v Mengenai Siaran Bahasa Melayu CRIv Mengenai CRI
Laman UtamaBahasa Mandarin di Udara | China ABC | Sukan Olimpik Beijing

Berita | Kebudayaan & Hiburan | Pelancongan | Sinar Islam | MasyarakatPendengar | China-ASEAN |

Rancangan Khas Majlis Penutup Sukan Olimpik Beijing
2008-08-24 14:21:51 CRI

Lapangan Tian'anmen, Beijing

Pada malam ini, lagu Olimpik akan dinyanyikan sekali lagi di "Sarang Burung", Stadium Negara China di Beijing. Sukan Olimpik Musim Panas ke-29 yang berlangsung selama 16 hari itu akan ditutup dengan rasminya.

Sepanjang 16 hari yang lalu, para atlet dari 204 buah negara dan wilayah telah mengobarkan semangat Olimpik, iaitu "lebih cepat, lebih tinggi dan lebih kuat" dengan prestasi yang begitu baik yang dicapai oleh mereka.

Kehadiran mereka menjelaskan inti sari semangat Olimpik, iaitu "penyertaan lebih penting daripada kemenangan", untuk merealisasikan slogan Sukan Olimpik Beijing, "satu dunia, satu impian".

Pada malam ini, keghairahan kita terhadap Sukan Olimpik Beijing mencapai kemuncaknya. Majlis penutup yang gilang-gemilang diadakan untuk mengingat kembali hari yang bersejarah ini. Lagu yang bertemakan perdamaian dan persahabatan akan dinyanyikan bersama-sama.

"Lebih cepat, lebih tinggi dan lebih kuat" merupakan semangat Olimpik. Sepanjang 16 hari yang lalu, sebanyak 302 pingat emas telah ditawarkan dan telah pun dimenangi. Banyak rekod dunia dan rekod Sukan Olimpik telah dipecahkan.

Atlet China, Liu Chunhong

Pada petang 13 Ogos, atlet China, Liu Chunhong merebut pingat emas dalam acara angkat berat wanita kategori 69 kg, dan memperbaharui rekod dunia buat kali kelima berturut-turut.

"Saya gagal dalam percubaan terakhir Sukan Olimpik Athens pada tahun 2004. Jadi, ketika saya berjaya dalam percubaan terakhir dalam Sukan Olimpik Beijing ini, saya amat terharu dan hampir menangis. Saya rasa, latihan saya dalam beberapa tahun ini tidak sia-sia," kata Liu Chunhong

Dalam Sukan Olimpik Beijing, ramai atlet mencipta rekod baru dalam acara yang berbeza-beza. Atlet Czech, Katerina Emmons memecahkan rekod Sukan Olimpik dan merangkul pingat emas pertama sukan kali ini dalam acara menembak 10 meter dengan senapang angin perseorangan wanita. Atlet Zimbabwe, Kirsty Coventry pula memecahkan rekod dunia dalam acara renang kuak lentang 200 meter wanita, dan menjadi atlet Afrika pertama yang merangkul pingat emas Sukan Olimpik ini.

Dalam pertandingan menembak 60 das dengan senapang angin 10 meter perseorangan lelaki, atlet India, Abhinav Bindra merebut pingat emas pertama bagi India dalam acara perseorangan Sukan Olimpik. Manakala, dalam pertandingan akhir judo kategori 100 kg lelaki, atlet Mongolia, Maidan Tuvshinbayar menjadi juara, dan memperoleh pingat emas pertama Sukan Olimpik bagi negara tersebut. Setiap negara dan wilayah mencapai kejayaan dalam sukan kali ini.

"Satu pingat emas yang kita peroleh akan mengikut kita seumur hidup. Kita akan menjadi pemegang pingat emas Sukan Olimpik sepanjang hayat. Saya merayakan hari jadi dan hari Krismas setiap tahun. Namun, peluang untuk menjadi pemenang pingat emas Sukan Olimpik perlu dinantikan beberapa tahun," kata perenang A.S., Michael Phelps.

Michael Phelps

Dalam sukan kali ini, Phelps memenangi 8 pingat emas, menjadi atlet pemenang pingat emas yang paling banyak dalam sukan Olimpik ini, dan sekali gus menjadi atlet pemenang pingat emas yang paling banyak dalam sejarah sukan Olimpik. Namanya akan sentiasa dikaitkan dengan Sukan Olimpik Beijing.

"Selepas menang, baru saya tahu saya telah memecahkan rekod dunia. Saya berpuas hati jika nama saya tercatat dalam senarai juara sukan Olimpik." Suara ini keluar dari mulut atlet Jamaica, Usain Bolt. Pada 16 Ogos yang lalu, beliau telah memecahkan rekod dunia dengan pencapaian masa 9.69 saat dalam perlumbaan akhir lari 100 meter lelaki. Prestasi beliau yang meberangsangkan ini juga akan dikaitkan dengan Sukan Olimpik Beijing.

Dalam temasya sukan kali ini, atlet-atlet daripada Malaysia dan Singapura juga menunjukkan prestasi yang membanggakan.

Pemain Malaysia, Lee Chong Wei

Pemain Malaysia, Lee Chong Wei merangkul pingat perak dalam acara badminton perseorangan lelaki. Ketika diwawancara oleh wartawan kami menerusi telefon, Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Ho Koh Chye berkata: "Pada pandangan saya, itu satu kemenangan yang cemerlang bagi Malaysia. Dan bagi pemain-pemain lain, saya juga yakin bahawa mereka telah melakukan persembahan atau prestasi yang terbaik. Ada atlet-atlet (Malaysia) yang lain yang telah juga mempamerkan prestasi yang baik, umpamanya dalam sukan memanah, di mana sebagai individu dan sebagai pasukan, mereka telah berjaya memasuki peringkat suku akhir. Dan dengan itu telah menunjukkan bahawa kebolehan mereka adalah setanding dengan yang terbaik di dunia. Dan begitu juga dalam sukan lumba basikal."

Kontinjen Singapura juga meraih satu pingat perak menerusi acara pingpong berpasukan wanita. Ini merupakan pingat Sukan Olimpik yang pertama bagi Singapura sejak 48 tahun yang lalu. Ketua Kontinjen Singapura, Dr. Tan Eng Liang ketika diwawancara wartawan CRI menerusi telefon berkata: "Kami sangat gembira atas kemenangan ini. Kami mendapat satu pingat perak dan ini menjadi pingat yang pertama diraih Singapura dalam Sukan Olimpik sejak 48 tahun yang lalu. Ini memang kemenangan Singapura."

Dalam temasya sukan ini, terdapat lebih 10,000 orang atlet dan 302 pingat emas. Walaupun hanya sedikit sahaja yang berjaya mendapat pingat emas atau perak dan gangsa, tetapi para atlet tetap aktif menyertai pertandingan. Mereka membuktikan semangat Olimpik, iaitu "penyertaan lebih penting daripada kemenangan". Merekalah wira dalam sukan kali ini.

Ketika tiba di Beijing, kontinjen Iraq yang terdiri daripada 7 orang atlet itu telah disambut baik. Penyelaras Urusan Sukan Olimpik Iraq, Sarhad Fatah berkata, "Bukan sahaja wartawan dari pelbagai negara, malah rakyat di seluruh dunia, memberikan perhatian kepada kontinjen Iraq. Meskipun keadaan di Iraq amat sukar, tetapi atlet-atlet kami berjaya mengatasi kesulitan dan halangan tersebut. Antara mereka, ada yang mengalami ancaman maut, ada juga yang terpaksa mengelak daripada dibunuh. Walau bagaimanapun, mereka tetap mengekalkan latihan dan menyertai pertandingan ini. Rakyat Iraq berasa bangga dengan mereka, orang asing pula memuji mereka."

Rubina Muqimyar pula merupakan satu-satunya wanita dalam kontinjen Afghanistan. Cita-citanya telah tercapai kerana beliau dapat menyertai pertandingan Sukan Olimpik ini.

Atlet Afghanistan, Rubina Muqimyar

"Saya percaya, saya pasti akan mencapai kemenangan dalam sukan kali ini. Menyertai sukan tersebut merupakan matlamat terbesar dalam hidup saya. Walaupun saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang, harapan sya hari ini sudah pun tercapai," kata Rubina Muqimyar.

Wendy Hale merupakan salah seorang daripada tiga orang atlet Kepulauan Solomon. Beliau menyertai acara angkat berat kategori 58kg wanita, dan hanya menduduki tempat terakhir. Namun, beliau tidak berasa kesal sedikit pun.

"Saya berasa bangga kerana saya datang ke Beijing untuk menyertai Sukan Olimpik. Sukan ini merupakan sukan Olimpik pertama yang saya sertai. Saya juga berasa bangga kerana saya merupakan satu-satunya atlet Kepulauan Solomon yang menyertai pertandingan angkat berat," Kata Wendy Hale.

Pada 12 Ogos, ketika atlet A.S. yang menderita penyakit kanser, Eric Shanteau muncul di "Kubus Air", Pusat Renang Negara, ramai penonton memberikan sorakan kepada beliau.

Pada petang 13 Ogos, dalam pertandingan pusingan pertama acara pingpong berpasukan wanita, seorang gadis tanpa lengan kanan merupakan salah seorang wakil kontinjen Poland untuk menyertai pertandingan itu. Beliau ialah juara pingpong perseorangan wanita dalam Sukan Paralimpik Athens, Natalia Partyka.

Natalia Partyka

Natalie Du Toit

Terdapat juga seorang atlet wanita dari Afrika Selatan yang ketiadaan kaki kiri, Natalie Du Toit yang menyertai perlumbaan renang. Natalia Partyka berharap, penyertaan mereka berdua itu dapat memberikan keyakinan diri kepada mereka yang kurang upaya. "Saya rasa ini suatu hal yang baik jika tindakan saya dapat menggalakkan lebih ramai orang kurang upaya menyertai sukan. Saya harap pengalaman saya dan atlet dari Afrika Selatan itu dapat memberikan keyakinan diri kepada teman-teman yang kurang upaya. Jika kita berusaha sedaya upaya dan yakin pada diri, kita pasti dapat mencapai apa jua cita-cita kita, kta Natalia Partyka.

Ketika para atlet berjuang sepenuh tenaga dan memerah keringat di gelanggang sukan, tercapai juga matlamat untuk menjayakan Sukan Olimpik Beijing sebagai temasya sukan yang istimewa dan bertaraf tinggi.

Di samping itu, tiga konsep utama sukan ini, iaitu "Sukan Olimpik Hijau, Sukan Olimpik yang Berteknologi Tinggi dan Sukan Olimpik Kemanusiaan" juga diperlihatkan sepenuhnya menerusi segala perincian yang berkaitan dengan temasya sukan ini.

Pengarah Eksekutif Sukan Olimpik, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Gilbert Felli telah memberikan penilaian yang tinggi terhadap temasya sukan ini. Kata beliau: Kita boleh mengatakan dengan pasti bahawa semua acara pertandingan berlangsung dengan lancar. Kita sudah melihat gelanggang-gelanggang Sukan Olimpik yang tersergam indah, dan semua acara pertandingan yang disajikan sungguh menarik. Yang paling penting ialah kerja-kerja pengelolaan pertandingan berjalan dengan lancar, dan hubungan antara pegawai pelbagai negara terlaksana dengan baik. Kami berpuas hati dengan semua perkara ini."

Menurut penjelasan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Beijing, Sukan Olimpik yang istimewa ini diperlihatkan terutamanya dari empat aspek, iaitu keistimewaan China, sosiobudaya, masyarakat moden dan penglibatan awam. Keempat-empat aspek tersebut turut ditonjolkan melalui segala perincian yang berkaitan dengan temasya sukan ini.

Sukan Olimpik yang bertaraf tinggi pula diperlihatkan dari beberapa aspek, termasuklah kemudahan gelanggang pertandingan, pengelolaan pertandingan, upacara perasmian, perkhidmatan media, penilaian pendapat umum, kerja jaminan keselamatan dan perkhidmatan sukarelawan.

Sepanjang 16 hari yang lalu, atlet, pegawai dan pelancong dari pelbagai negara telah melihat dan merasai ketinggian taraf temasya sukan ini. Jurucakap IOC, Puan Giselle Davies menyatakan: "Kami amat puas hati terhadap kerja-kerja pengelolaan temasya sukan ini, termasuklah perkhidmatan yang diberikan kepada pemimpin luar negara serta penonton yang begitu ramai."

Pencapaian matlamat untuk menjayakan Sukan Olimpik Beijing sebagai temasya sukan yang istimewa dan bertaraf tinggi tidak boleh dipisahkan dengan pelaksanaan konsep "Sukan Olimpik Hijau, Sukan Olimpik yang Berteknologi Tinggi dan Sukan Olimpik Kemanusiaan".

Pemandangan Sarang Burung yang Indah

Sejak Beijing dipilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik ke-29 pada tahun 2001, pihak berkuasa bandar ini telah memperuntukkan 140 bilion yuan RMB bagi bidang perlindungan alam sekitar. Kini, janji China untuk membaiki alam sekitar telah ditunaikan. Usaha itu bukan sahaja menjadikan langit lebih biru, air lebih jernih, malah menjadikan konsep perlindungan alam sekitar terpahat dalam fikiran rakyat China.

Sementara itu, konsep "Sukan Olimpik yang Berteknologi Tinggi" juga dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Kini, sejumlah besar projek berteknologi tinggi berhubung dengan temasya sukan ini sudah pun selesai. Sepanjang proses persiapan, sains dan teknologi serta pemikiran saintifik menyerap ke dalam segala perincian yang berkaitan dengan temasya sukan ini. Menteri Sains dan Teknologi China, Wan Gang menyatakan: "Untuk menjayakan Sukan Olimpik Beijing sebagai temasya sukan yang istimewa dan bertaraf tinggi, pihak berkuasa China telah melaksanakan 10 buah program penyelidikan dan pembangunan teknologi. Hasil program ini digunakan dalam pembinaan gelanggang pertandingan dan kemudahan infrastruktur, akan mendatangkan faedah ekonomi dan sosial yang lebih besar."

Ketika membuat penilaian terhadap lima buah bandar yang memohon untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Beijing 2008, IOC memberikan komen dalam laporannya bahawa Sukan Olimpik yang diadakan di Beijing akan meninggalkan warisan yang amat berharga bukan sahaja kepada China, malah kepada arena sukan seluruh dunia.

Pemandangan Kubus Air yang Indah

Malam ini, Sukan Olimpik ke-29 akan ditutup tirainya dengan rasmi. Tuan rumah membuktikan kepada dunia bahawa Sukan Olimpik yang diadakan di bandar ini bukan sahaja memangkin pembangunan negaranya sendiri, malah juga menyumbang kepada pembangunan seluruh dunia dan kemajuan sukan Olimpik. Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Britain, Colin Moynihan berkata: "Selepas Sukan Olimpik Beijing berakhir, kemudahan yang berkenaan akan terus disediakan untuk orang awam. Memandangkan keghairahan rakyat China terhadap sukan yang terus meningkat, maka saya yakin, semangat sukan akan disemarakkan dengan lebih meluas di negara ini."

Pengerusi Suruhanjaya Pemasaran IOC, Gerhard Heiberg pula menyatakan: "Pada pendapat saya, lebih ramai pelancong asing akan melawat ke China selepas berakhirnya temasya sukan ini. Di samping itu, sektor ekonomi dan industri negara ini juga akan menyaksikan pertumbuhan yang pesat. Jika dipandang lebih jauh, bukan sahaja Beijing, malah seluruh negara China akan mendapat manfaat daripada temasya sukan ini."

Ketika membuat permohonan untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik ke-29, Beijing berjanji akan melaksanakan rancangan pendidikan Olimpik dalam kalangan remaja dan belia China.

Kini, lebih 400 juta orang remaja dan belia di negara ini telah mengikuti rancangan tersebut. Anggota kehormat IOC yang berumur 87 tahun, Puan Flor Isava-Fonseca menyatakan: Ini merupakan satu peluang yang sangat baik bagi China untuk menunjukkan imejnya yang serba baru kepada seluruh dunia. Temasya sukan yang terbesar di dunia ini membolehkan orang ramai daripada pelbagai negara, kepercayaan agama dan latar belakang budaya yang berbeza-beza berkumpul bersama-sama untuk menikmati kegembiraan yang dibawa olehnya. Mereka menjadi saudara dan sahabat yang akrab. Pertumbuhan fizikal dan mental golongan muda akan mendapat manfaat daripada pengalaman begini. Inilah terpenting yang ditinggalkan kepada China."

Sukan Olimpik Beijing bukan sahaja memberikan manfaat kepada China, malahan seluruh dunia. Sepanjang tempoh berlangsungnya temasya sukan ini, hampir 10 ribu orang seniman dari lebih 80 buah negara dan wilayah berkumpul di Beijing untuk menghidangkan 227 buah persembahan, pameran dan aktiviti kebudayaan yang cukup cemerlang. Melalui aktiviti tersebut, persefahaman dan persahabatan antara rakyat pelbagai negara menjadi bertambah baik.

Sukan Olimpik Beijing juga amat bererti bagi perkembangan sukan Olimpik di seluruh dunia. Larian obor kali ini merupakan larian obor yang berlangsung paling lama masanya, paling luas skalanya dan paling ramai pesertanya dalam sejarah Olimpik. Inilah rekod tertinggi dari segi aktiviti larian obor.

Sementara itu, temasya sukan ini juga mencipta beberapa rekod baru dengan disertai oleh lebih 10 ribu orang atlet dari 204 buah negara dan wilayah, dibuat liputan secara langsung oleh lebih 30 ribu orang wartawan dan disaksikan oleh 4 bilion penonton dari seluruh dunia. Pendek kata, pengaruh sukan Olimpik dalam kalangan umat manusia telah diperhebat.

Malam ini, api suci Sukan Olimpik akan dipadamkan. Malam ini, baton Sukan Olimpik akan diserahkan kepada London.

Sukan Olimpik Beijing merupakan wadah bagi merealisasikan penggabungan yang sempurna antara sukan Olimpik dengan tamadun China yang bersejarah lama, melaksanakan pertukaran kebudayaan China dengan luar negara, dan memudahkan tamadun China berdialog dengan tamadun barat.

Masa pertandingan sepanjang 16 hari terlalu singkat, namun persahabatan yang dijalin kita akan berkekalan selama-lamanya.

Malam ini, mari kita menikmati kegembiraan.

Malam ini, mari kita berjanji untuk mencapai matlamat "Satu Dunia, Satu Impian".

Mari kita berjanji bertemu lagi dalam Sukan Olimpik London pada tahun 2012!

  Berita Berkaitan
  Ulasan
Radio Antarabangsa China
>>Ramalan Cuaca
>>Perkhidmatan
  • Penyiar-penyiar Anda
  • Panduan Siaran
  • Waktu Solat di China
  • >>Ruangan Pendengar
    Bertemu 2008---Sukan Olimpik Beijing (4):Bandar Kerjasama Sukan Olimpik Beijing
    >>Undian
    |  Hubungi Kami  |