Cari:
Ahli Waris Kebudayaan Etnik Xibe, Su Chong'an
2009-09-23 09:35:58 CRI Cetak

Etnik Xibe merupakan salah satu etnik minoriti China dengan penduduknya seramai 200 ribu orang. Kaunti Autonomi Xibe Qapqal di Xinjiang merupakan tempat tinggal etnik tersebut. Bahasa, tulisan dan adat resam etnik Xibe masih terpelihara dengan baik di kawasan itu sehingga kini.

Sebagai generasi ke-9 etnik Xibe, Su Chong'an berminat kepada kebudayaan Xibe sejak kecil. Bapanya, Batorby, pengiring muzik sebuah kumpulan Yangge tempatan yang mahir dengan semua irama Yangge etnik Xibe. Ibunya, Mei Xiang, seniwati terkenal yang mahir dalam pengkisahan novel klasik China dan sejarah etnik Xibe, dan pandai memainkan alat muzik etnik Xibe. Di bawah tunjuk ajar ibu bapanya, Su Chong'an boleh membaca nota muzik, belajar untuk meniup harmonica dan bermain biola pada usia 13 tahun. Beliau telah ditampilkan ke pentas pada usia 15 tahun.

Selepas tamat dari universiti pada tahun 1966, Su Chong'an memulakan pendidikan muzik selama beberapa tahun dengan bersungguh-sungguh terhadap usaha kesenian dan kebudayaan Xibe.

"Ketika bersekolah di Daerah Autonomi Kazakh Ili, saya merupakan pemain biola utama di seluruh daerah. Selepas bekerja, saya menumpukan perhatian terhadap pendidikan muzik, dan melatih ribuan penyanyi amatur dan pemain alat muzik. Selepas dipanggil balik ke kampung halaman di Kaunti Autonomi Xibe Qapqal, saya tetap meneruskan tugas sebagai guru muzik."

Selepas dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksanakan di China, Su Chong'an terus bekerja dalam kumpulan kesenian, pusat kebudayaan, serta pusat penyelidikan kebudayaan dan kesenian etnik Xibe. Beliau banyak berusaha untuk memelihara, mengumpul dan menyusun warisan budaya etnik Xibe. Selepas bersara pada tahun 2005, Su Chong'an dipelawa sebagai pakar utama Jawatankuasa Perlindungan Warisan Budaya Bukan Benda kaunti tersebut. Mulai tahun 2006, beliau membantu pusat kebudayaan kaunti tersebut melaporkan enam projek warisan budaya bukan benda etnik Xibe, termasuk "Hari Raya Berhijrah ke Barat", "Tarian Baylen", dan "Teknik Pembuatan Busur dan Panah".

Su Chong'an merupakan wakil ahli waris "Hari Raya Berhijrah ke Barat" etnik Xibe. Pada 18 April tahun 1764, lebih 3,000 orang pegawai dan askar etnik Xibe beserta anggota keluarga mereka mendapat perintah untuk bertugas ke Xinjiang. Mereka berkumpul di Shenyang sebelum berpisah dengan saudara mereka di kampung halaman. Kemudian, etnik Xibe menetapkan tarikh 18 April setiap tahun sebagai "Hari Raya Berhijrah ke Barat". Pada hari tersebut, etnik Xibe akan memakai pakaian yang indah-indah, mengadakan aktiviti peringatan, seperti berkelah sukan, memanah, nyanyian dan tarian, perlumbaan kuda, serta perlawanan gusti.

"Sekarang, saya merupakan wakil ahli waris 'Hari Raya Berhijrah ke Barat'. Pada awal bulan Mei tahun ini, saya menerima undangan dari Shenyang. Saya mewakili etnik Xibe di Xinjiang ke Shengyang di timur laut China untuk menyertai Peringatan Ulang Tahun Ke-245 Berhijrah ke Barat, di sana."

Sejak berhijrah ke barat lebih 240 tahun yang lalu, hingga tahun 1940-an, etnik Xibe belajar bahasa Manchu, dan mencipta bahasa Xibe. Ekoran pembangunan sosial yang menjadi-jadi, Su Chong'an amat bimbang akan ketahanan warisan budaya bahasa Xibe.

"Bahasa merupakan wakil yang paling tipikal bagi sesuatu etnik. Saya bimbang bahawa huruf Xibe akan hilang lenyap dalam beberapa puluh tahun akan datang. Namun, bahasa lisan dan kebudayaan kami tidak akan pupus dan dapat diwariskan turun temurun, seperti Tarian Baylen dan lagu rakyat etnik Xibe."

Sekarang, Su Chong'an sedang membuat persiapan akhir untuk menerbit buku barunya, "Senarai Seniman Etnik Xibe, Xinjiang China" yang mengumpulkan kehidupan dan sumbangan kesenian lebih 140 orang seniman etnik Xibe di Xinjiang lebih 240 tahun yang lalu.

Sebagai penyelidik sejarah dan kebudayaan etnik Xibe, Su Chong'an juga bercita-cita untuk menerbitkan buku yang memuatkan 40 rencana yang diterbitkannya beberapa tahun ini tentang sumbangan leluhur etnik Xibe bagi kesatuan negara, pertahanan di sempadan, dan kestabilan sosial. Beliau berharap agar lebih ramai yang akan mengenali etnik Xibe melalui buku itu.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China