Saudara senegara di seluruh negara,
Kawan-kawan sekalian:
Hari ini, kita mengadakan majlis yang meriah untuk menyambut ulang tahun ke-60 penubuhan Republik Rakyat China. Pada saat yang gembira dan takzim ini, semua rakyat China berasa amat bangga terhadap pembangunan dan kemajuan yang dicapai tanah air, dan penuh keyakinan terhadap masa depan bangsa China.
Bagi pihak Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, Kongres Rakyat Kebangsaan, Dewan Negara, Majlis Mesyuarat Politik Rakyat dan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat Parti Komunis China, saya ingin menyampaikan takziah dan segala rasa rindu kepada mereka yang terkorban kerana berjuang untuk kemerdekaan bangsa, pembebasan rakyat, kemakmuran negara dan kebahagiaan rakyat, di samping itu, menyampaikan salam kepada rakyat seluruh negara serta saudara senegara di seberang laut, dan mengucapkan terima kasih kepada semua sahabat luar negara yang menyokong pembangunan China.
Pada hari yang sama 60 tahun yang lalu, rakyat China telah mencapai kemenangan besar dalam revolusi negara selepas perjuangan berdarah selama lebih 100 tahun. Pengerusi Mao Zedong dengan penuh takzim mengumumkan penubuhan Republik Rakyat China di sini. Sejak itulah, rakyat China benar-benar bebas dan berdikari. Bangsa China yang bertamadun dan bersejarah selama lebih 5,000 tahun ini telah memasuki satu era pembangunan yang baru.
Dalam tempoh 60 tahun yang lalu, di bawah kepimpinan tiga generasi pemimpin Parti, iaitu Mao Zedong, Deng Xiaoping dan Jiang Zemin serta Jawatankuasa Pusat selepas Kongres Kebangsaan ke-16 Parti Komunis China, rakyat China yang rajin dan bijak berjuang dengan tidak kenal jemu dan susah payah, bersatu padu dan berjaya mengatasi kesukaran satu demi satu sehingga mencapai kemajuan yang mengagumkan. Kini, China, sebuah negara sosialis yang berkembang menuju modenisasi dan memandang ke masa depan yang tersergam gagah di dunia timur.
Rakyat China berkeyakinan dan berkeupayaan untuk membangunkan negara ini, malah memberi sumbangan kepada dunia.
Kita akan berpegang teguh kepada pembangunan sosialisme yang bercirikan China, terus melaksanakan dasar pintu terbuka dan pembaharuan, mendorong pembangunan sains dan teknologi, menggalakkan keharmonian masyarakat, mempercepatkan proses pembangunan masyarakat makmur dan terus membuka lembaran baru dalam pembangunan negara.
Kita akan berpegang teguh kepada pedoman "penyatuan secara damai, satu negara dua sistem", memelihara kemakmuran dan kestabilan di Hong Kong dan Makau untuk jangka panjang, mendorong perkembangan hubungan damai antara Tanah Besar dengan Taiwan, dan terus berjuang untuk mewujudkan cita-cita bangsa China, iaitu penyatuan semula tanah air.
Kita akan berpegang teguh kepada dasar luar yang bebas dan damai, dengan tegas melaksanakan pembangunan secara damai, mengamalkan strategi yang terbuka dan saling menguntungkan, menjalankan kerjasama yang bersahabat dengan semua negara berdasarkan Lima Prinsip Hidup Bersama secara Damai, berusaha bersama rakyat seluruh dunia untuk menyumbang kepada keamanan dan pembangunan umat manusia supaya mewujudkan dunia yang damai, makmur dan harmoni dalam jangka panjang.
Tentera Pembebasan Rakyat China dan Tentera Polis perlu mengutamakan tugas tradisi mereka dan meningkatkan pembangunan untuk melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan berusaha membuat jasa besar dalam usaha memelihara kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah dan memelihara kedamaian dunia.
Sejarah memberikan ilham kepada kami, iaitu jalan pembangunan negara tidak lancar selamanya. Namun, jika dapat menguasai jiwa sendiri dan perpaduan rakyat tentu akan dapat menguasai kesukaran yang kita hadapi dan mencipta hasil bersifat sejarah secara berterusan.
Memandang ke depan, prospek perkembangan China amat cerah. Parti, tentera dan rakyat pelbagai etnik akan bersatu-padu dengan lebih erat, berpegang teguh pada sosialisme yang bercirikan China, berkembang mengikut arus zaman, berusaha membangunkan negara ke arah negara sosialisme yang moden, makmur, demokratik, bertamadun dan harmoni serta merealisasikan pembangkitan semula bangsa China. Pada masa yang sama, China akan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada perkembangan manusia.
Hidup Republik Rakyat China!
Hidup Parti Komunis China!
Hidup Rakyat China!