v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Singapura Pelajari Pengalaman Penganjuran Sukan Olimpik Beijing untuk Persiapan Sukan Olimpik Remaja 2010
2008-08-22 16:45:33 CRI

Pada 21 Februari tahun ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan Singapura dipilih menjadi tuan rumah kepada kejohanan sulung Sukan Olimpik Remaja 2010. Seluruh rakyat Singapura bersorak riang hari itu kerana mereka berjaya mengetepikan saingannya seperti Moscow, Turin dan Kuala Lumpur yang semuanya hebat sekali. Namun, jika ingin menganjurkan acara sukan yang bersaiz Olimpik itu dengan berjaya, Singapura masih menghadapi banyak cabaran yang perlu ditempuhi.

Sebagai tuan rumah pertama Sukan Olimpik Remaja, Singapura terpaksa memulakan kerja persiapan dengan cara serba baru kerana tiada pengalaman yang boleh dicontohi. Yang lebih mendesak, masa bagi mereka untuk membuat persiapan hanya tinggal dua tahun sahaja.

Tapi, Singapura bernasib baik kerana Sukan Olimpik Beijing telah memberikan peluang terbaik kepada mereka untuk mendapatkan pengalaman yang berharga bagi menganjurkan temasya sukan yang terhebat di dunia ini. Selain itu, Sukan Olimpik kali ini juga menyediakan pentas kepada Singapura untuk mempromosi imej negara dan Sukan Olimpik Remaja yang akan diadakan di bandar raya itu.

Presiden Singapura, S.R. Nathan telah melawat ke Beijing baru-baru ini setelah Sukan Olimpik dirasmikan. Ketika diwawancara beliau berkata.

"Kami datang ke Beijing untuk menimba pengalaman tuan rumah, juga untuk melihat apa yang boleh kami pelajari. Tidak ada kata yang lebih tepat untuk menggambarkan betapa hebatnya Majlis Perasmian Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini. Semua acaranya berjalan lancar. Sesiapa sahaja yang menyaksikan majlis perasmian itu akan menyedari bahawa sekiranya orang China ingin membuat sesuatu, mereka akan melakukannya dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya."

Sukan Olimpik Remaja 2010 akan disertai oleh atlet-atlet muda yang berumur antara 14 dan 18 tahun dari seluruh dunia. Temasya sukan itu menawarkan kesemua 26 acara yang akan dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Musim Panas 2012. Antara 26 acara tersebut, Singapura langsung tidak mempunyai pengalaman bagi mengelolakan acara gusti, bola baling dan pentatlon moden.

Memandangkan keadaan itu, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan Singapura (MCYS), Encik Teo Ser Luck memberikan perhatian besar terhadap kaedah yang digunakan oleh Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing (BOCOG) dalam melaksanakan acara sukan tersebut. Encik Teo menyatakan,

"Selama ini, kami banyak menimba pengalaman dan belajar cara-cara Beijing menganjurkan Sukan Olimpik. Dalam proses permohonan untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Remaja, BOCOG banyak membantu kami dan bersedia memaklumkan cabaran yang mungkin akan kami hadapi dalam usaha memohon dan setelah menjadi tuan rumah bagi temasya Olimpik itu. Mereka juga menyatakan kesediaan untuk berkongsi pengalaman tentang penganjuran acara sukan, jika kami memerlukannya pada masa akan datang. Jadi, saya rasa lawatan ke Beijing kali ini merupakan satu peluang yang sangat baik."

Beliau menganggap bahawa tuan rumah Sukan Olimpik kali ini telah berjaya melakukan usaha dalam membudayakan semangat Olimpik dalam kalangan rakyat China. Program inilah yang perlu dicontohi oleh Singapura.

"Perkara yang paling perlu kami pelajari daripada BOCOG ialah program kebudayaan dan pendidikan yang dilaksanakan mereka dengan menggunakan peluang menjadi tuan rumah Sukan Olimpik. Ini juga akan menjadi program penting dalam penganjuran Sukan Olimpik Remaja di Singapura nanti.

Dalam fasa persiapan Sukan Olimpik, saya pernah melawat beberapa buah sekolah rendah dan menengah di Beijing. Saya kagum dengan kesedaran tinggi para pelajar berhubung dengan nilai, sejarah dan semangat Olimpik."

Majils Sukan Singapura merupakan sebuah agensi yang sentiasa berusaha untuk mempopularkan aktiviti sukan dan menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan rakyat serta meningkatkan taraf pelbagai acara pertandingan di negara itu. Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Sukan Singapura, Encik Oon Jin Teik menyatakan bahawa prestasi cemerlang atlet Singapura dalam Sukan Olimpik Beijing dan kejayaan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Remaja 2010 telah meningkatkan kesedaran rakyat negaranya terhadap semangat kesukanan dan budaya Olimpik. Inilah pulangan yang paling berharga.

"Pada pendapat saya, rakyat Singapura patut memahami keajaiban sukan, menyedari kepentingan acara sukan bagi melahirkan rasa bangga sebagai warga Singapura, serta perpaduan kebangsaan. Kita dapat melihat betapa penonton China bersorak untuk semua atlet di mana-mana venue pertandingan. Memang banyak yang perlu kami pelajari daripada mereka."

Encik Oon turut menyatakan bahawa Singapura juga akan menimba pengalaman BOCOG dalam mempamerkan kebudayaan sendiri dan menguruskan pasukan sukarelawan bagi menjayakan temasya sukan yang disertai ramai atlet muda yang paling cemerlang di dunia ini.

Encik Oon menjelaskan, sebabnya Singapura dapat berjaya dipilih menjadi tuan rumah pertama temasya sukan itu ialah kerana kelebihan yang jelas di pihak Singapura berbanding dengan saingannya. Negara yang berbilang kaum dan kebudayaan serta bandar raya yang penuh dinamik, semuanya ini bersesuaian dengan imej Sukan Olimpik Remaja yang disambut oleh pemuda di seluruh dunia.

Dalam tawaran yang dikemukakan ketika memohon untuk menajdi tuan rumah Sukan Olimpik Remaja 2010, Singapura berjanji bahawa atlet boleh sampai ke mana-mana 26 venue acara sukan dalam masa 30 minit.

Encik Oon berkata bahawa Sukan Olimpik Beijing telah berjaya menarik perhatian seluruh dunia ke Timur. Beliau yakin kesannya akan terus kekal walaupun selepas ia berakhir.

"Kita menyaksikan penganjuran acara sukan antarabangsa yang begitu simbolik di Asia. Ia bukan sahaja membolehkan China mempromosi imej baik kepada dunia luar, tetapi juga membolehkan Asia lebih diketahui oleh rakyat dunia. Saya rasa ini hebat sekali."

Ketika diwawancara, Encik Oon juga menyatakan bahawa sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Remaja 2010, keyakinan Singapura bertambah dengan kejayaan Sukan Olimpik Beijing. Dengan adanya keghairahan rakyat Singapura terhadap aktiviti sukan, usaha gigih kerajaan dalam kerja persiapan, dan sikap terbuka pihak penganjur untuk menerima pengalaman acara sukan yang berjaya sebelum ini, Encik Oon yakin Sukan Olimpik Remaja Pertama pasti akan dilaksanakan dengan jayanya.

----Puspa

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |