Cari:
Institut Konfusius Menjadi Jendela bagi Rakyat Afrika untuk Mengenali China
2009-02-12 15:13:11 CRI Cetak

Dalam Forum China-Afrika yang diadakan pada tahun 2006, Presiden China, Hu Jintao telah mengumumkan bahawa kerajaan China akan mengambil langkah yang mencakupi lapan bahagian, untuk menggalakkan kerjasama antara China dengan negara-negara Afrika serta menyokong pembangunan Afrika. Antaranya termasuk usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan.

Sehingga kini, sebanyak lebih 20 buah Institut Konfusius telah ditubuhkan di 13 buah negara Afrika, dan kerjasama China-Afrika dalam bidang pendidikan ini telah menjadi jendela bagi rakyat Afrika untuk mengenali China.

"Nama saya Faith Mkize. Saya pelajar tahun dua Universiti Zimbabwe. Saya amat berminat dan tertarik kepada kebudayaan dan bahasa China. Saya amat berharap untuk menjadi penterjemah bahasa Mandarin pada suatu hari kelak."

"Saya Muchinei Musona, pelajar tahun dua Universiti Zimbabwe. Kami amat berminat belajar bahasa Mandarin kerana ini boleh membantu kami mencari kerja di negara kami. Ini bukan hanya untuk kepentingan sendiri, malah kami juga berharap dapat memberikan sumbangan kepada rakyat dan persahabatan antara Zimbabwe dengan China."

(Pensyarah dari China sedang mengajar bahasa Mandarin kepada pelajar-pelajar di Institut Konfusius Universiti Zimbabwe)

Faith dan Muchinei ialah dua orang pelajar biasa yang belajar bahasa Mandarin di Institut Konfusius, Universiti Zimbabwe pada masa ini. Walaupun kedua-duanya masih tidak dapat bercakap dalam bahasa Mandarin dengan fasih, namun mereka pasti dapat mencapai kemajuan yang besar pada masa depan.

Encik Mou Yunfeng yang berasal dari China ialah seorang pensyarah yang mengajar bahasa Mandarin di Institut Konfusius Universiti Zimbabwe. Beliau menyatakan:

"Institut Konfusius Universiti Zimbabwe mula memberikan kursus bahasa Mandarin pada bulan Mac tahun 2007. Dalam tempoh dua tahun yang lalu, seramai kira-kira 300 orang pelajar telah mengikuti kursus jangka pendek yang diadakan lebih 10 kali. Pelajar-pelajar ini terdiri daripada pelbagai kalangan. Yang amat menarik adalah, isteri Presiden Zimbabwe juga sedang belajar bahasa Mandarin. Beliau telah belajar selama setahun setengah, kerana beliau menganggap bahasa, tulisan dan budaya China amat menarik."

Institut Konfusius pertama di Afrika ditubuhkan di Universiti Nairobi, Kenya pada bulan Disember tahun 2005. Dengan adanya Institut-institut Konfusius di Afrika ini, rakyat Afrika yang berminat terhadap budaya China berpeluang mengenali China secara lebih menyeluruh.

Timbalan Presiden Universiti Zimbabwe, Prof. Levi Nyagura telah memberikan tanggapannya terhadap Institut Konfusius seperti yang berikut:

"Inilah kali pertama dunia luar yang sebenar diperkenalkan kepada rakyat Zimbabwe. Pada masa dahulu, orang Zimbabwe menganggap bahawa apabila disebut 'dunia', rujukannya ialah dunia Barat. Itulah bukan dunia yang sebenar. Saya berharap, kerja kami boleh membantu usahawan Zimbabwe menjalankan urus niaga dengan orang China, dan sarjana tempatan juga boleh berkomunikasi dengan sarjana China. Pembangunan China amat mengagumkan. Kami akan terus memberikan perhatian kepada China yang disifatkan sebagai rakan sebenar negara kami."

Pada masa ini, kian ramai orang Zimbabwe menunjukkan minat untuk belajar bahasa Mandarin. Di Harare, ibu kota Zimbabwe, "Nihao" sama popularnya "hello". Kebanyakan pegawai kerajaan seperti dari Jabatan Imigresen, yang ada urusan dengan warga China, boleh bercakap menggunakan beberapa patah perkataan bahasa Mandarin, seperti "xiexie (terima kasih)", "zaijian (jumpa lagi)" dan lain-lain. Ini juga merupakan hasil didikan para pensyarah yang berkhidmat di Institut Konfusius.

(Pelajar-pelajar Insitut Konfusius Universiti Nairobi belajar bahasa Mandarin )

Sejak Institut Konfusius pertama ditubuhkan di Afrika pada bulan Disember tahun 2005, lebih 20 orang pensyarah dan beberapa puluh orang sukarelawan telah berkhidmat untuk mengajar bahasa Mandarin di Afrika. Kerja mereka telah mendapat pujian yang meluas daripada rakyat tempatan. Ketua Institut Sastera Universiti Zimbabwe, Encik Pedzisai Mashiri menyatakan:

"Guru-guru dari China bekerja dengan tekun dan mempunyai pengetahuan yang meluas. Saya berharap agar lebih ramai orang Zimbabwe belajar bahasa Mandarin supaya dapat memberikan sumbangan untuk mengukuhkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara kita."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China