Bermain "Kongzhu" merupakan salah satu seni akrobatik tradisional China. Wang Guiqin yang dilahirkan dalam keluarga pemain "Kongzhu" di Beijing telah berjaya menggabungkan tarian dan muzik dengan persembahan "Kongzhu". Pada tahun 2005, karyanya, "Huadan yang Cantik Bermain Kongzhu" dianugerahi hadiah tertinggi, iaitu "Anugerah Presiden Republik Perancis" dalam "Festival Sarkas Antarabangsa Masa Depan Perancis", iaitu pertandingan akrobatik antarabangsa yang paling tinggi peringkatnya.
Wang Guiqin lahir dalam keluarga pemain "Kongzhu" di Beijing pada tahun 1941. Beliau merupakan anak perempuan bongsu dalam keluarganya. Bapanya, Wang Yutian ialah seniman "Kongzhu" terkenal yang menjadi pemain tontonan ramai di sekitar Tianqiao, iaitu kawasan untuk membuat persembahan bagi seniman rakyat Beijing.
"Saya dan anggota keluarga saya membuat persembahan di Tianqiao. Pada masa itu, tempat persembahan kami terbuka dan tidak dilindungi oleh sebarang dinding atau atap. Kami bermain "Kongzhu" dengan bunyi yang lantang untuk menarik perhatian penonton. Selepas membuat persembahan untuk beberapa lama, saya akan mengutip wang daripada penonton dengan menggunakan mangkuk gangsa. Jika ada angin yang bertiup kencang atau hujan yang lebat, kami tidak mendapat wang. Pengalaman itu memberikan kenangan dan kesan yang mendalam kepada saya."

Menurut Wang Guiqin, walaupun pertunjukan bapanya mendapat sambutan penonton, namun, pendapatan mereka tidak mencukupi. Mereka sering kelaparan.
Selepas Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949, persembahan pemain di Tianqiao, Beijing telah mendapat perhatian kerajaan. Ketika itu, Perdana Menteri China, Zhou Enlai menamakan ketrampilan rakyat ini "akrobatik". Kumpulan Akrobatik China ialah kumpulan akrobatik peringkat negara yang pertama ditubuhkan pada tahun 1951. Wang Guiqin dan tiga orang kakaknya telah menyertai persembahan kumpulan tersebut.
Pada awal tahun 1950-an, Wang Guiqin yang hanya berusia 10 tahun itu telah diterima kumpulan kebudayaan pasukan tentera di Beijing. Sambil belajar seperti kanak-kanak sekolah yang lain, Wang Guiqin juga membuat persembahan akrobatik dan menerima latihan asas secara sistematik. Beliau tidak berpuas hati dengan ketrampilan yang ada pada dirinya, yang dipelajari daripada bapanya, lalu terus mencari pendekatan yang baru.
Dengan keghairahannya terhadap seni ini, Wang Guiqin telah bermain "Kongzhu" dengan lebih lancar dan pantas. Tahap permainannya sudah melebihi tahap permainan bapanya. Persembahannya juga dimasukkan dalam filem akrobatik pertama di China.
Pada tahun 1969, Wang Guiqin bekerja di sebuah kilang selepas perkhidmatan dari pasukan tentera. Beliau menggembirakan kawan-kawannya dengan menunjukkan kemahirannya bermain "Kongzhu" pada masa lapang. Selepas seni akrobatik tradisional rakyat diberikan keutamaan semula oleh kerajaan pada akhir tahun 1970-an, Wang Guiqin kembali ke pentas, dan menjadi seorang pemain akrobatik. Di samping itu, beliau turut melatih sekian banyak pemain "Kongzhu" untuk Kumpulan Akrobatik Beijing dan Kumpulan Akrobatik China.
Pada tahun 1995, "Anak Perempuan yang Bermain Kongzhu" yang disusun oleh Wang Guiqin dianugerahi hadiah emas "Anugerah Kerajaan Perancis", dalam kategori kanak-kanak dalam "Festival Sarkas Antarabangsa Masa Depan Perancis". Dalam persembahan tersebut, beliau menggunakan unsur tarian dan muzik, memberikan kandungan baru bagi persembahan permainan "Kongzhu", dan dengan itu, membuka lembaran baru dalam persembahan "Kongzhu".

Suami Wang Gunqin merupakan pelakon Wusheng (watak yang pandai mempertahankan diri) di Teater Opera Peking China. Wang Guiqin dan suaminya telah menggabungkan persembahan "Kongzhu" dengan unsur Opera Peking, dan menyusun persembahan "Huadan (watak wanita muda dalam opera Peking) yang Cantik Bermain Kongzhu". Kumpulan gadis yang terlibat dalam opera ini menarik perhatian penonton dengan kemahiran mereka bermain "Kongzhu", kostum mereka yang cantik dan tarian yang menarik.
Persembahan yang kerap mendapat hadiah dalam negeri ini, juga mendapat "Anugerah Presiden Republik Perancis" dalam "Festival Sarkas Antarabangsa Masa Depan Perancis" pada tahun 2005.
Ketrampilan permainan "Kongzhu" yang tradisional ini dibangunkan oleh Wang Guiqin. Walaupun mendapat banyak anugerah, namun, Wang Guiqin tidak pernah berhenti daripada membuat penyelidikan dan inovasi, kerana bukan sahaja cita-cita bapanya dicapai melalui "Kongzhu", tetapi juga kebahagiaan dan kegembiraannya sendiri.








