v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Rudy Hartono, Tokoh Badminton Indonesia yang Tersohor
2008-08-06 09:00:32 CRI

Rudy Hartono merupakan pemain badminton Indonesia yang tersohor. Beliau telah meraih pingat emas sebanyak 8 kali dalam Pertandingan Terbuka Badminton Yonex Britain, dan meraih Piala Thomas 4 kali bersama rakan-rakannya.

Rudy Hartono dilahirkan di Surabaya, Indonesia pada tahun 1949. Ayahnya merupakan seorang jurulatih yang berkhidmat dalam kelab badminton. Dengan bimbingan ayahnya, Rudy Hartono mula berlatih bermain badminton semasa umurnya 8 tahun. Beliau amat terhutang budi kepada ayahnya dalam bidang tersebut. Kata Rudy, "Ayah saya bukan seorang pemain badminton yang tersohor, tetapi beliau telah memperkenalkan kemahiran asas permainan tersebut kepada saya. Saya bangun pada pukul 5:00 pagi dan terus membuat latihan, lalu ke sekolah. Selepas sekolah, saya berlatih lagi. Begitulah rajinnya saya berlatih untuk mahir bermain badminton pada setiap hari."

Kemudahan sukan di Indonesia pada masa itu masih kurang maju, tetapi Rudy Hartono amat rajin berlatih, dengan itu, taraf kemahirannya juga meningkat dengan cepat. Pada tahun 1968, Rudy Hartono yang baru berumur 18 tahun telah meraih pingat emas dalam Pertandingan Terbuka Badminton Yonex Britain. Sejak tahun itu hingga tahun 1974, beliau telah 7 kali lagi menjadi johan dalam pertandingan tersebut. Rudy Hartono dianugerahi gelaran "pahlawan Asia" oleh majalah "The Times" A.S. pada tahun 2006. Kata Rudy, "Pada masa itu, teknik permainan badminton antarabangsa sedang mengalami pembaharuan. Saya telah mengambil peluang itu untuk meningkatkan kemahiran saya sehingga mencapai kecemerlangan tersebut."

Selain 8 kali meraih pingat emas dalam Pertandingan Terbuka Badminton Yonex Britain, beliau, bersama rakan-rakannya telah 4 kali menjadi juara Piala Thomas, iaitu pertandingan badminton berpasukan lelaki yang bertaraf paling tinggi di dunia. Rudy Hartono telah menjadi pemain badminton yang bertaraf tertinggi di dunia dalam tempoh 10 tahun pada zaman itu. Oleh sebab acara badminton belum menjadi acara rasmi dalam Sukan Olimpik pada zaman itu, beliau tidak ada peluang untuk menjadi johan dalam temasya sukan tersebut. Kata Rudy, "Ketika saya di puncak kecemerlangan, badminton belum menjadi acara rasmi dalam Sukan Olimpik. Jadi, saya tidak ada peluang untuk bertanding dalam temasya sukan tersebut. Pemain badminton sekarang amat bertuah kerana dapat menyertai temasya sukan yang terpenting di dunia."

Acara badminton mula menjadi acara rasmi bagi temasya sukan tersebut dalam Sukan Olimpik Barcelona 1992. Rudy Hartono buat kali pertamanya menyertai Sukan Olimpik sebagai jurulatih pasukan badminton Indonesia. Pelajarnya, Alan Budikusuma dan Susi Susanti masing-masing meraih pingat emas dalam acara badminton lelaki dan wanita. Ketika itulah Rudy Hartono buat pertama kalinya meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik sebagai ketua pasukan Indonesia.

Setelah bersara, Rudy Hartono masih berusaha mengembangkan sukan badminton. Sekarang, beliau menyandang jawatan penasihat di pusat latihan Persatuan Badminton Dunia. Beliau gigih memberikan bimbingan kepada pemain badminton dari beberapa negara di dunia. Sekarang, impian beliau bukanlah menjadi johan dalam Sukan Olimpik, tetapi membantu pemain yang muda mencapai kecemerlangan dalam temasya sukan tersebut. Katanya, "Acara badminton telah menjadi acara rasmi dalam Sukan Olimpik. Persatuan Badminton Antarabangsa telah menubuhkan pusat latihan 5 tahun yang lalu untuk meningkatkan kemahiran pemain-pemain dari negara yang kurang maju. 70% pemain yang mengikuti latihan di pusat tersebut telah memperoleh kelayakan untuk menyertai Sukan Olimpik Beijing."

Rudy Hartono menyertai Sukan Olimpik Beijing sebagai pegawai Persatuan Badminton Dunia. 18 Ogos merupakan ulang tahun kelahiran beliau. Justeru, pertandingan akhir acara badminton lelaki juga diadakan pada hari itu. Pertandingan yang menarik dan bertaraf tinggi itu akan menjadi hadiah yang paling berharga bagi beliau untuk menyambut hari jadinya.

Ketua kontinjen Indonesia, Rosihan Arsyad telah mendaftar bagi pihak kontinjennya di kampung Sukan Olimpik Beijing petang semalam. Beliau menyatakan bahawa kontinjen Indonesia berharap mencapai kejayaan dalam Sukan Olimpik kali ini. Menurutnya, Indonesia telah meraih 2 pingat emas dalam Sukan Olimpik 1992, dan seterusnya sebuah pingat emas dalam setiap Sukan Olimpik yang berikutnya. Beliau berharap Indonesia dapat meraih 2 pingat emas dalam Sukan Olimpik kali ini. Katanya, "Kontinjen kami akan berusaha untuk meraih 2 pingat emas, 2 pingat perak dan 2 pingat gangsa dalam Sukan Olimpik kali ini. Tetapi kami juga tidak merasa kesal jikalau sasaran tersebut tidak dapat dicapai, kerana kami telah bertanding dengan sedaya upaya."

Pingat emas Sukan Olimpik yang diraih oleh pasukan Indonesia selama ini semuanya dalam acara badminton. Pasukan Indonesia telah meraih 5 daripada 19 pingat emas bagi acara badminton dalam sejarah Sukan Olimpik. Tetapi pasukan Indonesia juga semakin hebat dalam acara-acara yang lain pada tahun-tahun kebelakangan ini. Misalnya, Indonesia juga telah meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik 2000 dan 2004 untuk acara lain. Atlet angkat berat wanita kategori 53 Kilogram, Lisa Rumbewas dan atlet angkat berat lelaki kategori 56 kilogram, Eko Yuli Irawan mungkin dapat meraih pingat untuk pasukan Indonesia.

Pasukan Indonesia telah siap dan akan berusaha mencapai kejayaan dalam Sukan Olimpik kali ini. Rosihan Arsyad menyatakan bahawa pingat emas bukanlah perkara yang paling penting,yang lebih utama adalah mendidik atlet yang berakhlak sesuai dengan semangat Olimpik. Katanya, "Pasukan Indonesia menyedari bahawa sukan bukanlah hal yang hanya berkaitan dengan kalah-menang atau piala. Sukan dapat menjadikan manusia lebih jujur dan meningkatkan kerjasama antara satu sama lain. Pasukan kami akan memegang kuat konsep tersebut."

------Andika

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |