Cari:
Masyarakat Antarabangsa Diseru Memperkukuh Keyakinan, Menyumbang kepada Pertumbuhan Ekonomi Dunia
2009-01-29 15:28:17 CRI Cetak
Perdana Menteri China, Wen Jiabao yang berada di Davos, Switzerland untuk menghadiri Sidang Tahunan 2009 Forum Ekonomi Dunia (WEF), telah menyampaikan ucapan yang bertajuk "Memperkukuh Keyakinan dan Berusaha Bersama untuk Mewujudkan Pertumbuhan Ekonomi Dunia Pusingan Baru". Selepas menerangkan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan China untuk menangani krisis kewangan global kini, beliau menyatakan bahawa China berkeyakinan dan juga berkemampuan untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dunia. Beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya memperkukuh keyakinan, meningkatkan kerjasama dan mengambil sikap yang bertanggungjawab untuk sama-sama berusaha ke arah memastikan krisis tersebut ditangani dengan jayanya.

Sidang tahunan WEF kali ini bertema "Membentuk Dunia Selepas Krisis", disertai oleh lebih 2500 orang peserta dari 96 buah negara. Antaranya termasuk lebih 40 orang pemimpin kerajaan, lebih 30 orang ketua pertubuhan antarabangsa serta gabenor bank pusat dan menteri kewangan dari hampir 40 buah negara.

Dalam ucapannya, Wen Jiabao telah menganalisis punca-punca yang mengakibatkan krisis tersebut. Beliau berpendapat bahawa keseimbangan perlu diwujudkan antara simpanan dengan penggunaan, pembaharuan sistem kewangan dengan pengawalan serta sektor kewangan dengan ekonomi benar, agar dapat menemui penyelesaian terbaik untuk menangani krisis sekarang.

Wen Jiabao mengakui bahawa ekonomi China turut terkena tempias krisis tersebut. Beliau menjelaskan bahawa pada hakikatnya, berhadapan dengan situasi yang rumit ini, kerajaan China segera menyusun dasar kawalan makro, yang bukan sahaja melaksanakan dasar fiskal yang positif dan dasar kewangan yang longgar sederhana, tetapi juga memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi untuk menyokong permintaan domestik bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan. Oleh itu, berdepan dengan kesangsian media antarabangsa terhadap situasi ekonomi China, Wen Jiabao telah memberikan jawapan yang jelas:

"Kami amat optimis terhadap prospek ekonomi negara. Kami berkeyakinan penuh dan juga berkemampuan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara yang mampan, dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dunia."

Pada pandangan Perdana Menteri Wen Jiabao, keyakinan, kerjasama dan sikap bertanggungjawab merupakan kekunci bagi mengatasi krisis sekarang. Beliau menegaskan bahawa, krisis ini sedang menguji keikhlasan masyarakat antarabangsa dalam mempererat kerjasama serta kebijaksanaan rakyat seluruh dunia. Jadi, sikap masyarakat antarabangsa yang berani memikul tanggungjawab amatlah penting bagi menstabilkan pasaran kewangan dan mengelakkan ekonomi benar daripada terus terjerumus ke dalam kancah yang lebih mendalam. Pihak-pihak yang terbabit bukan sahaja perlu mengambil tindakan yang berkesan untuk mengatasi kesukaran sekarang, malah perlu berusaha ke arah membentuk satu orde ekonomi antarabangsa yang adil, munasabah, sihat dan stabil. Mengenai hal ini, Wen Jiabao telah mengemuakan lima cadangan:

"Pertama, mempererat kerjasama antarabangsa dalam bidang ekonomi dan perdagangan, dan mendorong perkembangan sistem perdagangan berbilang hala yang sihat; Kedua, menggiatkan pembaharuan terhadap sistem kewangan antarabangsa, dan mempercepat pembentukan orde kewangan antarabangsa yang baru; Ketiga, meningkatkan kerjasama antarabangsa dalam pengawasan kewangan, dan mencegah risiko kewangan daripada terbentuk dan merebak; Keempat, memelihara kepentingan negara-negara membangun, dan mendorong pembangunan bersama ekonomi seluruh dunia; Dan kelima, berganding bahu menghadapi cabaran global, dan berusaha membangun persekitaran kediaman yang kondusif untuk seluruh umat manusia."

   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China