa terkenal dengan sukan tenis dan gusti, maka sebahagian lagi pelajar itu akan berkhidmat di gelanggang dua acara tersebut ketika Sukan Olimpik berlangsung.

Cameron Coker, pelajar kewartawanan Universiti Iowa merupakan salah seorang daripada kumpulan sukarelawan asing tersebut. Dia yang agak tinggi orangnya kini mempunyai nama China, iaitu Ke Kaiwen. Manakala Erica Patterson, kawan sekelasnya diberi nama China Pan Ruijia, yang bermaksud bijaksana.

Mereka dipilih sebagai sukarelawan melalui temuduga yang diadakan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing (BOCOG)sebanyak tiga kali. Menurut jawatankuasa ini, seramai 22 ribu orang warga asing memohon untuk menjadi sukarelawan Sukan Olimpik kali ini. Hasilnya, seramai 100 ribu orang sukarelawan dari dalam dan luar negara akan berkhidmat untuk pelbagai pertandingan dalam Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Beijing nanti.

Universiti Iowa merupakan universiti asing pertama yang menandatangani perjanjian kerjasama dengan BOCOG, dan ia juga merupakan universiti yang melibatkan diri dalam latihan sukarelawan yang bermula tiga tahun lalu.

Cameron Coker pernah tinggal di Tianjin selama enam bulan pada tahun 2006. Dia memohon untuk menjadi sukarelawan Sukan Olimpik Beijing kerana pengalaman manisnya ketika di Tianjin dahulu dan hasratnya untuk menjadikan impian Olimpiknya, iaitu slogan Sukan Olimpik Beijing kali ini "Satu Dunia, Satu Impian" kenyataan. Maka, memahami China benar-benar merupakan tujuan utamanya datang ke Beijing. Katanya: "Sebenarnya saya memang ingin datang ke China. Walaupun banyak tempat yang masih belum saya lawati, namun saya berharap dapat melawat seluruh dunia, dan saya merasakan China merupakan titik permulaan yang baik."

Selepas sukarelawan dari Universiti Iowa ini tiba di Beijing, Universiti Tsinghua terus mengadakan program suai kenal tentang kebudayaan China selama seminggu bagi mereka. Dalam program suai kenal ini, para pelajar tersebut makan dan tinggal bersama-sama dengan mahasiswa China. Mereka menunjukkan minat yang cukup tinggi terhadap budaya, keadaan semasa masyarakat keistimewaan, etnik dan makanan China.

Su Jing ialah pelajar tahun dua bagi program sarjana di Institut Kewartawanan dan Komunikasi Universiti Tsinghua. Sebagai salah seorang petugas yang menemani delegasi dari Universiti Iowa sepanjang tempoh mereka berada di Beijing, Su Jing menyatakan bahawa semua sukarelawan dari Amerika ini suka bersahabat China. Katanya: "Saya rasa setiap pelajar dalam delegasi ini ramah dan mesra. Ada beberapa orang antaranya fasih berbahasa Mandarin. Kami tiada masalah berkomunikasi."

Selepas mengikuti program suai kenal tentang kebudayaan China ini, mereka akan memulakan tugas sebagai sukarelawan asing kumpulan pertama yang berkhidmat kepada pihak media sempena Sukan Olimpik Beijing. Ketika menyebut tentang tugasnya sebagai sukarelawan sempena Sukan Olimpik ini, Cameron Coker didapati tahu benar tentang prosedurnya. Katanya: "Kerja saya di tempat acara tenis. Tugas saya adalah menyediakan maklumat atlet dan data pertandingan untuk wartawan dan memasukkan data tersebut ke dalam komputer. Sistem maklumat akan menghantar rekod atlet dan maklumat pertandingan kepada para wartawan yang berada di pusat media sebagai sumber rujukan mereka untuk menulis laporan yang berkenaan. Perkhidmatan yang kami berikan adalah untuk memudahkan tugas mereka."

Cameron Coker merasakan bahawa pemilihannya sebagai sukarelawan asing merupakan peluang yang jarang diperoleh. Tugas ini amat membanggakan. Katanya: "Sukan Olimpik Beijing mempamerkan satu China yang rakyatnya bersatu hati dan ingin maju. Saya amat teruja kerana terlibat dalam temasya sukan ini."

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |