Cari:
Kumpulan Kesenian yang Diminati Rakyat China dan Vietnam di Kawasan Sempadan
 
2008-12-17 17:07:09 CRI Cetak

Bandar Hekou, provinsi Yunnan di bahagian selatan China terletak berhampiran dengan provinsi Laocai, Vietnam. Kedua-dua tempat itu hanya dipisahkan oleh sebatang sungai.

Kira-kira pukul 7 malam, sejumlah besar wanita Vietnam yang berpakaian Ao Dai, iaitu pakaian tradisional Vietnam berjalan beramai-ramai merentasi sempadan menuju ke Hekou. Wartawan kami merasa hairan melihat kejadian tersebut kerana wanita-wanita Vietnam itu datang, dalam keadaan semuanya bersolek dan berhias cantik.

Sebenarnya, wanita-wanita Vietnam yang datang ke sini bertujuan untuk menyertai aktiviti kesenian yang diadakan oleh penduduk kedua-dua negara China dan Vietnam di Jalan Binhe, bandar Hekou. Lagu yang saudara ikuti ini adalah dipersembahkan oleh Kumpulan Muzik Qiaoyi, sebuah kumpulan kesenian kalangan rakyat yang terdiri daripada penduduk kedua-dua negara di kawasan sempadan. Jalan Binhe merupakan kawasan komersial di bandar Hekou dan menjadi tempat mengadakan aktiviti kesenian pada waktu malam oleh penduduk kedua-dua negara. Puan Tran My Cam dari Vietnam yang menyertai aktiviti kesenian di Hekou memberitahu wartawan: "Di sini, kami boleh berhibur dan menyertai aktiviti riadah bersama dengan kawan-kawan dari China. Aktiviti seperti ini amat bermanfaat kerana ia boleh menyenangkan hati dan baik bagi menjaga kesihatan, malahan kami boleh bersama-sama berkongsi pengalaman dengan menyanyi dan menari."

Difahamkan bahawa selain daripada Kumpulan Muzik Qiaoyi, terdapat sebanyak 14 buah lagi kumpulan kesenian kalangan rakyat di Hekou. Berbanding dengan kumpulan kesenian yang lain, Kumpulan Muzik Qiaoyi disertai oleh lebih ramai penduduk Vietnam dan sering mempersembahkan lagu dan tarian istimewa Vietnam, khususnya "Tarian Batang Buluh" yang amat diminati oleh penduduk China. Encik Zeng Jiancheng, Ketua "Kumpulan Muzik Qiaoyi" berkata: "Kami mempersembahkan 'tarian batang buluh' dua kali seminggu. Semasa hari perayaan, tarian itu dipersembahkan pada setiap hari dan menarik ramai pelancong asing menyaksikan persembahan, sesetengah daripada mereka juga ikut menari bersama-sama dengan kami."

Pada waktu malam setiap hari, bunyi pelbagai jenis alat muzik dan suara nyanyian dapat kedengaran di sepanjang Jalan Binhe kira-kira 3 kilometer itu.

Encik Ma Qingtang yang berusia 73 tahun memberitahu wartawan bahawa Jalan Binhe merupakan pantai yang tandus pada masa dahulu. Kata beliau: "Hekou merupakan tempat yang kecil sahaja pada masa dahulu dan tidak mempunyai tempat untuk berhibur. Hekou telah mengalami perubahan yang amat besar selepas dipilih sebagai pintu keluar-masuk sempadan kelas I negara. Hal ini menyediakan syarat baik terhadap perkembangan ekonomi tempatan dan menarik kian ramai pelancong datang berkunjung. Dengan itu, peluang kami mencari rezeki terbuka luas dan mempunyai masa lapang untuk berhibur dan bersantai."

Encik Ma juga merupakan ketua bagi sebuah kumpulan kesenian tempatan. Kini, kumpulan keseniannya mempunyai seramai lebih 32 orang anggota, rata-ratanya usia mereka 65 tahun. Kata beliau: "Kami hanya mempunyai beberapa buah harmonika sahaja ketika kumpulan kesenian ini ditubuhkan. Sekarang, kami mempunyai alat pembesar suara, mikrofon dan beberapa banyak jenis alat muzik seperti akordion, piano dan seruling. Selain itu, kami juga mempelawa akauntan untuk menguruskan hal ehwal kewangan."

Encik Ma berkata bahawa ramai pelancong asing dari Vietnam, Kanada, Jepun, A.S. dan beberapa negara lain amat berminat untuk menyertai aktiviti kesenian yang dianjurkan oleh kumpulan keseniannya. Jalan Binhe pula telah dikenali sebagai "koridor kebudayaan yang harmoni" yang membolehkan penduduk tempatan dan pelancong asing untuk berhibur.

Masa hampir pukul 11.00 malam, wanita-wanita Vietnam yang menyertai aktiviti kesenian di Jalan Binhe balik beramai-ramai. Mereka perlu kembali ke Vietnam sebelum pintu keluar-masuk sempadan ditutup. Salah seorang daripada mereka, Puan Dang Thuy Nga memberitahu wartawan: "Kami berasa amat gembira untuk menyertai aktiviti bersantai di sini. Memang seronok sekali kami berbual-bual, menyanyi dan menari secara beramai-ramai. Dengan demikian, kami berasa penuh bersemangat tidak terasa penat."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China