Cari:
Pasar Rakyat Mega di Mohan Manfaatkan Penduduk di Kawasan Sempadan China-Laos
2009-01-21 16:58:09 CRI Cetak

Zon Ekonomi Mohan yang terletak di bahagian paling selatan provinsi Yunnan China, bersempadan dengan pintu keluar masuk Boten, Laos. Pasar rakyat mega yang dikunjungi oleh penduduk di kawasan sempadan kedua-dua negara tetap diadakan di sana pada tarikh 8 haribulan setiap bulan sejak Disember tahun 2007.

Pada 8 Disember tahun 2008, Bounping Keovongphet, warga Laos yang tinggal di Zon Pembangunan Ekonomi Mohan lebih sibuk berbanding hari-hari biasa kerana beliau perlu membuat persiapan yang sempurna sebelum pasar rakyat itu bermula. Beliau yang bangun pada pukul 4 pagi keluar dari rumah dengan menaiki motosikalnya untuk membeli barang-barang yang diperlukan di restorannya. Pasar rakyat mega yang diadakan sebulan sekali itu amat dialu-alukan oleh penduduk China dan Laos kerana pihak kastam kedua-dua negara bersedia memberikan kemudahan kepada mereka dari segi keluar-masuk sempadan dan kutipan tarif.

Dalam tempoh setahun yang lalu, pasar rakyat itu telah menarik kunjungan seramai 190 ribu orang dengan jumlah urus niaganya pula mencatat lebih 30 juta Yuan RMB.

Bounping Keovongphet membawa keluarganya dari Laos menetap di Mohan selepas beliau menyertai pasar rakyat yang buat kali pertamanya diadakan pada Disember tahun 2007. Kini, beliau mengusahakan sebuah restoran yang menyediakan masakan cita rasa Laos di Mohan.

Bounping, berusia lebih 40 tahun sebelum ini tinggal di Boten, Laos yang letaknya berhampiran dengan Mohan. Menurut beliau, pada akhir tahun 1980-an, penduduk di kawasan sempadan kedua-dua negara hanya mengusahakan kegiatan penanaman sahaja. Tidak ada sebarang usaha pertukaran barangan dan perdagangan antara kedua-dua pihak. Tetapi hal itu sudah berubah. Kini taraf hidup rakyat kedua-dua negara meningkat dengan ketara selepas pembukaan pintu keluar-masuk pada tahun 1993. Kata beliau: "Semasa pintu keluar-masuk ini baru dibuka, kami hanya pergi ke sebelah China sekali atau dua kali sahaja setiap bulan untuk mengunjungi kerabat. Selepas itu, aktiviti perdagangan yang semakin aktif dan melibatkan pelbagai jenis barangan menjadikan hubungan rakyat kedua-dua negara semakin rapat".

Selepas pasar rakyat berkala buat pertama kalinya diadakan di Mohan pada Disember tahun 2007, saya memutuskan untuk memulakan perniagaan di sini." Kata beliau: "Saya rasa membuka restoran di sini lebih mudah berbanding di Laos kerana ada lebih ramai pelanggan, terutama pelanggan Laos yang berniaga di sini. Restoran saya sentiasa dipenuhi oleh pelanggan pada hari pasar rakyat mega diadakan."

Pada awal pagi, muzik kedengaran di pasar raya Mohan itu. Tidak berapa lama selepas dibuka, pasar rakyat itu sudah dibanjiri oleh penduduk di kawasan sempadan China-Laos yang datang secara beramai-ramai. Kira-kira 400-500 buah gerai didapati ditawarkan di pasar rakyat mega yang seluas lebih 10 ribu kilometer persegi itu. Antara barangan yang dibawa oleh penduduk kedua-dua negara ke pasar rakyat itu termasuk, hasil tanaman yang istimewa, barangan kegunaan harian, pakaian, buah-buahan, teh, malah barangan elektronik dan barang-barang kemas.

Sebuah gerai yang menjual barangan kemas buatan perak menarik kunjungan ramai pelanggan. Pemilik gerai itu, Bounmi, berusia 20 tahun berasal dari provinsi Louang Namtha, Laos. Pada tahun 2003, dia menamatkan pengajian bahasa Mandarin di China, dan mengusahakan kedai barangan kemas perak selepas kembali ke Laos. Dia telah banyak kali menyertai pelbagai ekspo yang diadakan di China, termasuk, Ekspo Sempadan China-Laos-Myanmar-Thailand, Ekspo Kunming dan Ekspo China-ASEAN yang diadakan di Nanning, Guangxi. Bagaimanapun, pasar rakyat yang diadakan di Mohan yang paling diminatinya. Katanya: "Saya datang ke sini setiap kali pasar rakyat berlangsung. Hari ini saya membawa barangan kemas perak sebanyak lebih 30 kilogram. Jual beli semua dijalankan dengan mata wang RMB. Jumlah jualan sehari di pasar rakyat mega ini samalah hasil niaga dalam tempoh sebulan di Laos.

Pada waktu senja, beberapa banyak gerai makan yang ditawarkan di pasar rakyat tersebut, menarik kedatangan ramai peniaga kedua-dua negara. Puan Yu Zhuang, majikan sebuah gerai daging panggang memberitahu wartawan: "Gerai makan saya memerlukan daging sekurang-kurangnya 2 hingga 3 ekor lembu pada hari pasar rakyat diadakan. Pasar rakyat ini menyediakan peluang kepada kami untuk menambah pendapatan. Saya hanya memperoleh ratusan Yuan RMB sebulan melalui usaha pertanian. Tetapi, sekarang pendapatan sebulan saya telah melebihi 2000 Yuan."

Naib Presiden Persatuan Sayur-sayuran Provinsi Yunnan, Liu Tianwei dari Kunming, ibu kota Yunnan juga datang meninjau ke pasar rakyat tersebut. Beliau berkata: "Pasar rakyat mega di sini berkembang pesat selepas pengoperasian jalan raya Kunming-Bangkok pada bulan Mac tahun 2008. Kini, kami sedang berusaha membina sebuah bilik sejuk yang berskala besar di Zon Ekonomi Mohan bagi melancarkan perdagangan sayur-sayuran di kawasan sempadan. Saya yakin, seiring dengan penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN, pasar rakyat mega di Mohan ini akan berkembang dengan lebih baik dan membawa lebih banyak keuntungan kepada rakyat kedua-dua negara.

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China