v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

4500 Ujian Ubat Perangsang akan Dilakukan Semasa Sukan Olimpik Beijing
2008-08-12 21:19:31 CRI

Untuk memastikan keadilan bagi semua atlet, Pusat Ujian Ubat Perangsang Sukan Olimpik Beijing sudah membuat persiapan yang serapi mungkin untuk menjadikan Sukan Olimpik kali ini temasya yang bersih daripada dadah.

Berbanding dengan Sukan Olimpik yang lalu, Sukan Olimpik Beijing menyaksikan dua langkah baru untuk mengesan penggunaan ubat perangsang dalam kalangan atlet. Sebanyak 4,500 ujian ubat perangsang akan dilakukan semasa Sukan Olimpik Beijing, iaitu 90 peratus lebih tinggi daripada Sukan Olimpik 2000 Sydney, dan 25 peratus lebih tinggi daripada Sukan Olimpik 2004 Athens. Ketika berlangsungnya pertandingan, atlet yang mesti menerima ujian penggunaan ubat perangsang kini bertambah menjadi lima orang, iaitu mereka yang berada di kedudukan teratas dalam setiap pertandingan akhir. Dahulu, hanya tiga orang yang perlu diuji, iaitu pemenang pingat emas, perak dan gangsa.

Langkah tersebut memperlihatkan usaha besar-besaran Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa untuk membasmi penggunaan ubat perangsang dalam kalangan atlet. Ini turut membawa cabaran yang besar kepada Beijing sebagai tuan rumah Sukan Olimpik kali ini.

Pengurus Venue Olimpik dari Pusat Ujian Ubat Perangsang Sukan Olimpik Beijing, yang juga Naib Pengarah Anti-Doping Negara China, Encik Zhao Jian memberitahu wartawan bahawa sebabnya Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa membuat keputusan ini adalah berdasarkan keyakinan terhadap kemampuan tuan rumah sukan ini.

"Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa ingin menunjukkan keazamannya untuk membasmi penggunaan ubat perangsang dalam kalangan atlet. Manakala, Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing juga menyatakan bahawa mereka akan berusaha sedaya upaya untuk menjadikan Sukan Olimpik Beijing temasya yang bersih daripada penggunaan ubat perangsang terlarang. Kami mempunyai sumber dan keupayaan yang mencukupi untuk mencapai matlamat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa."

Makmal Pusat Anti-Doping Negara China hanya mempunyai kira-kira 20 orang kakitangan sepenuh masa. Untuk membuat persiapan bagi Sukan Olimpik, dua pertiga kemudahan di makmal ini telah digantikan dengan yang baru. Selain itu, pusat ini juga telah membawa pakar penguji yang ternama baik dari China sendiri, mahupun dari tempat lain di seluruh dunia. Zhao Jian berkata:

"Pasukan penguji di pusat ini terdiri daripada sukarelawan termasuk pakar dan ahli profesional dari luar negara yang mempunyai kelayakan profesional yang diiktiraf oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), kakitangan dari institut penyelidikan serta pelajar dari institusi pengajian tinggi di Beijing."

Memandangkan usaha antidoping agak sensitif, Pusat Ujian Ubat Perangsang Sukan Olimpik Beijing telah membuat pemilihan yang ketat dalam pengambilan setiap anggota pasukan tersebut. Pakar antidoping yang datang dari Britain, Jerman, Australia mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam bidang ini. Antara mereka, ada yang telah bertugas dalam beberapa kali Sukan Olimpik yang lalu. Buat masa ini, seramai 150 orang ahli profesional bertugas di makmal Pusat Ujian Ubat Perangsang Sukan Olimpik Beijing ini. Manakala, lebih 200 orang kakitangan pula bertugas dalam bidang pengurusan operasi pusat ini.

Tugas untuk menghantar sampel ujian di sekitar Beijing dipertanggungjawabkan kepada Pusat Perkhidmatan Keselamatan Zhenyuan Beijing. Syarikat ini, biasanya menyediakan perkhidmatan mengawal keselamatan perjalanan penghantaran wang ke bank-bank utama di China. Di Hong Kong, iaitu tuan rumah bersama acara ekuestrian, penghantaran sampel air kencing kuda diuruskan oleh Makmal Kelab Lumba Kuda Hong Kong, satu daripada empat buah makmal yang diiktiraf berkelayakan oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI). Sampel air kencing atlet acara ekuestrian pula akan diterbangkan ke Beijing dengan segera, dan perjalanannya ke lapangan terbang diiringi oleh pasukan polis Hong Kong. Encik Zhao memberitahu bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa telah menyatakan kepuasan hatinya terhadap pasukan pengiring dan prosedur penghantaran sampel ujian tersebut.

"Pelan untuk menghantar sampel ujian juga disemak rapi oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. Mereka telah meneliti setiap prosedur dan tidak menjumpai sebarang masalah."

Walaupun China telah melakukan banyak usaha untuk membasmi penggunaan ubat perangsang dalam kalangan atlet, tetapi oleh sebab jumlah ujian bertambah, keputusan ujian yang positif dijangka akan meningkat dalam tempoh Sukan Olimpik kali ini. Berhubung perkara ini, Encik Zhao menyatakan bahawa pihaknya telah membuat segala-galanya bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran bahan terlarang jenis baru yang direka bentuk untuk mengelak daripada dikesan. Walau bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan kaedah yang konkrit untuk mengesannya.

"Inilah salah satu "senjata" yang akan kami gunakan. Saya akan mengekalkannya sebagai satu rahsia. Kami mengemas kini maklumat setiap hari dan menguasai teknologi tercanggih. Kami berkemampuan untuk mengesan sebarang tipu daya mengenai penggunaan ubat perangsang ketika sukan ini diadakan."

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |