China-Switzerland akan memulakan kajian kebolehlaksanaan kawasan perdagangan bebas dua hala pada setengah tahun kedua tahun ini sebagai usaha untuk menangani krisis kewangan antarabangsa. Demikian persetujuan yang dicapai dalam pertemuan Presiden Swiss Confederation, Hans-Rudolf Merz dengan Perdana Menteri, Wen Jiabao di Bern petang semalam.
Ketika bertemu media selepas pertemuan, Hans-Rudolf Merz berkata, peningkatan kerjasama bagi menghadapi cabaran dan bersama-sama mengatasi kesukaran disetujui oleh kedua-dua pihak. Wen Jiabao pula menyatakan, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan kawasan perdagangan bebas dua hala pada setengah tahun kedua tahun ini. Ini memperlihatkan kesediaan kedua-dua negara untuk mengatasi kesukaran semasa dan menjalankan kerjasama jangka panjang dengan pandangan jauh. Kedua-dua pihak juga menandatangani perjanjian perlindungan pelaburan dua hala yang baru agar memenuhi permintaan ekoran peningkatan kerjasama ekonomi dan perdagangan . Semua ini telah memberi isyarat positif bagi memulihkan keyakinan pasaran antarabangsa.
Selain itu, kedua-dua pihak juga akan mempererat kerjasama kewangan, mengambil langkah untuk meningkatkan skala perdagangan dan pelaburan, meningkatkan penyelarasan mengenai dasar makro, bersama-sama menentang fahaman perlindungan perdagangan, mendorong pembaharuan sistem kewangan antarabangsa ke arah sistem yang saksama, adil, toleransi dan bersusun serta mendorong pertukaran dan kerjasama dan bidang sains, teknologi dan tenaga.